Surah 5: Al-Maidah (106 – 108)

Hukum Wasiat

Surah 5: Al-Maidah (106 – 108)


Ayat 106

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ شَهَـٰدَةُ بَيْنِكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلْمَوْتُ حِينَ ٱلْوَصِيَّةِ ٱثْنَانِ ذَوَا عَدْلٍ مِّنكُمْ أَوْ ءَاخَرَانِ مِنْ غَيْرِكُمْ إِنْ أَنتُمْ ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَأَصَـٰبَتْكُم مُّصِيبَةُ ٱلْمَوْتِ ۚ تَحْبِسُونَهُمَا مِنۢ بَعْدِ ٱلصَّلَوٰةِ فَيُقْسِمَانِ بِٱللَّهِ إِنِ ٱرْتَبْتُمْ لَا نَشْتَرِى بِهِۦ ثَمَنًا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ ۙ وَلَا نَكْتُمُ شَهَـٰدَةَ ٱللَّهِ إِنَّآ إِذًا لَّمِنَ ٱلْـَٔاثِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang lain (yang bukan seagama) dengan kamu, jika kamu dalam pelayaran di muka bumi lalu kamu ditimpa bencana sakit yang membawa maut. Kalau kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi itu, hendaklah) kamu tahan mereka sesudah selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh) bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata: “Demi Allah) kami tidak akan menjual sumpah kami untuk mendapat sesuatu harta benda, walaupun orang itu dari kaum kerabat, dan kami tidak menyembunyikan (keterangan yang kami ketahui) sebagai saksi (sebagaimana yang diperintahkan oleh) Allah, (kerana jika kami menyembunyikannya) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan orang-orang yang berdosa”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa ketika orang-orang mukmin mendapati salah seorang daripada mereka sudah kelihatan tanda-tanda hampir kepada kematiannya, maka hendaklah didatangkan dua orang saksi yang adil dan berpendirian teguh daripada kaum muslimin untuk menyaksikan wasiatnya iaitu mereka akan memberikan persaksian yang benar dan tidak akan menyembunyikan sesuatu yang mereka ketahui tentang wasiat tersebut.  

Sekiranya seseorang itu menghadapi kematian dalam perjalanan dan tidak ada seorang pun kaum muslimin kecuali orang kafir yang bersifat adil dan berpendirian teguh, maka dibolehkan mengambil mereka sebagai saksi. Ini menunjukkan betapa pentingnya wasiat dan persaksian terhadap wasiat tersebut. Dua syarat yang diletakkan sekiranya hendak menjadikan orang kafir sebagai saksi ialah: 

  • Dalam perjalanan dan tidak menemui orang Islam yang lain
  • Ketika keadaan seseorang memerlukan membuat wasiat

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksud ayat, “kamu tahan mereka sesudah selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh) bersumpah dengan nama Allah” ialah dua orang saksi tersebut diminta bersumpah setelah selesai solat asar. Begitu juga yang dinyatakan oleh Sa’id bin Jubair, Ibrahim An-Nakha’i, Qatadah, ‘Ikrimah dan Muhammad bin Sirin. Az-Zuhri mengatakan, solat tersebut dilakukan oleh kaum muslimin. 

Kedua-dua saksi ini dikehendaki bersumpah dengan nama Allah swt. Persaksian itu disandarkan kepada Allah swt sebagai penghormatan kepada perkara tersebut. Oleh itu sumpah itu adalah dengan menyebut: 

“Demi Allah, kami tidak akan menukar sumpah ini dengan harga yang sedikit (untuk kepentingan seseorang), walaupun dia karib kerabat (kami) dan tidak (pula) kami akan menyembunyikan persaksian Allah.”   

Apabila kedua-dua saksi itu cukup dipercayai, maka persaksian mereka atas wasiat tersebut tidak perlu disertai dengan sumpah. Namun apabila ahli waris daripada orang yang berwasiat itu meragukan kejujuran saksi-saksi tersebut, maka saksi-saksi itu diminta untuk mengucapkan sumpah bagi menguatkan persaksian mereka, sehingga dapat diharapkan mereka akan benar-benar bertindak sebagai saksi yang jujur dan dapat dipercayai sepenuhnya. 

Ayat 107

فَإِنْ عُثِرَ عَلَىٰٓ أَنَّهُمَا ٱسْتَحَقَّآ إِثْمًا فَـَٔاخَرَانِ يَقُومَانِ مَقَامَهُمَا مِنَ ٱلَّذِينَ ٱسْتَحَقَّ عَلَيْهِمُ ٱلْأَوْلَيَـٰنِ فَيُقْسِمَانِ بِٱللَّهِ لَشَهَـٰدَتُنَآ أَحَقُّ مِن شَهَـٰدَتِهِمَا وَمَا ٱعْتَدَيْنَآ إِنَّآ إِذًا لَّمِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Kemudian jika didapati bahawa kedua saksi itu (sesudah bersumpah) ada melakukan dosa (kerana berdusta atau mengkhianati dalam perkara yang mereka menjadi saksi itu), maka hendaklah dua orang yang lain menggantikan tempat mereka dari waris-waris si mati lebih dekat, yang lebih berhak (menuntut dan memberi keterangan yang sebenarnya), kemudian mereka bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata): “Demi sesungguhnya, persaksian kami lebih berhak diterima daripada persaksian kedua saksi itu (yang telah nyata berdusta), dan kami tidak melampaui batas, (kerana jika kami berbuat demikian) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.”

Jika diketahui berdasarkan ada tanda-tanda yang menunjukkan kedua-duanya berdusta dan berkhianat, iaitu melakukan kecurangan dalam persaksiannya atau berdusta, contohnya mengaku bahawa kedua-duanya telah melakukan transaksi jual beli dengan si mati sebelum matinya atau mengaku bahawa si mati telah berwasiat untuk mereka berdua, maka hendaklah dua orang daripada wali yang terdekat dengan si mati lalu bersumpah bahawa kedua-dua saksi itu telah berdusta, telah mengubah wasiat (pesan si mati) dan berkhianat. 

Bunyi sumpah yang diucapkan oleh kedua-dua waris tersebut adalah seperti dalam Firman Allah Ta’ala: 

“Demi sesungguhnya, persaksian kami lebih berhak diterima daripada persaksian kedua saksi itu (yang telah nyata berdusta), dan kami tidak melampaui batas, (kerana jika kami berbuat demikian) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.

Ayat 108

ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَن يَأْتُوا۟ بِٱلشَّهَـٰدَةِ عَلَىٰ وَجْهِهَآ أَوْ يَخَافُوٓا۟ أَن تُرَدَّ أَيْمَـٰنٌۢ بَعْدَ أَيْمَـٰنِهِمْ ۗ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱسْمَعُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْفَـٰسِقِينَ

(Hukum-hukum dan peraturan menjadi saksi) yang tersebut itu adalah jalan yang lebih dekat untuk mereka memberi keterangan persaksian menurut cara yang sebenarnya, atau untuk mereka merasa takut akan ditolak sumpah mereka (kepada waris-waris si mati) sesudah mereka bersumpah (yang akan mendedahkan kecurangan mereka). Oleh itu bertakwalah kepada Allah, dan dengarlah dengan patuh (segala perintahNya), dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.

Cara sumpah seperti yang disebutkan dalam ayat sebelum ini adalah merupakan cara sumpah yang lebih dekat kepada kebenaran. Bersumpah seperti ini dapat mendorong orang-orang yang bersumpah itu (sama ada penerima wasiat, walaupun ahli waris bagi pihak yang bersumpah itu) agar mereka memberikan persaksian yang benar dan penuh rasa tanggung jawab serta mengagungkan Allah Ta’ala yang namaNya disebut dalam sumpah mereka. 

Begitu juga cara ini akan menjadikan mereka lebih berhati-hati dalam memelihara wasiat dan persaksian itu agar terhindar daripada azab dan kemurkaanNya. Juga supaya sumpah itu tidak dialihkan kepada orang lain disebabkan ketidakjujuran dalam bersumpah. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memberi peringatan supaya bertakwa kepadaNya, merasakan selalu diawasi olehNya dan berwaspada terhadap seksaanNya dalam sumpah-sumpah yang mereka lafazkan. Mereka juga diingatkan agar tunduk kepada hukum-hukumNya kerana sekiranya tidak, mereka termasuk dalam golongan orang-orang yang fasik.