Surah 5: Al-Maidah (12 – 14)

Pengingkaran Janji oleh Bani Israil dan Kaum Nasrani

Surah 5: Al-Maidah (12 – 14)


Ayat 12

وَلَقَدْ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَـٰقَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ ٱثْنَىْ عَشَرَ نَقِيبًا ۖ وَقَالَ ٱللَّهُ إِنِّى مَعَكُمْ ۖ لَئِنْ أَقَمْتُمُ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَيْتُمُ ٱلزَّكَوٰةَ وَءَامَنتُم بِرُسُلِى وَعَزَّرْتُمُوهُمْ وَأَقْرَضْتُمُ ٱللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا لَّأُكَفِّرَنَّ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۚ فَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ

Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israil (supaya mereka menjunjung perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya), dan Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka): “Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanku) serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan agama Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalan-Nya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah ia dari jalan yang betul”

Allah Swt menjelaskan kepada orang-orang beriman bagaimana Dia mengambil perjanjian daripada orang-orang sebelum mereka daripada kalangan ahli kitab iaitu Yahudi dan Nasrani. Perjanjian diambil daripada kabilah-kabilah mereka untuk berbai’ah, mendengar dan taat kepada-Nya dan Rasul-Nya serta kitab-Nya. 

Ketika mereka mengingkari janji mereka kepada Allah Swt, mereka pun dilaknat dan jauh daripada pintu rahmat-Nya. Dia menutup hati mereka sehingga mereka tidak mendapat petunjuk kepada agama yang benar, iaitu ilmu yang bermanfaat dan dapat beramal soleh. 

Ibnu Ishaq, Ibnu ‘Abbas ra dan beberapa orang ulama lain mengatakan bahawa hal itu terjadi ketika Nabi Musa as berangkat untuk memerangi para penguasa yang zalim. Baginda diperintahkan agar setiap kabilah mengangkat seorang pemimpin. 

Demikian juga ketika Rasulullah saw membai’ah kaum Ansar pada malam ‘Aqabah. Di kalangan mereka terdapat dua belas orang kepala suku. Tiga di antaranya berasal daripada suku Aus, iaitu Usaid bin Al-Hudhair, Sa’ad bin Khaithamah, dan Rifa’ah bin ‘Abdul Mundzir (yang katanya digantikan oleh Abul Haitham Ibnu At-Tihan). Sembilan lagi daripada suku Khazraj, iaitu Abu Umamah As’ad bin Zurarah, Sa’ad bin Rabi’, ‘Abdullah bin Rawahah, Rafi’ Ibnu Malik bin ‘Ajlan, Al-Barra’ bin Ma’rur, ‘Ubadah bin Samit, Sa’ad bin ‘Ubadah, ‘Abdullah bin ‘Amr bin Haram, dan Al-Mundzir bin ‘Amr bin Khunais. Mereka semua ini disebut oleh Ka’ab bin Malik dalam sebuah syairnya, sebagaimana dikemukakan oleh Ibnu Ishaq. 

Ini bermaksud, mereka ini adalah orang-orang yang arif dan bijaksana daripada kaum mereka yang memahami urusan Nabi saw. Mereka inilah yang mewakili kaum mereka untuk menangani soal perjanjian dan berbai’ah kepada Rasulullah saw iaitu untuk selalu mendengar dan taat. 

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan jika sesiapa yang menyalahi dan mengingkari perjanjian tersebut setelah diadakan, dikukuhkan, ditekankan dan memperlakukannya seperti orang yang tidak mengetahuinya, bermakna dia benar-benar telah terpesong daripada jalan yang jelas dan lurus, serta menyimpang daripada petunjuk menuju kepada kesesatan. 

Ayat 13

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَـٰقَهُمْ لَعَنَّـٰهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَـٰسِيَةً ۖ يُحَرِّفُونَ ٱلْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِۦ ۙ وَنَسُوا۟ حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا۟ بِهِۦ ۚ وَلَا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَىٰ خَآئِنَةٍ مِّنْهُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ ۖ فَٱعْفُ عَنْهُمْ وَٱصْفَحْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ

Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka mereka dengannya. Dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.

Setelah itu Allah Swt memberitahu hukuman yang akan menimpa mereka ketika mereka iaitu Bani Israil melanggar dan menyalahi perjanjian mereka dengan-Nya. Disebabkan pelanggaran mereka terhadap perjanjian yang telah diambil daripada mereka, maka Allah Swt melaknat mereka. Dia jauhkan mereka daripada kebenaran dan petunjuk. Hati mereka jadi keras dan mereka tidak dapat lagi menerima nasihat. Firman-Nya: 

“Allah telah mengunci-mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.” 

Al-Baqarah 2:7 

Mereka mengubah ayat-ayat Allah Swt lalu rosaklah pemahaman mereka. Mereka mentakwilkan kitab Taurat bukan menurut yang diturunkan-Nya, memberikan makna tidak seperti yang dimaksudkan-Nya dan mereka mengatakan apa yang sebenarnya tidak difirmankan oleh Allah Ta’ala. (Kita berlindung kepada Allah Swt daripada hal seperti ini). Mereka sengaja tidak mengamalkan perintah-Nya kerana benci terhadapnya. 

Ayat 14

وَمِنَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّا نَصَـٰرَىٰٓ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَهُمْ فَنَسُوا۟ حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا۟ بِهِۦ فَأَغْرَيْنَا بَيْنَهُمُ ٱلْعَدَاوَةَ وَٱلْبَغْضَآءَ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۚ وَسَوْفَ يُنَبِّئُهُمُ ٱللَّهُ بِمَا كَانُوا۟ يَصْنَعُونَ

Dan di antara orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini orang-orang Nasrani”, Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya, lalu Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka, sampai ke hari kiamat; dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang telah mereka kerjakan.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah mengambil perjanjian daripada orang-orang yang mengaku bahawa diri mereka memeluk agama Nasrani. Mereka ini adalah para pengikut Nabi Isa as padahal mereka sebenarnya tidak demikian. Mereka telah berjanji untuk sentiasa mengikuti Rasulullah saw, menolong, membelanya dan mengikuti jejaknya serta beriman kepada semua nabi yang diutus-Nya kepada penduduk bumi ini. Namun mereka melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi iaitu mereka mengingkari janji dan membatalkan perjanjian tersebut. 

Oleh itu, Allah Swt menimbulkan permusuhan dan kebencian sesama mereka dan ini akan terus menerus berlaku sehingga hari kiamat. Orang-orang Nasrani yang terbahagi kepada pelbagai kelompok dan ragam ini bermusuh-musuhan dan saling kafir mengkafir serta saling mengutuk sesama mereka sehingga masing-masing kelompok tidak membenarkan kelompok lain memasuki tempat ibadah mereka.

Setelah itu, Allah Swt menyatakan bahawa kelak Dia akan memberitahu mereka apa yang selalu mereka lakukan. Ini merupakan ancaman yang keras kepada orang-orang Nasrani terhadap pendustaan mereka kepada Allah Swt dan Rasul-Nya. Mereka mengatakan Allah Swt mempunyai isteri dan anak. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka katakan. Allah Maha Esa, Dia-lah yang menjadi tempat bergantung semua makhluk, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, serta tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya.