Orang Musyrik Bertaklid Buta terhadap Ajaran Nenek Moyang Mereka
Surah 5: Al-Maidah (103 – 104)
Ayat 103
مَا جَعَلَ ٱللَّهُ مِنۢ بَحِيرَةٍ وَلَا سَآئِبَةٍ وَلَا وَصِيلَةٍ وَلَا حَامٍ ۙ وَلَـٰكِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يَفْتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ ۖ وَأَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ
Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa’ibah, tidak juga Wasilah dan tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal fikirannya.
Allah Ta’ala menegaskan bahawa Dia tidak pernah menetapkan pengharaman beberapa perkara seperti yang berlaku dalam adat jahiliah. Mereka telah mereka-reka pelbagai jenis nama kepada binatang yang mereka tidak makan dagingnya sebagai syariat agama. Mereka sendiri yang menetapkan haramnya memakan daging binatang-binarang tersebut. Namun mereka mengatakan bahawa ketentuan itu adalah datangnya daripada Allah Ta’ala. Sungguh amat keji dan hina pendustaan mereka. Binatang-binatang yang mereka ada-adakan hukumnya itu adalah seperti berikut:
- Bahirah iaitu unta betina yang telah beranak lima kali dan anak kelima itu jantan. Lalu unta betina itu dibelah telinganya, dilepaskan, tidak boleh lagi ditunggangi dan tidak boleh diambil susunya.
- Saibah iaitu unta betina yang dibiarkan lepas dan boleh pergi ke mana sahaja kerana sesuatu nazar. Kebiasaan orang-orang Arab jahiliah, apabila ingin melakukan sesuatu pekerjaan atau mengadakan perjalanan yang sukar, maka mereka bernazar akan menjadikan untanya saibah selepas pekerjaan atau perjalanan mereka berhasil dengan selamat.
- Wasilah iaitu seekor biri-biri betina melahirkan anak kembar jantan dan betina. Anak yang jantan ini disebut wasilah, tidak disembelih dan diserahkan kepada berhala.
- Ham iaitu unta jantan yang tidak boleh diganggu disebabkan ia telah dapat membuntingkan unta betina sebanyak sepuluh kali.
Perlakuan terhadap bahirah, saibah, wasilah dan ham ini adalah kepercayaan Arab Jahiliyah. Oleh itu, dalam ayat ini Allah Ta’ala membantahnya dan menegaskan bahawa orang-orang kafir sendirilah yang menetapkan ketentuan itu. Dengan demikian, mereka telah mengadakan kebohongan terhadap Allah Ta’ala.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menerangkan, bahawa kebanyakan orang-orang kafir tidak menggunakan akal fikiran mereka. Ini kerana sekiranya mereka mahu menggunakan akal yang sihat, nescaya mereka tidak akan membuat kebohongan terhadap-Nya dan mereka juga tidak akan mengharamkan apa-apa yang tidak diharamkan-Nya.
Ayat 104
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا۟ إِلَىٰ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَإِلَى ٱلرَّسُولِ قَالُوا۟ حَسْبُنَا مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ ءَابَآءَنَآ ۚ أَوَلَوْ كَانَ ءَابَآؤُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ شَيْـًٔا وَلَا يَهْتَدُونَ
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)”, mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya”. Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?
Allah Ta’ala menyatakan apabila orang-orang musyrik diajak mengamalkan hukum-hukum-Nya yang telah diperkuatkan dengan dalil-dalil dan bukti-bukti yang jelas melalui Rasulullah saw, mereka bersikap keras kepala dan degil. Mereka tetap menolaknya dengan mengatakan cukuplah mereka mewarisi apa yang nenek moyang mereka telah lakukan.
Lalu Allah Swt membantah mereka dengan mengatakan bagaimana mungkin mereka mengikuti nenek moyang mereka yang sama sekali tidak mengetahui kebenaran tentang syariat, kemaslahatan atau kebaikan bagi agama dan urusan dunia. Mereka sebenarnya menjerumuskan diri mereka kepada perkauman, khurafat dan menetapkan sesuatu peraturan itu mengikut hawa nafsu seperti menguburkan anak perempuan hidup-hidup, minum khamar, menzalimi anak-anak yatim, menzalimi wanita, melakukan dosa-dosa besar dan mencetuskan permusuhan serta kebencian.
Ayat ini merupakan celaan Allah Swt terhadap sikap taklid buta dan fanatik yang diwarisi tanpa kesedaran dan pengetahuan. Firman-Nya:
“Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,” mereka menjawab, “(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati daripada (perbuatan) nenek moyang kami.” (Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?”
Al-Baqarah 2:170