Allah Swt Menjanjikan Kemenangan kepada Kaum Muslimin
Surah 48: Al-Fath (20 – 24)
Ayat 20
وَعَدَكُمُ ٱللَّهُ مَغَانِمَ كَثِيرَةً تَأْخُذُونَهَا فَعَجَّلَ لَكُمْ هَـٰذِهِۦ وَكَفَّ أَيْدِىَ ٱلنَّاسِ عَنكُمْ وَلِتَكُونَ ءَايَةً لِّلْمُؤْمِنِينَ وَيَهْدِيَكُمْ صِرَٰطًا مُّسْتَقِيمًا
Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan perang yang banyak untuk diambil, maka Dia segerakan (harta rampasan perang) ini untukmu dan Dia menahan tangan manusia daripada membinasakanmu (agar kamu mensyukuri-Nya) dan agar menjadi bukti bagi orang-orang mukmin dan agar Dia menunjukkan kamu ke jalan yang lurus.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia menjanjikan harta rampasan perang yang banyak kepada kaum muslimin selepas ini. Sebagai pendahuluan, Dia memberikannya pada Perang Khaibar.
Semua anugerah dan nikmat-nikmat daripada Allah Swt kepada orang-orang mukmin adalah bertujuan agar mereka bersyukur dan juga sebagai bukti kebenaran janji Rasulullah saw kepada mereka bahawa Dia adalah Pelindung dan Penjaga mereka dalam menghadapi musuh walaupun bilangan mereka sedikit jika dibandingkan dengan bilangan pihak musuh.
Selain itu, Allah Swt juga menambah hidayah dan meneguhkan pendirian mereka atas jalan kebenaran sehingga mereka sentiasa tunduk dan patuh terhadap perintah-Nya serta mentaati rasul-Nya.
Ayat 21
وَأُخْرَىٰ لَمْ تَقْدِرُوا۟ عَلَيْهَا قَدْ أَحَاطَ ٱللَّهُ بِهَا ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرًا
Dan (telah menjanjikan juga kemenangan-kemenangan) yang lain (atas negeri-negeri) yang kamu belum dapat menguasainya yang sungguh Allah telah menentukan-Nya. Dan adalah Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Ayat ini bermaksud Allah Swt berjanji akan memudahkan mereka menakluki negara-negara yang belum lagi mereka kuasai pada masa tersebut.
Selepas Perjanjian Hudaibiyah, negara Islam telah mendapat pengiktirafan sebagai sebuah kerajaan yang layak mengadakan perjanjian dengan orang-orang Quraisy Mekah. Puak-puak Arab sekitar Semenanjung Tanah Arab sudah mula mengadakan perjumpaan dengan Rasulullah saw dan sudah mula mengenal Islam. Mereka juga sudah boleh mengadakan perjanjian dengan Madinah. Oleh sebab ramai daripada golongan Arab sudah mula mengenali Islam, mereka pun telah mula berpihak kepada Madinah. Maka gagasan pengaruh Quraisy sudah mula berkurangan.
Allah Swt menyatakan jika sebelum ini mereka lemah, namun dengan kemuliaan agama Islam, orang-orang mukminin mendapat kemenangan demi kemenangan. Ini kerana Dia Maha Berkuasa, tidak ada sesiapa yang dapat menghalang kekuasaan-Nya.
Ayat 22
وَلَوْ قَـٰتَلَكُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَوَلَّوُا۟ ٱلْأَدْبَـٰرَ ثُمَّ لَا يَجِدُونَ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا
Dan sekiranya orang-orang kafir itu memerangi kamu pastilah mereka berbalik melarikan diri ke belakang (kalah) kemudian mereka tiada memperoleh pelindung dan tidak (juga) penolong.
Kemudian Allah Swt menyatakan sekiranya orang-orang kafir Quraisy itu cuba untuk menyerang orang-orang muslim, mereka pasti akan berpaling lari. Ini menandakan bahawa umat Islam amat kuat pada waktu itu, sehingga orang-orang kafir Quraisy Mekah tidak dapat mengalahkan mereka.
Orang-orang yang cuba menyerang umat Islam memang tidak akan mendapat pertolongan dan perlindungan, kerana Allah Swt telah pun membuat keputusan bahawa Dia hanya akan menolong memenangkan umat Islam.
Ayat 23
سُنَّةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلُ ۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ ٱللَّهِ تَبْدِيلًا
Sebagai suatu sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu, kamu sekali-kali tiada akan menemukan perubahan bagi sunnatullah itu.
Allah Swt menyatakan itulah sunnatullah yang berlaku kepada makhluk-Nya iaitu perkara yang menjadi satu peraturan atau hukum yang berlaku mengikut ketentuan Allah Swt sejak dahulu lagi dan dijadikan perkara itu berlaku berulang-ulang. Sesiapa yang kufur akan dikalahkan dan pihak yang beriman akan mendapat pertolongan-Nya.
Begitulah Allah Swt menolong umat Islam yang taat kepada Rasulullah saw dan memenuhi syarat-syarat ketaatan kepada Allah Swt dan kepada pemimpin perang. Sunnatullah ini tidak akan berubah sampai bila-bila. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Allah telah menetapkan, “Aku dan rasul-rasul-Ku pasti mengalahkan (golongan yang menentang).” Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”
Al-Mujadilah 58:21
Ayat 24
وَهُوَ ٱلَّذِى كَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ عَنْهُم بِبَطْنِ مَكَّةَ مِنۢ بَعْدِ أَنْ أَظْفَرَكُمْ عَلَيْهِمْ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا
Dan Dia-lah yang mencegah tangan mereka daripada membinasakan kamu dan (menahan) tangan kamu daripada (membinasakan) mereka di tengah kota Mekah, setelah Allah memenangkan kamu ke atas mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Allah Ta’ala menyatakan Dia yang menahan tangan orang-orang kafir musyrik terhadap orang-orang beriman.
Ini merupakan kenikmatan dan kemuliaan yang agung kepada Rasululullah saw dan para sahabat. Ini berlaku apabila 80 orang pemuda daripada pasukan orang-orang Quraisy diutus ke perkhemahan Rasululullah saw di Hudaibiyah untuk menyerang baginda. Namun Allah Swt menjadikan mereka tawanan di tangan muslimin dan kemudiannya baginda memaafkan mereka lalu terjadilah Perjanjian Hudaibiyah.
Daripada Anas bin Malik ra, dia berkata, “Pada saat terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, ada 80 orang bersenjata daripada kalangan penduduk Mekah turun untuk menyerang Rasulullah saw dan para sahabat dari arah Bukit Tan’im. Mereka ingin menyerang secara tiba-tiba di saat (para sahabat) sedang leka tetapi akhirnya mereka ditangkap. Kemudian Rasulullah saw memaafkan mereka dan turunlah ayat 24 ini.
(HR. Ahmad)