Surah 48: Al-Fath (8 – 9)

Tugas-tugas Rasulullah saw adalah sebagai Saksi, Pembawa Berita Gembira dan Pemberi Peringatan

Surah 48: Al-Fath (8 – 9)


Ayat 8

إِنَّآ أَرْسَلْنَـٰكَ شَـٰهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا

Sesungguhnya Kami mengutus engkau (Muhammad) sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.

Perkataan saksi (شاهِدًا) dalam ayat ini bermaksud orang yang memberitahu kebenaran.

Oleh itu dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan Dia telah mengutus Nabi Muhammad saw sebagai:

▪️   Saksi kepada umat baginda bahawa baginda telahpun menyampaikan risalahnya.

▪️   Orang yang memberi penjelasan kepada manusia tentang apa yang diutuskan oleh Allah Swt kepadanya.

▪️   Pemberi khabar gembira berupa syurga bagi sesiapa yang mentaati baginda.

▪️   Pemberi peringatan berupa azab dunia dan akhirat bagi sesiapa yang menderhakainya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan (ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan seorang saksi (rasul) daripada setiap umat, kemudian tidak diizinkan kepada orang-orang yang kafir (untuk membela diri) dan tidak (pula) dibolehkan memohon keampunan.”

An-Nahl 16:84

“Dan (ingatlah) pada hari (ketika) Kami bangkitkan kepada setiap umat seorang saksi atas mereka daripada golongan mereka sendiri dan Kami datangkan engkau (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia. Dan Kami turunkan kepadamu kitab (Al-Quran) kepadamu untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri (muslim).”

An-Nahl 16:89

Ayat 9

لِّتُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُعَزِّرُوهُ وَتُوَقِّرُوهُ وَتُسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan rasul-Nya, menguatkan (agama)-Nya, membesarkan-Nya dan bertasbih kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.

Semua perkara yang disebutkan dalam ayat sebelum ini adalah bertujuan agar hamba-hamba-Nya beriman kepada-Nya dan Rasul-Nya, menolong agama-Nya, mengagungkan-Nya, dan bertasbih kepadaNya pada waktu pagi dan petang hari.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“……….dan bertasbihlah dengan memuji Rabbmu, sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya dan bertasbih pulalah pada waktu tengah malam dan pada waktu senja, agar engkau berasa tenang.”

Taha 20:130

“……….dan bertasbihlah sambil memuji Rabbmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenam(nya).”

Qaf 50:39