Tugas Rasulullah saw untuk Menyampaikan Risalah
Surah 5: Al-Maidah (67 – 69)
Ayat 67
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغْ مَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ۖ وَإِن لَّمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ ٱلنَّاسِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْكَـٰفِرِينَ
Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.
Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menyampaikan apa yang diwahyukan kepadanya yang terdiri daripada akidah, syariat dan hukum-hukum. Sekiranya Rasulullah saw lalai dalam menyampaikannya, maka bererti Baginda seolah-olah belum menyampaikannya sedikit pun.
Dalam ayat ini juga, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia akan menjaga Rasulullah saw daripada sebarang musibah yang dirancangkan oleh pihak musuh. Oleh itu, tiada alasan buat Baginda untuk meninggalkan tugas menyampaikan risalah daripada-Nya. Ini juga bermaksud bahawa Baginda tidak menyembunyikan sedikit pun apa-apa yang diperintahkan-Nya untuk disampaikan kepada umatnya.
Imam Bukhari meriwayatkan daripada ‘Aisyah ra berkaitan dengan ayat ini, dia mengatakan, “Sesiapa yang mengatakan bahawa Muhammad menyembunyikan sesuatu daripada apa yang diturunkan oleh Allah kepadanya, sesungguhnya dia telah berdusta,” seraya membacakan firmanNya: “Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu…….” (Al-Maidah: 67) hingga akhir ayat.
Dalam kitab Sahihain, daripada ‘Aisyah ra, dia mengatakan, “Seandainya Muhammad saw menyembunyikan sesuatu daripada Al-Quran, nescaya dia akan menyembunyikan ayat ini,” iaitu firman-Nya: “Sedangkan kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedangkan Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti.” (Al-Ahzab 33: 37)
Maksud hadis ini ialah Baginda saw tidak sekali-kali menyembunyikan wahyu daripada Allah Ta’ala. Walau bagaimana berat sekalipun pada Baginda, Baginda tetap akan menyampaikannya.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menegaskan bahawa Dia tidak akan memberi hidayah dan taufik kepada orang-orang yang terpesong daripada jalan kebenaran dan mengingkari risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw dari sisi-Nya.
Ayat 68
قُلْ يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ لَسْتُمْ عَلَىٰ شَىْءٍ حَتَّىٰ تُقِيمُوا۟ ٱلتَّوْرَىٰةَ وَٱلْإِنجِيلَ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْكُم مِّن رَّبِّكُمْ ۗ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرًا مِّنْهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ طُغْيَـٰنًا وَكُفْرًا ۖ فَلَا تَأْسَ عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَـٰفِرِينَ
Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak dikira mempunyai sesuatu agama sehingga kamu tegakkan ajaran Kitab-kitab Taurat dan Injil (yang membawa kamu percaya kepada Nabi Muhammad) dan apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu (iaitu Al-Quran)”. Dan demi sesungguhnya, apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu itu, akan menambahkan kederhakaan dan kekufuran kepada kebanyakan mereka. Oleh itu janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir itu.
Allah Ta’ala menyuruh Rasulullah saw mengatakan kepada ahli kitab bahawa mereka tidak dipandang sebagai orang-orang yang beragama sehingga mereka menegakkan kitab Taurat dan Injil iaitu dengan beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan-Nya kepada rasul-Nya dan mengamalkan isi kandungannya. Antara perintah-Nya ialah mengikuti Nabi Muhammad saw, beriman dengan kerasulan Baginda dan mengikuti syariat yang dibawanya.
Allah Ta’ala mengatakan sesungguhnya Al-Quran yang diturunkan kepada Baginda saw tidaklah menambah apa-apa bagi kebanyakan ahli kitab kecuali sikap sombong dan pengingkaran mereka.
Kemudian pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menghibur Rasulullah saw agar tidak berdukacita dalam menghadapi ahli kitab yang mengingkari kerasulannya dan tidak mahu beriman dengannya. Ini kerana akibat kekufuran mereka itu hanya akan kembali kepada diri mereka.
Ayat 69
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱلَّذِينَ هَادُوا۟ وَٱلصَّـٰبِـُٔونَ وَٱلنَّصَـٰرَىٰ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Sabiin, dan orang-orang Nasrani – sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah (dan segala Rasul-Nya meliputi Nabi Muhammad saw) dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang beriman, orang-orang Yahudi, orang-orang sabiin (mereka adalah kaum yang masih bertahan atas fitrah mereka, tanpa mengikuti ajaran agama tertentu) dan orang-orang Nasrani, sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah Swt dengan keimanan yang sempurna iaitu membenarkan kerasulan Nabi Muhammad saw dan juga risalah yang dibawanya serta beriman kepada hari akhirat dan juga mengerjakan amal yang soleh, maka tidak ada rasa takut pada mereka terhadap kengerian hari kiamat dan mereka juga tidak bersedih terhadap apa yang mereka tinggalkan di belakang mereka iaitu kehidupan dunia.