Surah 5: Al-Maidah (119 – 120)

Hari Kiamat adalah Hari yang Tauhid Seseorang Bermanfaat Baginya

Surah 5: Al-Maidah (119 – 120)


Ayat 119

قَالَ ٱللَّهُ هَـٰذَا يَوْمُ يَنفَعُ ٱلصَّـٰدِقِينَ صِدْقُهُمْ ۚ لَهُمْ جَنَّـٰتٌ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

Allah berfirman: “Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar”.

Allah Swt menjelaskan bahawa pada hari kiamat kelak, orang-orang yang sentiasa benar dalam agama-Nya iaitu tetap dalam tauhid, akan memperoleh manfaat daripada kebenaran iman mereka dan daripada kejujuran perbuatan dan perkataan mereka. 

Manfaat yang mereka peroleh itu ialah pertama, kenikmatan syurga iaitu merupakan kenikmatan yang memberikan kepuasan jasmani. Manakala yang kedua, kenikmatan mendapat keredhaan Allah Swt iaitu kenikmatan yang memberikan ketenteraman dan kepuasan rohani. Segala amal perbuatan mereka diterima oleh Allah Swt sebagai ibadah di sisi-Nya dan Dia memberikan anugerah dan penghargaan kepada mereka. Ini menjadikan mereka berasa bahagia kerana memperoleh penghargaan daripada-Nya yang tidak ada kenikmatan yang lebih besar daripada mendapat penghargaan daripadaNya. 

Allah Swt redha terhadap mereka dan mereka redha terhadap-Nya. Inilah puncak kebahagiaan abadi dalam diri manusia. Kedua-dua nikmat ini iaitu syurga dan redha Allah Swt yang diperoleh selepas berlaku huru hara hari kiamat adalah nikmat yang tidak ada bandingannya. 

Ayat 120

لِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا فِيهِنَّ ۚ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Allah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya; dan Dia-lah jua yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah Swt menutup surah ini dengan menyatakan bahawa Dia-lah yang memiliki segala kerajaan langit dan bumi berserta isinya. Dia lah yang menguruskannya dan menguasainya. Segala sesuatu baik makhluk yang berakal mahupun yang tidak berakal, benda-benda mati atau pun makhluk bernyawa, semuanya tunduk dan berada di bawah kekuasaan dan kehendak-Nya. Tidak ada ilah selain-Nya yang turut memiliki dan menguasainya. 

Ayat ini memberi peringatan kepada orang-orang Nasrani atas kesalahan dakwaan mereka terhadap Nabi Isa as dan ibunya. Sebenarnya mereka berdua adalah hamba Allah dan milik-Nya. Mereka bukanlah sekutu Allah Swt atau pun tandingan-Nya. Oleh itu, tidaklah patut doa dan ibadah dihadapkan kepada kedua-duanya. Hanya Allah-lah yang berhak disembah kerana Dia-lah pemilik dan penguasa alam ini berserta segala isinya.