Perintah supaya Bertakwa kepada Allah Swt
Surah 5: Al-Maidah (35)
Ayat 35
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱبْتَغُوٓا۟ إِلَيْهِ ٱلْوَسِيلَةَ وَجَـٰهِدُوا۟ فِى سَبِيلِهِۦ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepada-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.
Ayat ini merupakan perintah kepada orang-orang yang beriman agar bertakwa iaitu takut kepada seksaan Allah Ta’ala dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Salah satu cara untuk mendapat rahmat Allah Ta’ala adalah selalu mendekatkan diri kepadaNya dengan cara-cara yang telah disyariatkan oleh-Nya dan berjuang di jalan-Nya.
Wasilah ialah sesuatu amalan yang dilakukan untuk mendapatkan apa yang dikehendaki. Contohnya seorang hamba mendekatkan dirinya kepada Allah Swt dengan memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat di samping amalan wajib (termasuk dalam bermu’amalah). Allah Swt juga mengkhususkan jalan yang utama untuk mendekatkan diri kepada-Nya ialah jihad fii sabilillah, iaitu dengan mengerahkan keringat untuk memerangi orang-orang kafir, sama ada dengan harta, jiwa, dan segala usaha membela agama Allah Swt sesuai dengan kemampuannya. Ini kerana jihad termasuk ketaatan dan pendekatan diri yang utama.