Surah 5: Al-Maidah (109)

Para Rasul akan Menjadi Saksi terhadap Umat Mereka pada Hari Kiamat

Surah 5: Al-Maidah (109)


Ayat 109

يَوْمَ يَجْمَعُ ٱللَّهُ ٱلرُّسُلَ فَيَقُولُ مَاذَآ أُجِبْتُمْ ۖ قَالُوا۟ لَا عِلْمَ لَنَآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ عَلَّـٰمُ ٱلْغُيُوبِ

(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya lalu bertanya: “Apakah penerimaan yang diberikan kepada kamu (oleh umat-umat kamu dahulu, ketika kamu menyampaikan seruan agama Allah)?” Rasul-rasul itu menjawab: “Tidak ada bagi kami pengetahuan yang sah tentang itu, (pengetahuan yang tepat adalah tertentu bagiMu), kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala perkara yang ghaib”

Ayat ini adalah tentang pertanyaan Allah Ta’ala kepada para rasul pada hari kiamat. Dia bertanyakan kepada para rasul tentang jawapan umat-umat mereka terhadap seruan mereka. Padahal kepada merekalah Dia mengutuskan para rasulNya. FirmanNya: 

“Maka sesungguhnya Kami akan menyoal umat-umat yang telah diutus rasul-rasul kepada mereka dan sesungguhnya Kami akan menyoal (pula) rasul-rasul (Kami),” 

Al-A’raf 7:6 

Mujahid, Hasan Al-Basri dan As-Suddi mengatakan para rasul mengucapkan, “Tidak ada pengetahuan kami (tentang itu),” adalah kerana mereka takut dengan kedahsyatan pada hari kiamat. 

Sebahagian ulama mengatakan bahawa ucapan para rasul itu merupakan etika atau akhlak mereka terhadap Allah Ta’ala yang menyatakan bahawa mereka tidak memiliki pengetahuan dibandingkan dengan ilmuNya yang meliputi segala sesuatu. Sekiranya ada di antara seruan mereka itu dipenuhi dan mereka mengetahui siapa di antara umat mereka yang memenuhi seruan tersebut, itu hanyalah secara zahir sahaja dan mereka langsung tidak mengetahui apa sebenarnya yang ada dalam hati-hati umat mereka. Manakala Allah pula Maha Mengetahui segala sesuatu sama ada yang nyata dan tersembunyi. Oleh itu, pengetahuan mereka jika dibandingkan dengan pengetahuan Allah Ta’ala adalah seperti tidak berpengetahuan langsung. Ini kerana Allah Ta’ala mengetahui segala perkara yang ghaib.