Beberapa Makanan yang Allah Swt Haramkan dan Halalkan serta Penyempurnaan Agama Islam
Surah 5: Al-Maidah (3 – 4)
Ayat 3
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحْمُ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّهِ بِهِۦ وَٱلْمُنْخَنِقَةُ وَٱلْمَوْقُوذَةُ وَٱلْمُتَرَدِّيَةُ وَٱلنَّطِيحَةُ وَمَآ أَكَلَ ٱلسَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى ٱلنُّصُبِ وَأَن تَسْتَقْسِمُوا۟ بِٱلْأَزْلَـٰمِ ۚ ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ ۗ ٱلْيَوْمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَٱخْشَوْنِ ۚ ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَـٰمَ دِينًا ۚ فَمَنِ ٱضْطُرَّ فِى مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ ۙ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Allah Swt menyatakan sepuluh jenis makanan yang diharamkan untuk dimakan iaitu:
1. Bangkai
Bangkai adalah binatang yang mati dengan sendirinya tanpa penyembelihan atau pemburuan. Menurut syariat, bangkai adalah binatang yang mati tanpa disembelih dengan penyembelihan yang sah. Namun ada dua jenis bangkai yang dikecualikan iaitu ikan dan belalang. Rasulullah saw bersabda:
“Dihalalkan bagi kita dua bangkai dan dua darah. Dua bangkai itu adalah bangkai ikan dan belalang. Manakala dua darah itu adalah hati dan limpa.”
(HR. Ahmad, Ad-Daruquthni, Baihaqi dan Ibnu Majah)
Daripada Abu Hurairah ra, dia berkata, Rasulullah saw ditanya tentang air laut, lalu Baginda bersabda:
“Laut adalah suci airnya dan halal bangkainya.”
(HR. Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)
2. Darah
Darah yang dimaksudkan dalam ayat ialah darah yang mengalir daripada binatang tersebut selepas penyembelihannya sama ada sedikit ataupun banyak dan bukannya darah yang berbentuk padat seperti hati, limpa atau sisa-sisa darah yang terdapat pada daging selepas penyembelihannya. Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala:
“Katakanlah: ‘Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir……………….'”
Al-An’am 6:145
3. Daging babi
Seluruh bahagian babi termasuk lemak dan kulitnya. Firman Allah Ta’ala:
“………atau daging babi kerana sesungguhnya semua itu kotor………..”
Al-An’am 6:145
Daripada Jabir bin ‘Abdullah ra, katanya dia mendengar Rasulullah saw, pada tahun penaklukan (Mekah), dan ketika itu dia berada di Mekah, Baginda bersabda:
Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan menjual khamar, bangkai, babi, dan berhala.” Lalu ada yang bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana hukumnya lemak yang terdapat pada bangkai? Kerana lemak bangkai itu digunakan orang untuk meminyaki perahu, kulit dan untuk menyalakan lampu.” Maka Baginda bersabda: “Tidak boleh! Itu haram!” Kemudian Baginda bersabda: “Disebabkan lemak itulah Allah Ta’ala mengutuk orang-orang Yahudi. Allah telah mengharamkan ke atas mereka lemak bangkai, tetapi mereka mengolahnya juga. Kemudian mereka jual, dan hasil penjualannya itu mereka makan.”
(HR. Muslim)
4. Binatang yang disembelih dengan menyebut selain nama Allah Swt.
5. Haiwan yang mati kerana tercekik, sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja.
6. Binatang yang mati akibat terkena pukulan benda tumpul seperti batang kayu, batu atau kerikil.
Daripada ‘Adi bin Hatim, dia mengatakan dia bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku melepaskan anjing-anjing yang terlatih dan aku menyebut nama Allah ketika melepaskannya. Baginda bersabda: ‘Jika engkau melepaskan anjing-anjingmu yang terlatih dan engkau menyebut nama Allah ketika melepaskannya, maka makanlah apa yang ditangkap untukmu.’ Aku bertanya: ‘Meskipun anjing-anjing itu membunuhnya?’ Baginda menjawab: ‘Meskipun anjing-anjing itu membunuhnya selagi tidak ada anjing lain bersama-samanya, sebab engkau hanya menyebut nama Allah pada anjingmu dan tidak menyebut pada yang lain.’ Aku bertanya: ‘Sesungguhnya aku melempar binatang buruan dengan lembing lalu mengenai sasarannya. Baginda menjawab: “Jika engkau melempar dengan lembing lalu lembing itu melukainya, maka makanlah. Namun jika terkena bahagian yang tumpul, maka itu hanyalah haiwan yang mati kerana pukulan, maka janganlah kamu memakannya.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
7. Binatang yang mati kerana terjatuh dari tempat yang tinggi seperti dari atas bukit atau terjatuh ke dalam perigi.
8. Binatang yang mati kerana ditanduk oleh haiwan lain walaupun tandukan tersebut menyebabkan darah keluar daripada lehernya.
9. Binatang yang mati kerana menjadi mangsa binatang buas seperti harimau, singa dan buaya.
Walau bagaimanapun sekiranya seseorang masih sempat menyembelih binatang tersebut dan binatang itu masih bernafas dan bergerak-gerak, maka dia boleh memakannya. Namun sekiranya binatang itu tidak mampu bertahan untuk hidup dengan apa yang menimpanya, dalam hal ini ulama berbeza pendapat, ada yang mengatakan masih boleh dilakukan penyembelihan terhadapnya dan ada yang mengatakan sudah tidak boleh dilakukan penyembelihan tersebut.
10. Binatang yang disembelih di sisi berhala tetap haram walaupun binatang tersebut disembelih dengan menyebut nama Allah Swt. Ini kerana penyembelihan di sisi berhala adalah termasuk perbuatan syirik yang diharamkan-Nya.
Dalam ayat ini juga, Allah Swt menerangkan tentang pengharaman mengundi atau meramal nasib dengan menggunakan anak panah dan memakan upah hasil daripada perbuatan tersebut. Orang-orang Arab pada zaman jahiliah menggunakan anak panah yang tidak mempunyai mata dan tidak memakai bulu untuk menentukan apakah mereka akan melakukan suatu perbuatan atau tidak.
Allah Swt menyatakan bahawa apa yang Dia haramkan atas orang-orang yang beriman melakukannya adalah kerana perbuatan itu merupakan suatu kefasikan yang perlu ditinggalkan.
Allah Swt juga menyatakan kepada orang-orang beriman bahawa orang-orang kafir daripada orang-orang musyrik dan lain-lain telah berputus asa untuk memurtadkan kaum mukmin seperti yang terjadi sebelum pembukaan kota Mekah. Oleh itu, kaum mukmin tidak perlu takut kepada mereka tetapi takutlah kepada Allah Swt dan Dia akan menjadi penolong dan menguatkan orang-orang beriman untuk mengalahkan mereka.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah menyempurnakan agama Islam untuk orang-orang beriman. Ini merupakan nikmat yang terbesar yang diberikan kepada umat ini sehingga mereka tidak memerlukan lagi agama lain dan juga rasul selain Rasulullah saw. Dia mengutuskan Baginda sebagai rasul yang paling mulia dan penutup segala rasul serta kepada Baginda Dia menurunkan kitab-Nya yang paling mulia.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa sesiapa yang berada dalam keadaan darurat iaitu kelaparan yang bersangatan sehingga terpaksa memakan apa yang telah diharamkan-Nya sedangkan dirinya sama sekali tidak berhasrat kepada yang haram, maka ini adalah dikecualikan. Namun hendaklah disesuaikan dengan kadar daruratnya, bukan untuk menikmatinya dan tidak pula melampaui batas ukuran yang diperlukan, tetapi hanya sekadar mempertahankan hidupnya. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada makhluk-makhluk-Nya. Firman-Nya:
“Mengapa kamu tidak mahu memakan (binatang-binatang yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atasmu, kecuali apa yang terpaksa kamu memakannya. Dan sesungguhnya kebanyakan (daripada manusia) benar benar hendak menyesatkan (orang lain) dengan hawa nafsu mereka tanpa pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia-lah yang lebih mengetahui orang-orang yang melampaui batas.”
Al-An’am 6:119
Ayat 4
يَسْـَٔلُونَكَ مَاذَآ أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ ٱلطَّيِّبَـٰتُ ۙ وَمَا عَلَّمْتُم مِّنَ ٱلْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ ٱللَّهُ ۖ فَكُلُوا۟ مِمَّآ أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَٱذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَيْهِ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertakwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisab-Nya”
Allah Swt menyatakan bahawa dibolehkan memakan hasil daripada buruan anjing-anjing yang dilatih secara khusus untuk berburu atau binatang buas yang lain seperti singa, harimau dan burung-burung seperti burung helang.
Tanda binatang buruan itu sudah terlatih adalah apabila disuruh mengejar buruan, ia mengejar, apabila disuruh berhenti, ia menahan diri dan jika disuruh menahan buruan iaitu tidak memakannya, binatang buruan itu patuh dan tidak memakannya.
Terdapat dua syarat yang berkaitan dalam hal ini:
- Membaca nama Allah Swt ketika melepaskan binatang pemburu dengan mengucapkan Basmallah.
- Binatang pemburu tidak memakan sebahagian daripada binatang buruannya. Sekiranya ia memakannya ini bermaksud ia berburu untuk dirinya dan tidak untuk tuannya, kecuali jika haiwan buruan itu masih hidup, lalu menyembelihnya, maka pada saat itu haiwan tadi halal kerana disembelih dan bukan kerana diburu.
Daripada ‘Adi bin Hatim ra, daripada Nabi saw, Baginda bersabda:
“Jika engkau melepas anjingmu yang terlatih dan engkau sebut nama Allah, lalu ia menangkap dan membunuh binatang buruan, makanlah binatang itu! Tetapi jika anjing itu makan binatang itu, jangan engkau makan, kerana ia menangkapnya untuk dirinya sendiri. Kalau ia ada bersama anjing lain yang tidak engkau sebutkan nama Allah, lalu anjing itu menangkap dan membunuh binatang buruan, jangan engkau makan, kerana engkau tidak tahu anjing mana yang membunuh. Kalau engkau memanah binatang buruan, lalu setelah sehari atau dua hari baru engkau temukan, dan hanya terdapat bekas anak panahmu sahaja, makanlah! Tetapi kalau jatuh ke dalam air, jangan dimakan!”
(HR. Al-Bukhari)
Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya agar bertakwa kepada-Nya. Ini berkaitan dengan semua peraturan dan batasan-Nya, maka jangan sekali-kali menyalahi-Nya. Sesungguhnya Dia amat cepat hisab-Nya.