Perintah supaya Mengingati Nikmat Allah Swt dan Berlaku Adil
Surah 5: Al-Maidah (7 – 11)
Ayat 7
وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَمِيثَـٰقَهُ ٱلَّذِى وَاثَقَكُم بِهِۦٓ إِذْ قُلْتُمْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ
Dan kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakan-Nya) kepada kamu serta ingatlah perjanjian-Nya yang telah diikat-Nya dengan kamu, ketika kamu berkata: “Kami dengar dan kami taat (akan perintah-perintah Allah dan Rasul-Nya)” Dan bertakwalah kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
Allah Swt mengingatkan orang-orang beriman agar mengingati nikmat-nikmat-Nya, sama ada nikmat agama ataupun nikmat dunia dengan hati ataupun lisan mereka.
Dia juga memerintahkan agar mereka mengingati perjanjian mereka dengan-Nya ketika mereka mengatakan: “Kami dengar dan kami taat.” Inilah ungkapan yang pernah mereka ucapkan di hadapan Rasulullah saw ketika mereka masuk Islam. Mereka pernah berjanji setia kepada Baginda untuk selalu mendengar dan senantiasa taat, baik dalam keadaan senang mahupun terpaksa. Mereka juga berjanji untuk mengutamakan Baginda melebihi diri mereka dan tidak akan membantah perintah Baginda.
Seterusnya, Allah Swt memberi penekanan dan penegasan untuk sentiasa bertakwa kepada-Nya dalam segala keadaan. Setelah itu, Allah Swt memberitahu bahawa Dia mengetahui segala yang tersimpan dalam hati mereka berupa rahsia dan lintasan hati. Ini adalah untuk mengingatkan mereka semua kepada ilmu-Nya yang meliputi segala sesuatu dan agar mereka berasa sentiasa diawasi oleh-Nya.
Ayat 8
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ ۚ ٱعْدِلُوا۟ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Seterusnya Allah Swt menyeru orang-orang beriman agar menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran dan berlaku adil serta memberikan persaksian kerana Allah Swt bukan kerana manusia atau mencari kemasyhuran.
Dalam As-Sahihain daripada Nu’man bin Basyir, dia berkata: “Ayahku pernah memberiku suatu pemberian. Lalu ibuku, ‘Amrah binti Rawahah, berkata: ‘Aku tidak rela sehingga engkau mempersaksikan pemberian itu kepada Rasulullah saw.’ Kemudian dia (ayahku) datang menemui Baginda dan meminta Baginda menjadi saksi atas sedekahku itu. Maka Baginda pun bersabda: ‘Apakah setiap anakmu engkau beri hadiah seperti itu juga?’ ‘Tidak,’ jawabnya. Maka Baginda bersabda: ‘Bertakwalah kepada Allah, dan berbuat adillah kepada anak-anak kalian!’ Lalu Baginda bersabda lagi: ‘Sesungguhnya aku tidak mahu bersaksi atas sesuatu ketidakadilan.’ Kemudian ayahku pulang dan menarik kembali pemberian tersebut.’”
Allah Swt melarang orang-orang beriman berlaku tidak adil kepada orang lain disebabkan kebencian kepada mereka. Allah Swt memerintahkan agar berlaku adil kepada setiap orang sama ada teman baik atau pun musuh.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt sekali lagi memerintahkan supaya bertakwa kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan. Ini bermaksud, Dia akan memberi balasan kepada mereka berdasarkan ilmu-Nya terhadap perbuatan yang mereka kerjakan. Jika baik akan dibalas dengan kebaikan, jika buruk akan dibalas dengan keburukan pula.
Ayat 9
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ ۙ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ
Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.
Allah Swt telah menjanjikan keampunan terhadap dosa-dosa kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Mereka juga dijanjikan dengan pahala yang besar berupa syurga yang merupakan rahmat Allah Swt terhadap hamba-hamba-Nya.
Mereka tidak mendapatkan syurga itu kerana amal mereka, tetapi kerana rahmat dan kurniaan-Nya. Meskipun begitu tercapainya rahmat Allah Swt kepada mereka itu adalah disebabkan oleh amal soleh mereka. Dia-lah Yang Maha Tinggi, yang telah menjadikan amal manusia sebagai sebab untuk memperoleh rahmat, kurniaan, keampunan dan keredhaan-Nya. Ini kerana segala sesuatu adalah daripada-Nya dan milik-Nya, maka bagi-Nya-lah segala pujian.
Ayat 10
وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَآ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَحِيمِ
Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran), merekalah ahli neraka.
Ayat ini merupakan ancaman yang keras kepada orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat Allah Swt dan bukti-bukti-Nya yang dengannya Dia mengutuskan para rasul. Disebabkan kedustaan dan kekufuran mereka, mereka menjadi penghuni neraka. Ini adalah keadilan dan kebijaksanaan Allah Swt bahawa hukum-Nya tidak akan menzalimi sesiapa pun.
Ayat 11
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَن يَبْسُطُوٓا۟ إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakan-Nya) kepada kamu ketika kaum (kafir yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya (untuk menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada (menyerang) kamu. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah (sesudah bertakwa itu) hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri.
Allah Swt mengingatkan orang-orang beriman tentang nikmat-Nya yang menyelamatkan nabi mereka iaitu Rasulullah saw daripada usaha dan konspirasi jahat orang-orang Yahudi untuk membunuh Baginda. Allah Swt menguatkan rasul-Nya, menolong agama-Nya dan menyempurnakannya meski pun orang-orang kafir tidak menyukainya.
Ada beberapa riwayat tentang turunnya ayat ini, antaranya:
- Abdur Razzaq meriwayatkan daripada Jabir, bahawa Nabi saw singgah di suatu tempat peristirahatan, dan para sahabat bertebaran mencari pokok untuk berteduh, dan Baginda menggantungkan senjatanya (pedang) pada sebatang pokok. Lalu datanglah seorang Arab Badwi mengambil pedang Baginda dan menghunusnya. Sesudah itu dia mendekati Baginda sambil berkata: “Siapakah yang akan melindungi dirimu daripadaku?” Baginda menjawab: “Allah.” Orang Arab Badwi itu kembali mengatakan sebanyak dua atau tiga kali: “Siapakah yang akan melindungimu daripadaku?” Baginda menjawab: “Allah.” Maka tangan orang Arab Badwi itu lumpuh dan pedang terjatuh dari tangannya. Kemudian Nabi saw memanggil para sahabatnya dan menceritakan kepada mereka tentang orang Arab Badwi yang duduk di sebelahnya, tetapi Baginda tidak menghukumnya.
- Muhammad Ibnu Ishaq Ibnu Yasar, Mujahid, dan Ikrimah serta lain-lainnya yang bukan hanya seorang mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan orang-orang Bani Nadhir ketika mereka bermaksud menimpakan batu ke atas kepala Rasulullah saw tatkala Baginda datang kepada mereka untuk meminta bantuan berkenaan dengan diyat dua orang Bani Amir. Mereka menyerahkan tugas ini kepada ‘Amr Ibnu Jahsy Ibnu Ka’b untuk melakukannya dan mereka memerintahkan kepadanya apabila Nabi saw telah duduk di bawah tembok dan mereka berkumpul menemuinya, hendaknya ‘Amr menjatuhkan batu itu dari atas tembok tersebut. Namun Allah memperlihatkan kepada Baginda rancangan jahat mereka itu. Baginda pun kembali ke Madinah, diikuti oleh para sahabatnya. Berkenaan dengan peristiwa ini turunlah ayat, “dan kepada Allah jualah (sesudah bertakwa itu) hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri.”
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang beriman agar bertakwa dan bertawakkal dengan sebenar-benarnya kepada-Nya sebagai bekal yang bermanfaat dan juga dapat melindungi mereka daripada azab-Nya. Sesiapa yang bertakwa dan bertawakkal kepada-Nya, Dia akan memberikan kecukupan dan menjaganya serta melindunginya daripada kejahatan manusia.