Surah 5: Al-Maidah (5)

Bentuk Mu’amalah dengan Ahli Kitab

Surah 5: Al-Maidah (5)


Ayat 5

ٱلْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ ٱلطَّيِّبَـٰتُ ۖ وَطَعَامُ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ ۖ وَٱلْمُحْصَنَـٰتُ مِنَ ٱلْمُؤْمِنَـٰتِ وَٱلْمُحْصَنَـٰتُ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ مِن قَبْلِكُمْ إِذَآ ءَاتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَـٰفِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِىٓ أَخْدَانٍ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِٱلْإِيمَـٰنِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُۥ وَهُوَ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ

Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka). Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya – di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan. Dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah dia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Allah Swt menyebutkan hukum halalnya sembelihan ahli kitab iaitu makanan daripada sembelihan orang-orang Yahudi dan Nasrani, tetapi bukan sembelihan orang-orang kafir yang lain. Ini kerana orang-orang Yahudi dan Nasrani juga meyakini haramnya memakan binatang sembelihan untuk selain Allah Swt dan ketika menyembelih mereka tidak menyebut kecuali nama Allah Swt meskipun keyakinan mereka terhadap Allah Swt tidak seperti keyakinan orang-orang yang beriman. 

Dalam kitab sahih yang diriwayatkan oleh Muslim, bahawa penduduk Khaibar menghadiahkan seekor kambing panggang kepada Rasulullah saw, sedangkan mereka telah meletakkan racun pada pahanya kerana Nabi saw sangat menyukai paha kambing. Baginda mengambilnya lalu menggigit sekali gigitan, ternyata paha kambing itu menyampaikan kepada Baginda bahawa ia beracun. Maka Baginda memuntahkannya kembali. Namun hal itu berbekas pada gigi dan urat leher Baginda. Basyar bin Al-Bara’ bin Ma’mar ikut memakan paha kambing tersebut tetapi dia meninggal dunia. Maka wanita Yahudi yang meletakkan racun itu dibunuh. Dia bernama Zainab. 

Daripada hadis ini jelas bahawa Nabi saw dan orang yang menemaninya berniat untuk memakan kambing tersebut, tanpa menanyakan kepada orang-orang Yahudi itu, apakah mereka telah membuang atau tidak apa yang mereka yakini keharamannya berupa lemak. 

Dalam ayat ini juga, Allah Swt menyatakan bahawa dihalalkan orang-orang mukmin menikahi wanita-wanita merdeka daripada kaum wanita muslimah dan juga wanita-wanita ahli kitab iaitu wanita-wanita Yahudi dan Nasrani yang memelihara kehormatan mereka dengan syarat membayar mahar atau mas kahwin mereka dengan tujuan untuk menjaga diri mereka daripada perbuatan zina. 

Disebutkan menikahi wanita-wanita muslimah yang merdeka dalam ayat ini adalah sebagai dorongan kerana menikahi mereka adalah lebih utama. Walau bagaimanapun mengikut pendapat kesepakatan ulama termasuk Abu Hanifah, menikahi hamba wanita yang muslimah adalah tetap sah. 

Kedua-dua pihak baik lelaki mahupun wanita perlu menjaga diri daripada  perbuatan zi­na dan tidak pula lelaki menjadikan wanita sebagai perempuan simpanan, iaitu para kekasih hidup bagaikan suami isteri tanpa ikatan nikah. Menurut yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir, daripada Mujahid, maksud “al-muhsanat” dalam ayat ini ialah wanita-wanita merdeka, bukan hamba. Juga bermaksud wanita yang menjaga kehormatannya daripada berzina. Hal ini sama dengan maksud yang terdapat pada firman-Nya: 

“……….sedangkan mereka pun wanita-wanita yang memelihara diri, bu­kan penzina dan bukan (pula) wanita yang mengambil lelaki se­bagai simpanan………” 

An-Nisa’ 4:25 

Pada akhir ayat ini, Allah Swt mengingatkan hamba-hamba-Nya agar jangan kufur kerana sekiranya seseorang itu keluar dari Islam (murtad) maka amal perbuatannya yang dikerjakan pada masa dia beriman menjadi batal. Jika dia meninggal dalam kekafiran sebelum sempat bertaubat dia benar-benar telah rugi pada hari kiamat dan akan dilemparkan ke neraka Jahannam selama-lamanya.