Surah 5: Al-Maidah (6)

Hukum-hukum Berkaitan dengan Wuduk, Mandi dan Tayammum

Surah 5: Al-Maidah (6)


Ayat 6

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغْسِلُوا۟ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى ٱلْمَرَافِقِ وَٱمْسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى ٱلْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَٱطَّهَّرُوا۟ ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰٓ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَآءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ ٱلْغَآئِطِ أَوْ لَـٰمَسْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَلَمْ تَجِدُوا۟ مَآءً فَتَيَمَّمُوا۟ صَعِيدًا طَيِّبًا فَٱمْسَحُوا۟ بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ ۚ مَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُۥ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.

Allah memerintahkan orang-orang beriman agar bersuci apabila hendak mendirikan solat iaitu bersuci daripada hadas kecil dengan berwuduk dan hadas besar dengan mandi junub. 

Terdapat dalil tentang cara-cara berwuduk dan anggota-anggota wajib wuduk serta mesti dilakukan mengikut turutan (tertib) iaitu: 

  • Memasang niat ketika hendak mendirikan solat. Hal ini diambil daripada kata-kata إِذَا قُمْتُمْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ (apabila kamu hendak mendirikan solat). 
  • Membasuh muka. Bahagian muka adalah daripada atas kepala tempat tumbuh rambut sampai ke bahagian bawah rahang dan dagu, sedangkan lebarnya ialah daripada satu telinga ke telinga yang satu lagi. 
  • Membasuh kedua-dua tangan hingga ke siku dan sunnah untuk melebihkan basuhan hingga melebihi siku.   
  • Menyapu seluruh kepala sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Dalam Mazhab Imam Syafi’i syarat minimum sahnya adalah menyapu sebahagian kepala. 
  • Membasuh kedua-dua kaki sehingga buku lali dan menyela celah-celah jari kaki, tidak boleh hanya dengan mengusap sahaja. 
  • Tertib ialah melaksanakan wuduk mengikut turutan kerana Allah swt menyebutkan secara tertib. Perintah tertib ada pada keempat-empat anggota badan yang disebutkan dalam ayat di atas (muka, tangan, kepala dan kaki). 

Allah swt juga menyatakan sekiranya terhalang untuk bersuci daripada hadas kecil dan hadas besar disebabkan ketiadaan air atau sakit yang tidak boleh terkena air atau dalam perjalanan (tiada air), maka dibolehkan bertayammum. 

Imam Bukhari meriwayatkan daripada ‘Aisyah ra, dia berkata, “Kami keluar bersama-sama Rasulullah saw dalam sebahagian safar (perjalanan) Baginda, sehingga ketika kami berada di tengah kawasan lapang atau berada dalam pasukan, tiba-tiba kalungku (milik Asma’ yang dipinjamkan kepada ‘Aisyah) tercicir, maka Rasulullah saw menghantar beberapa orang untuk mencari kalung itu, sedangkan sebahagian lagi tetap bersama dengan Baginda. Ketika itu, mereka berada di kawasan yang tiada air dan tidak ada orang yang membawa air, lalu sebahagian daripada mereka datang menemui Abu Bakar As-Siddiq dan berkata: “Tidakkah kamu melihat apa yang dilakukan ‘Aisyah, dia telah membuat Rasulullah saw terpaksa berhenti di tempat itu, demikian juga para sahabatnya padahal mereka berada di kawasan yang tiada air dan tidak ada pula yang memilikinya.” Maka Abu Bakar datang, sedangkan Rasulullah saw tertidur meletakkan kepalanya di pahaku. Abu Bakar berkata: “Kamu telah membuat perjalanan Rasulullah saw dan para sahabat terhalang, padahal mereka berada di kawasan yang tiada air dan tidak membawa air.” ‘Aisyah berkata: “Abu Bakar memarahiku dan berkata kepadaku apa yang dikehendaki Allah. Dia memicit pinggangku dengan tangannya dan tidak ada yang menghalangku untuk bergerak kecuali kerana Rasulullah saw sedang berada di atas pahaku. Rasulullah saw bangun pada pagi harinya tanpa memiliki air, lalu turunlah ayat ini tentang tayammum, lalu mereka pun bertayammum.” Kemudian Usaid bin Khudhair berkata: “Sungguh Allah Ta’ala telah memberkati kalian wahai keluarga Abu Bakar untuk orang lain.” ‘Aisyah menyambung lagi dengan berkata, “Ketika kami bangunkan unta, di mana aku berada di atasnya, lalu kami menemui kalung di bawahnya.” 

Tayammum dilakukan dengan menggunakan tanah yang bersih yang ada di atas bumi atau di mana sahaja permukaan yang mudah didapati sama ada berupa debu, pasir, dan tanah. Caranya ialah: 

  • Menepuk kedua-dua tapak tangan ke atas debu yang bersih lalu mengusap ke bahagian muka dengan satu kali sahaja. 
  • Menyapu atas permukaan kedua-dua tapak tangan dengan sekali sapu. 

Sebahagian ulama berpendapat wuduk terbatal apabila “menyentuh perempuan” dalam ayat ini bermaksud bersentuhan kulit. Ada pula berpendapat batal apabila “bersentuhan kulit disertai syahwat”. Manakala ada juga yang berpendapat, bahawa “menyentuh perempuan” dalam ayat itu bermaksud berjima’. 

Allah swt menyatakan dan memerintahkan hamba-hambaNya untuk bersuci daripada hadas kecil dan hadas besar dan apa yang dapat menggantikan kedua-duanya dengan tayammun adalah sebagai rahmat dan kasih sayangNya. Dia tidak mahu hamba-hambaNya mengalami kesulitan dan kesusahan tetapi Dia menginginkan hal ini agar menyucikan mereka daripada hadas dan dosa kerana wuduk adalah penghapus dosa. Rasulullah saw bersabda: 

“Tidaklah seorang muslim berwuduk lalu dia menyempurnakan wuduknya dan melaksanakan solat, kecuali Allah akan mengampuni dosa-dosa yang dilakukannya antara solat yang dia kerjakan itu sehingga solat berikutnya.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Allah Ta’ala memberikan hidayah Islam dan mengajarkan syariat-syariat agamaNya kepada hamba-hambaNya agar mereka bersyukur dengan mentaatiNya.