Surah 5: Al-Maidah (48 – 50)

Perintah untuk Menetapkan Hukum berdasarkan Al-Quran

Surah 5: Al-Maidah (48 – 50)


Ayat 48

وَأَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ بِٱلْحَقِّ مُصَدِّقًۭا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ ۖ فَٱحْكُم بَيْنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَآءَهُمْ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلْحَقِّ ۚ لِكُلٍّۢ جَعَلْنَا مِنكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا ۚ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَٰحِدَةً وَلَـٰكِن لِّيَبْلُوَكُمْ فِى مَآ ءَاتَىٰكُمْ ۖ فَٱسْتَبِقُوا۟ ٱلْخَيْرَٰتِ ۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ

Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.

Setelah Allah swt menyatakan tentang kitab Injil dan Taurat dalam ayat-ayat yang lepas, dalam ayat ini pula Dia menyatakan tentang Al-Quran yang mulia yang diturunkan kepada hambaNya yang mulia iaitu Nabi Muhammad saw. Al-Quran mengandungi kebenaran, cahaya dan membenarkan apa yang ada di dalam kitab-kitab sebelumnya. 

Dalam kitab Sahih Ibnu Kathir ada dinyatakan pendapat yang mengatakan bahawa Al-Quran adalah pemelihara amanah, saksi dan hakim kepada kitab-kitab sebelumnya. Allah swt menjadikannya sebuah kitab agung, penutup semua kitab, kitab yang paling lengkap, paling sempurna dan Dia menghimpunkan segala kebaikan yang terdapat dalam kitab-kitab terdahulu dan melengkapkannya dengan apa yang tiada di dalam kitab selainnya. Oleh itu, Allah swt menjadikan Al-Quran sebagai pemelihara amanah, saksi dan hakim atas semua kitab. Allah swt sendiri menjaganya. FirmanNya: 

“Sesungguhnya Kami lah yang menurunkan Al Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” 

Al-Hijr 15:9 

Allah swt juga memerintahkan Baginda agar memutuskan segala perkara di antara manusia baik orang Arab mahupun Ajam, baik yang buta huruf mahupun yang pandai menulis dan membaca dengan apa yang diturunkanNya kepada Baginda dalam kitab Al-Quran. 

Selain itu, Allah swt memerintahkan Baginda agar tidak mengikuti hawa nafsu mereka iaitu mengikut pendapat-pendapat mereka yang telah mereka sepakati dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadanya. 

Seterusnya, Allah swt menyatakan untuk setiap umat Dia menetapkan syariat yang tersendiri. Sekiranya Dia menghendaki semua manusia mengikuti satu agama dan satu syariat sahaja, tentulah tidak ada satu pun syariat yang terhapus. Namun Dia mensyariatkan satu syariat tersendiri bagi setiap rasulNya. Kemudian Dia menggantikan semua syariat yang terhapus dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw. Dia membeza-bezakan syariat adalah untuk menguji para hambaNya dalam melaksanakan syariat tersebut agar Dia melihat siapa di antara mereka yang benar-benar taat dan siapa yang bermaksiat. Demikian juga agar mereka dapat berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.  

Walaupun Allah Ta’ala mengutus beberapa orang rasul yang mulia dengan syariat yang berbeza-beza dalam hukum-hukum, namun dalam tauhid adalah sama. Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda: 

“Kami para nabi adalah saudara satu bapa berlainan ibu, sedangkan agama kami adalah satu.” 

(HR. Al-Bukhari) 

Ini bermaksud ajaran tauhid yang dibawa oleh setiap rasul yang Allah swt utus dan apa yang terkandung dalam setiap kitab yang diturunkanNya adalah sama. FirmanNya: 

“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelummu, melainkan Kami wahyukan kepadanya, ‘Bahawa tidak ada sembahan yang sebenarnya melainkan Aku, maka sembahlah Aku.’” 

Al-Anbiya’ 21:25  

Di akhirat kelak, Allah Ta’ala akan memberitahu kebenaran tentang perkara-perkara yang diperselisihkan. Orang-orang yang bersikap benar dan jujur akan diberikan pahala atas kejujuran mereka. Dia akan memberi balasan azab kepada orang-orang kafir yang sangat ingkar lagi mendustakan kebenaran serta cenderung kepada kebatilan tanpa dalil dan bukti (petunjuk), bahkan mereka benar-benar menentang bukti yang sudah pasti. 

Ayat 49

وَأَنِ ٱحْكُم بَيْنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَآءَهُمْ وَٱحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَنۢ بَعْضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَٱعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَـٰسِقُونَ

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.

Ayat ini merupakan ayat penegasan terhadap perintah Allah swt untuk menuruti apa yang ditetapkan dalam Al-Quran dan As-Sunnah serta larangan meninggalkan hukum dan menyelisihinya seperti yang telah disebutkan dalam ayat 48 sebelum ini. 

Kaum muslimin diingatkan supaya berhati-hati terhadap musuh mereka iaitu kaum Yahudi dan jangan tertipu dengan mereka ini yang suka memanipulasi kebenaran. Ini kerana mereka adalah pendusta, kafir dan pengkhianat. 

Allah swt dengan kuasa dan kebijaksanaanNya memalingkan orang-orang yang fasik daripada petunjuk kerana mereka telah keluar daripada ketaatan dan menolak kebenaran. Mereka pasti akan mendapat hukuman terhadap dosa-dosa yang dilakukan dan hukuman ini sama ada disegerakan ataupun ditunda. Antara hukuman yang paling besar adalah dijadikan indah kemaksiatan akibat kefasikan mereka. 

Ayat 50

أَفَحُكْمَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.

Hukum jahiliah adalah setiap hukum yang bertentangan dengan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Dia melarang beralih daripada hukumNya kepada selain yang telah ditetapkanNya yang berupa semata-mata pendapat, hawa nafsu dan istilah-istilah yang dibuat oleh manusia tanpa bersandarkan syariat Allah swt. 

Sesiapa yang berpaling daripada hukum Allah swt dan RasulNya, maka dia akan ditimpakan bala dengan hukum jahiliah yang ditegakkan di atas kebodohan, kezaliman dan kesesatan. Sebaliknya hukum Allah swt adalah hukum yang tertegak di atas ilmu, keadilan, cahaya dan petunjuk. 

Daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda: 

“Orang yang paling dibenci oleh Allah ‘Azza wa Jalla ialah orang yang mencari hukum jahiliah padahal memeluk Islam, dan menuntut darah orang lain tanpa alasan yang hak untuk menumpahkan darahnya.” 

(HR. At-Tabrani)