Kemuliaan Seseorang Dinilai Berdasarkan Ketakwaannya kepada Allah Swt
Surah 49: Al-Hujurat (13)
Ayat 13
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.
Allah Swt menyatakan bahawa manusia semuanya berasal daripada diri yang satu iaitu Nabi Adam as dan daripada baginda diciptakan pasangannya. Kemudian dikembangbiakkan manusia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan suku serta keturunan.
Kemudian Allah Swt menjelaskan bahawa kemuliaan seseorang itu bukanlah bergantung kepada bangsa, suku kaum ataupun keturunan. Sebaliknya orang yang paling mulia adalah orang yang paling bertakwa iaitu yang lebih baik dalam menjaga hukum-hakam yang ditetapkan-Nya dan yang paling tinggi imannya.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kalian tetapi Dia melihat kepada hati dan amal perbuatan kalian.”
(HR. Muslim dan Ibnu Majah)
Imam Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar ra bahawa Rasulullah saw pernah berkhutbah di Mekah dan bersabda:
“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Allah telah menghilangkan kebanggaan masa jahiliyah daripada kalian dan sikap saling membangga-banggakan nasab keturunan. Manusia itu hanya ada dua jenis iaitu, 1) orang-orang yang berbakti, bertakwa, lagi mulia di sisi Allah Ta’ala, 2) orang-orang yang derhaka, celaka, lagi hina di sisi Allah Ta’ala.”
(HR. Ahmad)