Surah 5: Al-Maidah (46 – 47)

Pengutusan Nabi Isa as dan Kitab Injil

Surah 5: Al-Maidah (46 – 47)


Ayat 46

وَقَفَّيْنَا عَلَىٰٓ ءَاثَـٰرِهِم بِعِيسَى ٱبْنِ مَرْيَمَ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ ٱلتَّوْرَىٰةِ ۖ وَءَاتَيْنَـٰهُ ٱلْإِنجِيلَ فِيهِ هُدًى وَنُورٌ وَمُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ ٱلتَّوْرَىٰةِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةً لِّلْمُتَّقِينَ

Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah mengutuskan seorang nabi yang mengikuti jejak langkah para nabi sebelumnya iaitu Nabi Isa putera Maryam yang membenarkan ajaran-ajaran yang dibawa oleh para nabi sebelumnya. Baginda tidak mengingkari dan mempermainkan kitab Taurat. Allah Swt mewahyukan kepadanya kitab Injil yang merupakan kitab suci yang mengandungi petunjuk dan cahaya serta penjelasan hukum-hukum-Nya yang halal dan juga yang haram. 

Selain merupakan petunjuk dan pengajaran buat manusia, kitab Injil membenarkan ajaran kitab Taurat dan menetapkan hukum-hukum yang tertera di dalamnya kecuali yang telah dihapuskan oleh Allah Ta’ala. Oleh itu, orang-orang yang bertakwa akan memperoleh petunjuk dan pengajaran yang sempurna sebagai bekal untuk berjuang pada jalan Allah Swt dalam kehidupannya. 

Ayat 47

وَلْيَحْكُمْ أَهْلُ ٱلْإِنجِيلِ بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فِيهِ ۚ وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ

Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Pengikut-pengikut kitab Injil diperintahkan agar beriman kepada semua perkara yang terkandung di dalamnya dan menjalankan semua perkara yang Allah Swt perintahkan kepada mereka. Ini termasuk beriman kepada berita gembira akan diutus-Nya Nabi Muhammad saw sebagai Rasul dan mereka diperintahkan untuk mengikutinya setelah Baginda telah diutus. 

Orang yang tidak berhukum dengan hukum Allah Swt adalah tergolong sebagai fasik. Fasik terbahagi kepada dua iaitu fasik besar (kufur) dan fasik kecil (masih Islam), iaitu: 

  • Seseorang itu menjadi kafir sekiranya dia menghina hukum Allah Swt atau menganggap halal berhukum dengan hukum selain Allah Swt, contohnya dengan jelas seseorang itu menganggap bahawa hukum selain Allah Swt lebih baik atau lebih sesuai diguna pakai seperti undang-undang yang menyalahi syariat Islam. Mereka tidaklah membuat undang-undang tersebut kecuali kerana beranggapan bahawa hukum Allah Swt tidak sesuai lagi atau kurang tepat. 
  • Seseorang itu boleh menjadi fasik tetapi tidak jatuh kufur apabila dia melakukan perkara maksiat kepada Allah Swt dan meninggalkan hukum Allah Swt atas dasar kelemahan dan kejahilannya namun dia masih yakin dan percaya bahawa hukum Allah Swt adalah hukum yang benar.