Kisah Nabi Musa as bersama Bani Israil yang Enggan Berjihad pada Jalan Allah Swt
Surah 5: Al-Maidah (20 – 26)
Ayat 20
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِۦ يَـٰقَوْمِ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنۢبِيَآءَ وَجَعَلَكُم مُّلُوكًا وَءَاتَىٰكُم مَّا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًا مِّنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Dia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)”.
Allah Swt memberitahu bahawa Nabi Musa as menyampaikan peringatan-Nya kepada kaumnya iaitu Bani Israil agar mengingati nikmat-nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada mereka. Antara nikmat-nikmat itu ialah ramainya Nabi-nabi yang diangkat daripada kalangan mereka yang menyeru kepada-Nya dan memperingatkan mereka tentang azab-Nya serta mereka juga dibebaskan daripada cengkaman Firaun.
Allah Ta’ala juga menyatakan bahawa Dia telah memberikan mereka apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun daripada umat-umat yang lain pada masa itu seperti terbelahnya lautan, ditenggelamkannya musuh mereka, dinaungi awan, penurunan Manna dan Salwa dan hal-hal luar biasa lainnya.
Ayat 21
يَـٰقَوْمِ ٱدْخُلُوا۟ ٱلْأَرْضَ ٱلْمُقَدَّسَةَ ٱلَّتِى كَتَبَ ٱللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا۟ عَلَىٰٓ أَدْبَارِكُمْ فَتَنقَلِبُوا۟ خَـٰسِرِينَ
(Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”.
Allah Swt menyatakan bahawa Nabi Musa as memerintahkan Bani Israil untuk memasuki tanah Palestin dan melawan pihak musuh yang ada di sana. Ini berlaku selepas mereka menyeberangi laut setelah diselamatkan-Nya daripada Firaun dan bala tenteranya. Mereka disuruh memasuki negeri itu kerana Allah Swt telah menetapkan bahawa negeri itu adalah untuk mereka dan itulah tempat asal mereka. Namun ketika itu kota tersebut ditawan dan didiami oleh satu kumpulan yang kuat.
Ketika itu Nabi Musa as mendapati bahawa mereka takut untuk memasuki kota itu, maka Baginda mengingatkan mereka supaya tidak mundur dan lari ke belakang lalu tidak melakukan jihad. Ini kerana sekiranya mereka berpatah balik, mereka akan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat.
Kerugian di dunia adalah disebabkan negeri yang patut menjadi hak mereka, mereka lepaskan. Manakala kerugian di akhirat pula adalah disebabkan mereka melawan arahan Allah Swt, maka mereka akan diazab. Oleh itu, kesalahan besar mereka ketika itu adalah kerana tidak menyahut seruan jihad.
Tanah Palestin itu ditentukan Allah Swt bagi kaum Yahudi selagi mereka beriman dan taat kepada Allah Ta’ala. Ibnu ‘Abbas ra mengatakan bahawa pada mulanya Tanah Suci itu adalah hibah untuk mereka kemudian Allah Ta’ala mengharamkan Tanah Suci tersebut kepada mereka disebabkan pembangkangan terhadap perintah-Nya dan juga kemaksiatan yang mereka lakukan.
Ayat 22
قَالُوا۟ يَـٰمُوسَىٰٓ إِنَّ فِيهَا قَوْمًا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا حَتَّىٰ يَخْرُجُوا۟ مِنْهَا فَإِن يَخْرُجُوا۟ مِنْهَا فَإِنَّا دَٰخِلُونَ
Mereka menjawab: “Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)”.
Allah Swt menjelaskan bahawa mereka ini mencari-cari alasan untuk tidak memasuki kota Palestin dan memerangi penduduknya. Alasan mereka ialah penduduk kota itu mempunyai tubuh yang gagah perkasa dan mereka tidak mampu untuk menghadapi mereka.
Kata-kata ini keluar daripada mulut orang-orang yang pengecut dan kurang keyakinan. Jika mereka berfikiran matang, tentu mereka akan mengetahui bahawa mereka semua berasal daripada keturunan Nabi Adam as dan merupakan orang yang diberikan kekuatan oleh Allah Swt. Ini kerana tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya dan tentu mereka akan mengetahui bahawa mereka akan menang, kerana Dia telah menjanjikan kemenangan kepada mereka.
Ayat 23
قَالَ رَجُلَانِ مِنَ ٱلَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمَا ٱدْخُلُوا۟ عَلَيْهِمُ ٱلْبَابَ فَإِذَا دَخَلْتُمُوهُ فَإِنَّكُمْ غَـٰلِبُونَ ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓا۟ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: “Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman”
Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, ‘Ikrimah dan ramai lagi selain mereka mengatakan bahawa dua orang itu adalah Yusya’ bin Nun dan Kalib bin Yufana yang berwibawa dan memiliki kedudukan. Nabi Musa as mengutus mereka untuk memeriksa kaum yang kuat dan kejam itu.
Kedua-duanya menganjurkan kepada orang-orang yang di bawah pimpinan mereka untuk berjihad dan bertawakkal kepada Allah Swt serta mengikuti arahan Rasul-Nya. Dengan berbuat demikian pasti Allah Swt akan membela dan memenangkan mereka serta dapat memasuki negeri yang telah ditetapkan-Nya untuk mereka. Kedua-duanya mengatakan seperti itu kerana yakin dengan pertolongan Allah Swt dan bahawa Dia akan memenuhi janji-Nya.
Ayat 24
قَالُوا۟ يَـٰمُوسَىٰٓ إِنَّا لَن نَّدْخُلَهَآ أَبَدًا مَّا دَامُوا۟ فِيهَا ۖ فَٱذْهَبْ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَـٰتِلَآ إِنَّا هَـٰهُنَا قَـٰعِدُونَ
Mereka (menolak dengan) berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu”.
Allah Swt merakamkan jawapan Bani Israil yang sungguh biadab terhadap Nabi Musa as. Mereka menyuruh Baginda memasuki kota tersebut bersama Rabbnya. Mereka menolak arahan daripada rasul mereka dan dalam masa yang sama mereka membangkang hukum Allah Swt yang menyuruh mereka berjihad.
Sungguh berbeza perkataan mereka dengan jawapan para sahabat Nabi Muhammad saw ketika mereka bermusyawarah untuk berperang dengan golongan musyrik Quraisy dalam peperangan Badar. Abu Bakar bin Mardawaih meriwayatkan daripada Anas ra, dia berkata ketika Rasulullah saw berangkat ke Badar, Baginda mengajak kaum muslimin bermusyawarah. Kemudian ‘Umar ra memberikan pendapat. Selanjutnya Baginda meminta pendapat mereka, maka kaum Ansar berkata: ‘Wahai sekalian kaum Ansar, kepada kamu Rasulullah saw meminta cadangan.’ Mereka berkata, ‘Kalau begitu, kami tidak akan mengatakan kepada Baginda seperti yang dikatakan oleh Bani Israil kepada Nabi Musa as: “Pergilah kamu bersama Rabbmu, dan peranglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini sahaja.” Demi Zat yang mengutusmu dengan benar, seandainya engkau menempuh jarak yang sangat jauh, sejauh ke Barkil Ghimad sekalipun, nescaya kami akan ikut bersamamu.” (Hadis ini diriwayatkan juga oleh Ahmad, An-Nasa’i dan Ibnu Hibban)
Ayat 25
قَالَ رَبِّ إِنِّى لَآ أَمْلِكُ إِلَّا نَفْسِى وَأَخِى ۖ فَٱفْرُقْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ ٱلْقَوْمِ ٱلْفَـٰسِقِينَ
Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu”.
Ketika Bani Israil enggan untuk ikut berperang, maka Nabi Musa as marah kerana tidak ada seorang pun daripada mereka yang mematuhinya untuk melaksanakan perintah Allah Swt kecuali dia dan saudaranya Nabi Harun as.
Setelah Nabi Musa as melihat segala usaha dakwah untuk mengajak umatnya yang degil itu tidak berjaya, maka Baginda berdoa kepada Allah Swt. Ayat ini mengajar kita untuk sentiasa mengadu kepada-Nya setelah berusaha kerana usaha manusia sangatlah terhad.
Nabi Musa as berdoa supaya Allah Swt memberi keputusan antara mereka berdua iaitu Baginda as dan Nabi Harun as dengan kaum mereka yang fasik itu.
Ayat 26
قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيْهِمْ ۛ أَرْبَعِينَ سَنَةً ۛ يَتِيهُونَ فِى ٱلْأَرْضِ ۚ فَلَا تَأْسَ عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْفَـٰسِقِينَ
Allah berfirman: “Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya – selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu”.
Setelah Nabi Musa as mendoakan keburukan kepada mereka kerana enggan berjihad, Allah Swt mengharamkan mereka memasuki Baitul Maqdis selama empat puluh tahun. Akhirnya mereka terdampar di Padang Tiih. Mereka terus menerus berjalan dan tidak memperoleh jalan keluar dari Padang Tiih tersebut.
Allah Maha Mengetahui bahawa Nabi Musa as sangat sayang kepada semua manusia, khusus kepada umatnya. Oleh sebab ada perasaan sayang tersebut, Baginda kasihan kepada umatnya yang terkena hukuman itu bahkan ada keinginan untuk dihilangkan hukuman itu. Maka Allah Swt menyuruh Baginda agar tidak bersedih terhadap mereka kerana mereka telah berbuat fasik sehingga layak dihukum.
Setelah empat puluh tahun berakhir, Yusya’ keluar dari padang pasir tersebut bersama dengan generasi kedua Bani Israil menuju ke Baitul Maqdis untuk kembali menaklukinya. Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra tentang ayat ini, dia mengatakan: “Mereka berputar-putar kebingungan selama empat puluh tahun. Kemudian Nabi Musa as dan Nabi Harun as meninggal dunia dalam tempoh masa tersebut. Begitu juga dengan semua orang yang berusia lebih dari empat puluh tahun. Ketika telah berlalu empat puluh tahun, Yusya’ bin Nun membangkitkan semangat mereka. Dialah yang mengambil alih tugas Nabi Musa as sepeninggalannya dan dialah yang menakluk Baitul Maqdis.”
(HR. At-Tabari)