Perintah supaya Mendamaikan Dua Golongan Kaum Muslimin yang Saling Bertengkar
Surah 49: Al-Hujurat (9 – 10)
Ayat 9
وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱقْتَتَلُوا۟ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَهُمَا ۖ فَإِنۢ بَغَتْ إِحْدَىٰهُمَا عَلَى ٱلْأُخْرَىٰ فَقَـٰتِلُوا۟ ٱلَّتِى تَبْغِى حَتَّىٰ تَفِىٓءَ إِلَىٰٓ أَمْرِ ٱللَّهِ ۚ فَإِن فَآءَتْ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَهُمَا بِٱلْعَدْلِ وَأَقْسِطُوٓا۟ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُقْسِطِينَ
Dan jika ada dua golongan orang-orang mukmin berperang, maka damaikanlah kedua-duanya. Jika salah satu daripada kedua-duanya menzalimi golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu, sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil, dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.
Dalam ayat ini terdapat perintah mendamaikan dua orang atau dua kelompok mukmin yang saling bertengkar dan Allah Swt menggunakan perkataan ‘perang’ bagi menyebut pertengkaran antara dua kelompok mukmin. Berdasarkan ini, Imam Bukhari dan yang lain membuat kesimpulan bahawa kemaksiatan yang dilakukan oleh seseorang mukmin itu walaupun besar tidaklah sampai mengeluarkannya daripada keimanannya.
Abu Bakrah ra mengatakan bahawa, “Pada suatu hari Rasulullah saw berkhutbah, pada masa itu baginda bersama dengan Al-Hasan bin ‘Ali ra di atas mimbar. Sesekali baginda memandang ke arah cucunya itu, dan sesekali memandang ke arah hadirin, kemudian baginda bersabda:
‘Sesungguhnya cucuku ini adalah seorang sayyid (pemimpin), Kelak dia akan mendamaikan dua golongan besar kaum muslimin.’”
(HR. Al-Bukhari)
Ternyata apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw dalam hadis di atas benar-benar terjadi. Al-Hasan telah mendamaikan penduduk Syam dan penduduk Iraq apabila kedua-dua belah pihak terlibat dalam peperangan yang cukup panjang dan mengerikan.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan sekiranya salah satu daripada dua golongan mukmin yang saling menyerang itu berbuat zalim terhadap golongan yang lain, perangilah golongan yang berbuat zalim itu sehingga golongan yang zalim itu kembali taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.
Daripada Anas ra, bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:
“Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim atau yang dizalimi.” Aku (Anas) bertanya, “Wahai Rasulullah! Yang dizalimi, aku pasti menolongnya, lantas bagaimana aku menolong orang yang berbuat zalim?” Rasulullah saw menjawab, “Engkau mencegahnya supaya tidak berbuat zalim, itulah cara engkau menolongnya.”
(HR. Al-Bukhari)
Sa’id ibnu Jubair menceritakan bahawa dahulu orang-orang Aus dan orang-orang Khazraj sering terlibat dalam peperangan menggunakan pelepah kurma dan sandal, lalu Allah Swt menurunkan ayat ini dan memerintahkan Rasulullah saw mendamaikan kedua-duanya.
Allah Ta’ala juga memerintahkan supaya berlaku adil dalam menyelesaikan persengketaan antara kedua-dua belah pihak, agar terhindar daripada mendapat kerugian oleh salah satu pihak akibat tindakan pihak yang lain. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr ra bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:
“Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di dunia, kelak (di syurga) akan berada di atas mimbar-mimbar yang diperbuat daripada permata di hadapan Allah Yang Maha Pemurah berkat keadilan yang mereka jalankan sewaktu di dunia.”
(HR. An-Nasa’i dan Ahmad)
Ayat 10
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu damaikanlah kedua-dua saudara (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang mukmin itu semuanya adalah saudara seagama. Mereka disatukan atas prinsip iman.
Rasulullah saw bersabda:
“Orang muslim itu adalah saudara muslim (yang lain), tidak menzalimi dan tidak pula membiarkannya dizalimi.”
(HR. Al-Bukhari)
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw pernah bersabda:
“Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu selalu menolong saudaranya.”
(HR. Muslim)
Rasulullah saw bersabda:
“Orang mukmin (terhadap mukmin lainnya) bagaikan satu bangunan, satu sama lainnya saling kuat-menguatkan.” Lalu Rasulullah saw merangkumkan jari jemarinya.
(HR. Al-Bukhari)