Surah 49: Al-Hujurat (11 – 12)

Larangan Memperolok-Olokkan Orang Lain, Berprasangka Buruk, Mencari Aib dan Mencela Sesama Manusia

Surah 49: Al-Hujurat (11 – 12)


Ayat 11

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُوا۟ خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَآءٌ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا۟ بِٱلْأَلْقَـٰبِ ۖ بِئْسَ ٱلِٱسْمُ ٱلْفُسُوقُ بَعْدَ ٱلْإِيمَـٰنِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah ada suatu kaum yang memperolok-olokkan kaum yang lain, (kerana) boleh jadi kaum yang (diperolok-olokkan) itu lebih baik daripada mereka, dan jangan pula ada golongan perempuan yang (memperolok-olokkan) perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) itu lebih baik daripada perempuan yang (memperolok-olokkan) itu. Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah mencela diri kamu sendiri dan janganlah kamu panggil-memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk setelah beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Dalam ayat 11-12 ini, Allah Swt mendidik hamba-hamba-Nya dengan akhlak dan etika Islam yang murni iaitu:

▪️   Larangan merendahkan, menghina dan meremehkan orang.

Allah Swt melarang seseorang menghina orang lain, iaitu dengan meremehkan dan mengolok-olok mereka sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih,

Rasulullah saw telah bersabda:

“Takbur itu adalah menentang kebenaran dan meremehkan (merendahkan) manusia.”

(HR. Muslim)

▪️   Larangan mencela dan mengolok-olok orang lain dengan ucapan atau isyarat.

Maksud “janganlah kamu mencela dirimu sendiri” dalam ayat ini ialah janganlah mencela orang lain. Pengumpat atau pencela daripada kalangan kaum lelaki dan perempuan adalah orang-orang yang tercela lagi dilaknat oleh Allah Swt. Perbuatan meremehkan orang lain, mencela dan berjalan ke sana ke mari menghambur fitnah serta mengadu domba iaitu mencela secara lisan termasuklah berbuat melampaui batas terhadap mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela.”

Al-Humazah 104:1

“Yang suka mencela, yang ke sana ke mari menyebarkan fitnah.”

Al-Qalam 68:11

▪️   Memanggil gelaran yang tidak disukai.

Allah Ta’ala melarang seseorang memanggil orang lain dengan gelaran yang buruk yang tidak enak didengar oleh orang yang berkenaan.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Jubairah bin Ad-Dahhak yang mengatakan, “Firman Allah, ‘Dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk,’ diturunkan berkenaan dengan kami Bani Salamah.” Abu Jubairah melanjutkan, “Ketika Rasulullah saw tiba di Madinah, tatkala itu setiap orang mempunyai dua atau tiga nama. Apabila ada yang memanggil mereka, maka nama-nama itu yang digunakan, mereka mengatakan, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia tidak menyukai nama panggilan itu.’” Maka turunlah ayat ini.

(HR. Ahmad dan Abu Dawud)

Seburuk-buruk sifat dan nama ialah yang mengandungi makna kefasikan iaitu gelaran-gelaran yang buruk. Ini biasa dilakukan pada zaman jahiliyah apabila mereka saling memanggil sesama mereka. Oleh itu apabila mereka telah memeluk agama Islam dan mengetahui keburukannya, maka amalan tradisi jahiliyah tersebut perlulah ditinggalkan.

Ayat 12

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari keburukan orang dan janganlah sebahagian kamu mengumpat (ghibah) sebahagian yang lain. Adakah seseorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu berasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

▪️   Larangan berburuk sangka.

Kalimah الظَّنِّ dalam ayat ini bermaksud sangkaan yang kuat. Allah Swt melarang hamba-hamba-Nya yang beriman banyak berprasangka buruk iaitu mencurigai keluarga dan kaum kerabat serta orang lain dengan tuduhan yang buruk yang bukan pada tempatnya.

Sebahagian daripada sangkaan ada yang benar dan ada yang salah. Namun kebanyakan daripada sangkaan itu adalah salah. Berprasangka yang buruk itu adalah daripada bisikan syaitan kerana sememangnya syaitan itu ingin mengapi-apikan permusuhan antara sesama orang Islam.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa ‘Umar ibnul Khattab ra pernah berkata, “Jangan sekali-kali kamu mempunyai prasangka terhadap suatu ucapan yang keluar daripada lisan saudaramu yang mukmin melainkan dengan prasangka yang baik, kerana kamu masih mempunyai cara lain untuk memahami (perkataan)nya dengan pemahaman yang baik.”

▪️   Larangan mencari-cari keburukan dan kekurangan orang lain.

Allah Swt juga melarang hamba-hamba-Nya yang beriman mengintip-ngintip rahsia sesama mereka atau mencari-cari kesalahan untuk disebarkan agar terlihat cacat cela orang lain.

Daripada Abu Hurairah ra, dia mengatakan Rasulullah saw bersabda:

“Jauhilah prasangka, kerana sesungguhnya prasangka adalah perkataan yang paling dusta. Janganlah kamu saling mengintip, janganlah kamu saling mencari-cari kesalahan, janganlah kamu saling menjatuhkan, janganlah kamu saling mendengki, janganlah kamu saling membenci dan janganlah kamu saling berbuat khianat, tetapi jadilah kamu sekalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

(HR. Malik, Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

▪️   Diharamkan mengumpat (ghibah).

Mengumpat atau ghibah adalah perbuatan memperkatakan sesuatu yang benar pada seseorang di belakangnya sedangkan dia tidak menyukainya sekiranya dia mengetahuinya.

Perbuatan ghibah ini adalah dilarang dan sekiranya seseorang melakukannya, dia akan mendapat dosa dan orang yang diumpat mendapat pahala daripada orang yang mengumpat.

Hal ini juga boleh memecahbelahkan umat manusia dan masyarakat Islam. Oleh itu, hendaklah seseorang itu menyimpan rahsia orang lain dan tidak menyebarkannya.

Rasulullah saw melalui sabdanya yang mengatakan ghibah ialah:

“Kamu memperkatakan tentang saudaramu dengan hal-hal yang tidak disukainya.

Lalu ditanyakan, “Bagaimanakah jika apa yang diperkatakan itu benar ada padanya?” Rasulullah saw menjawab, “Jika apa yang kamu perkatakan itu ada padanya, bererti kamu telah mengumpatnya dan jika apa yang kamu perkatakan itu tidak ada padanya, bererti kamu telah berdusta padanya.”

(HR. Abu Dawud dan At-Tirmidzi)

Allah Swt kemudian mencela dan menyamakan orang yang mengumpat itu dengan orang yang memakan daging saudaranya yang telah mati agar timbul perasaan jijik dan benci terhadap perbuatan mengumpat.

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa perbuatan mengumpat adalah haram kerana ia merupakan perbuatan yang buruk dan diharamkan adalah untuk menjaga kehormatan manusia.

Oleh itu, orang yang melakukan perbuatan mengumpat hendaklah takut akan seksaan Allah Swt dengan bertakwa kepada-Nya, bertaubat kepada-Nya dan meminta maaf kepada orang yang diumpatnya. Sesungguhnya Dia akan mengampuni dosa dan mengasihani orang-orang yang bertaubat.