Kufurnya Keyakinan Kaum Nasrani dalam Masalah Triniti
Surah 5: Al-Maidah (72 – 75)
Ayat 72
لَقَدْ كَفَرَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْمَسِيحُ ٱبْنُ مَرْيَمَ ۖ وَقَالَ ٱلْمَسِيحُ يَـٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ رَبِّى وَرَبَّكُمْ ۖ إِنَّهُۥ مَن يُشْرِكْ بِٱللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِ ٱلْجَنَّةَ وَمَأْوَىٰهُ ٱلنَّارُ ۖ وَمَا لِلظَّـٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ
Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”. Padahal Al-Masih sendiri berkata:” Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”.
Allah Swt mengatakan bahawa orang-orang yang mendakwa Al-Masih putera Maryam ialah Allah Swt adalah benar-benar telah kafir. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka katakan dan ini juga amat berlawanan sekali dengan ucapan pertama Nabi Isa as dalam surah Maryam ketika masih bayi, firman-Nya:
“Berkata Isa: “Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberiku Al-Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang nabi.”
Maryam 19:30
Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi Isa as menyeru umatnya agar menyembah-Nya dan sememangnya Baginda sendiri juga menyembah-Nya sahaja dan tidak pernah menyuruh agar orang lain menyembah dirinya. Baginda tidak membezakan dirinya dengan manusia lain dan dengan jelas mengaku bahawa Allah Swt itulah Rabbnya dan Rabb mereka dan Rabb bagi semua makhluk. Ayat ini juga merupakan dalil dan bukti betapa rosak dan sesatnya perkataan orang-orang Nasrani.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa Nabi Isa as juga memberi amaran kepada umatnya iaitu sesiapa yang mensyirikkan-Nya, sama ada dengan dirinya atau sesiapa sahaja selain Allah Swt, maka Allah Ta’ala telah mengharamkan syurga ke atas mereka. Mereka akan ditempatkan di dalam neraka dan akan kekal buat selama-lamanya serta tidak ada sesiapa yang dapat menolong mereka.
Ayat 73
لَّقَدْ كَفَرَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ ثَالِثُ ثَلَـٰثَةٍ وَمَا مِنْ إِلَـٰهٍ إِلَّآ إِلَـٰهٌ وَٰحِدٌ ۚ وَإِن لَّمْ يَنتَهُوا۟ عَمَّا يَقُولُونَ لَيَمَسَّنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Begitu juga telah kafirlah orang-orang yang mengatakan Allah Ta’ala Pencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara kedua-duanya adalah salah satu antara tiga. Ini adalah konsep triniti yang banyak dipakai oleh kaum Kristian. Mereka mengatakan bahawa Tuhan itu ada tiga oknum, “Tuhan Bapa, Nabi Isa dan Jibril.” Ada juga yang mengatakan Allah Swt adalah salah satu daripada tiga pihak, “bapa iaitu Allah, anak iaitu Al-Masih dan isteri iaitu Maryam.” Allah membantah kesemua ideologi kaum Nasrani. Oleh itu, Tuhan yang berhak untuk disembah hanyalah Allah Yang Maha Esa.
Allah Swt memberi ancaman dan peringatan kepada mereka iaitu sekiranya mereka tidak menjauhi dan meninggalkan apa yang mereka ucapkan berupa kebohongan dan pendustaan serta ideologi triniti dan tidak kembali kepada tauhid yang benar, mereka akan ditimpa azab yang sangat keras dan menyakitkan di akhirat kelak disebabkan kekufuran mereka.
Ayat 74
أَفَلَا يَتُوبُونَ إِلَى ٱللَّهِ وَيَسْتَغْفِرُونَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Maksud “bertaubat” dalam ayat ini ialah mengikrarkan keesaan Allah Swt dan Nabi Isa as adalah hamba dan Rasul-Nya. Dia mengampuni dosa-dosa orang yang bertaubat walaupun dosa-dosa mereka setinggi langit, serta Dia menyayangi mereka dengan menerima taubat mereka dan menggantikan keburukan dengan kebaikan. Dengan berkat kemurahan, kelembutan, dan rahmat-Nya terhadap makhluk-Nya, Dia tetap menyeru mereka agar bertaubat dan memohon ampun kepada-Nya dan Dia pasti akan menerima taubat mereka.
Ayat 75
مَّا ٱلْمَسِيحُ ٱبْنُ مَرْيَمَ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ ٱلرُّسُلُ وَأُمُّهُۥ صِدِّيقَةٌ ۖ كَانَا يَأْكُلَانِ ٱلطَّعَامَ ۗ ٱنظُرْ كَيْفَ نُبَيِّنُ لَهُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ ثُمَّ ٱنظُرْ أَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ
Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu).
Allah Ta’ala menegaskan bahawa Al-Masih putera Maryam tidak lain hanyalah seorang rasul, sama seperti para rasul sebelumnya dan dibekalkan dengan beberapa mukjizat. Baginda adalah salah seorang daripada hamba-hamba-Nya sebagaimana dalam firman-Nya:
“Isa tidak lain hanyalah seorang hamba yang Kami berikan kepadanya nikmat (kenabian) dan Kami jadikan dia sebagai tanda bukti (kekuasaan Allah) untuk Bani lsrail.”
Az-Zukhruf 43:59
Ibu Al-Masih iaitu Maryam adalah seorang syiddiqah iaitu beriman kepada Nabi Isa as, membenarkan dan mempercayainya. Dia memiliki kedudukan di bawah para nabi, bukan seorang nabi dan tidak pula memiliki sifat ketuhanan. Hal ini sebagaimana dalam firman-Nya:
“Dan (ingatlah) Maryam binti Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian daripada ruh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimah Rabbnya dan kitab-kitab-Nya, dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat.”
At-Tahrim 66:12
Allah Swt menjelaskan bahawa Nabi Isa as dan ibunya adalah manusia biasa. Mereka memerlukan apa yang diperlukan oleh manusia yang lain juga seperti makan, minum dan sebagainya. Jika mereka berdua adalah tuhan tentu mereka tidak memerlukan apa yang diperlukan oleh manusia.
Akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyuruh orang-orang yang berakal agar memerhatikan bagaimana Dia telah menerangkan kepada kaum Nasrani yang bodoh itu dengan bukti-bukti dan dalil-dalil yang jelas yang tidak dapat dibantah lagi oleh mereka. Allah Swt juga menyuruh manusia yang berakal melihat dan memperhatikan bagaimana mereka masih lagi berpaling daripada kebenaran.