Surah 48: Al-Fath (27 – 28)

Mimpi Rasulullah saw Memasuki Mekah Menjadi Kenyataan

Surah 48: Al-Fath (27 – 28)


Ayat 27

لَّقَدْ صَدَقَ ٱللَّهُ رَسُولَهُ ٱلرُّءْيَا بِٱلْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ ٱلْمَسْجِدَ ٱلْحَرَامَ إِن شَآءَ ٱللَّهُ ءَامِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا۟ فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا

Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, insya Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut di kepala dan mengguntingkannya, sedangkan kamu tidak akan berasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tidak kamu ketahui, lalu Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.

Allah Swt membenarkan takwil mimpi Rasulullah saw dengan pembenaran yang hak. Mereka akan memasuki Masjidil Haram pada tahun hadapannya dengan kehendak-Nya dan bukan pada tahun Hudaibiyah. Mereka akan memasukinya dalam keadaan aman daripada musuh, menghilangkan perasaan takut selama berada di sana dan tiada perasaan bimbang terhadap sesiapa pun.

Rasulullah saw pernah bermimpi memasuki kota Mekah dan tawaf di Baitullah. Kemudian baginda menceritakan mimpinya itu kepada para sahabatnya. Ketika itu baginda berada di Madinah. Semasa mereka berangkat ke Hudaibiyah, mereka yakin bahawa mimpi itu akan menjadi kenyataan pada tahun itu juga. Namun ketika terjadi perjanjian damai dan gencatan senjata, mereka kembali ke Madinah pada tahun itu dan hanya dibenarkan oleh pihak musyrikin Mekah untuk datang semula pada tahun berikutnya. Oleh itu sebahagian daripada para sahabatnya berasa bimbang sehingga ‘Umar bin Al-Khattab ra menanyakan hal tersebut kepada Rasulullah saw, “Bukankah engkau telah memberitahu bahawa kita akan datang ke Baitullah dan melakukan tawaf di sekelilingnya?” Rasulullah saw menjawab, “Benar, tetapi apakah aku memberitahumu bahawa kamu akan mendatanginya pada tahun ini?” Umar menjawab, “Tidak.” Rasulullah saw pun bersabda, “Engkau pasti mendatanginya dan tawaf padanya.” Jawapan yang serupa dikatakan oleh Abu Bakar As-Siddiq ra ketika ‘Umar bertanya kepadanya. Disebabkan hal inilah Allah Swt menurunkan firman-Nya, “Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, insya Allah dalam keadaan aman,” sebagai penegasan.

Allah Swt Maha Mengetahui kebaikan orang-orang tidak mengerjakan umrah pada tahun itu dan kebaikan mereka yang terpaksa kembali ke Madinah serta kebaikan mengadakan Perjanjian Hudaibiyah. Orang-orang yang terlibat dalam peristiwa ini tidak mengetahuinya tetapi Allah-lah yang mengatur segala kebaikan itu untuk memberi ketenangan hati kepada mereka, seterusnya Dia akan memberikan kemenangan yang dekat iaitu dalam Perang Khaibar. Apabila mereka datang untuk kali kedua selepas itu, mereka akan dapat melakukan umrah tanpa rasa takut diserang oleh musuh.

Ayat 28

هُوَ ٱلَّذِىٓ أَرْسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلْهُدَىٰ وَدِينِ ٱلْحَقِّ لِيُظْهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدًا

Dia-lah yang mengutuskan rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar dimenangkan-Nya terhadap segala agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi.

Kemudian Allah Swt menegaskan kebenaran mimpi tersebut dengan membenarkan Rasulullah saw dalam setiap hal. Dia-lah yang mengutuskan baginda untuk membawa petunjuk dan agama yang benar. Cukuplah hanya Dia sebagai saksi atas janji ini iaitu memenangkan agama-Nya atas agama yang lain. Dia jugalah menjadi saksi bahawa Nabi Muhammad saw adalah rasul-Nya dan Dia-lah penolong rasul-Nya.

Ayat ini juga merupakan sanggahan terhadap sikap Suhail bin ‘Amr yang menolak penggunaan Muhammad Rasulullah dalam pembukaan Perjanjian Hudaibiyah. Selain itu ayat ini juga sebagai penenang hati baginda, penegasan kebenaran mimpinya dan berita gembira pembukaan Kota Mekah (Fathul Mekah).