Alasan Dusta Orang Badwi yang Tidak Turut Serta dalam Peristiwa Hudaibiyah
Surah 48: Al-Fath (11 – 16)
Ayat 11
سَيَقُولُ لَكَ ٱلْمُخَلَّفُونَ مِنَ ٱلْأَعْرَابِ شَغَلَتْنَآ أَمْوَٰلُنَا وَأَهْلُونَا فَٱسْتَغْفِرْ لَنَا ۚ يَقُولُونَ بِأَلْسِنَتِهِم مَّا لَيْسَ فِى قُلُوبِهِمْ ۚ قُلْ فَمَن يَمْلِكُ لَكُم مِّنَ ٱللَّهِ شَيْـًٔا إِنْ أَرَادَ بِكُمْ ضَرًّا أَوْ أَرَادَ بِكُمْ نَفْعًۢا ۚ بَلْ كَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
Orang-orang Badwi yang tertinggal (tidak turut ke Hudaibiyah) akan mengatakan, “Harta dan keluarga kami telah menghalang kami, maka mohonkanlah keampunan untuk kami.” Mereka mengucapkan dengan lidah mereka apa yang tidak ada dalam hati mereka. Katakanlah, “Maka siapakah (gerangan) yang dapat menghalang kehendak Allah jika Dia menghendaki kemudharatan bagimu atau jika Dia menghendaki manfaat bagimu?” Sebenarnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Orang-orang Badwi yang tidak turut serta dalam peristiwa Hudaibiyah itu memberikan alasan bahawa mereka sibuk untuk menguruskan harta dan keluarga mereka. Oleh itu, mereka meminta supaya Rasulullah saw memohon keampunan kepada Allah Swt bagi pihak mereka. Lalu Allah Ta’ala menyangkal dan mendustakan perkataan mereka.
Dalam perjalanan pulang dari Hudaibiyah, Allah Swt menjelaskan kepada Rasulullah saw bahawa alasan yang diberikan oleh orang-orang Badwi ini bukanlah daripada hati mereka yang ikhlas. Mereka hanya mengada-adakan alasan tersebut.
Maka Allah Swt menyatakan bahawa tidak ada sesiapa pun yang dapat menghalang kehendak-Nya jika Dia hendak menimpakan bencana kepada mereka dengan dilenyapkan harta mereka dan membinasakan keluarga mereka, atau jika Dia berkehendak untuk memberikan keuntungan kepada mereka dengan menyelamatkan harta dan keluarga mereka, walaupun mereka tidak menjaganya secara langsung.
Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Teliti dengan apa yang mereka kerjakan. Dia mengetahui bahawa alasan yang mereka nyatakan itu adalah kebohongan belaka sebagai dalih untuk mengelak daripada kecaman.
Ayat 12
بَلْ ظَنَنتُمْ أَن لَّن يَنقَلِبَ ٱلرَّسُولُ وَٱلْمُؤْمِنُونَ إِلَىٰٓ أَهْلِيهِمْ أَبَدًا وَزُيِّنَ ذَٰلِكَ فِى قُلُوبِكُمْ وَظَنَنتُمْ ظَنَّ ٱلسَّوْءِ وَكُنتُمْ قَوْمًۢا بُورًا
Tetapi kamu menyangka bahawa Rasul dan orang-orang mukmin sekali-kali tidak akan kembali kepada keluarga mereka selama-lamanya dan (syaitan) telah menjadikan kamu memandang baik dalam hatimu prasangka itu, dan kamu telah menyangka dengan sangkaan yang buruk dan kamu menjadi kaum yang binasa.
Sebenarnya tidak ada sebarang halangan jika mereka ingin turut serta bersama dengan Rasulullah saw. Namun mereka tidak ikut serta disebabkan sifat kemunafikan yang ada dalam diri dan juga mereka berkeyakinan bahawa Rasulullah saw dan orang-orang mukmin semuanya akan dibunuh oleh kaum kafir Quraisy.
Mereka ini secara zahirnya menampakkan kepada orang lain hal yang bertentangan dengan apa yang tersimpan di dalam hati mereka. Oleh itu, sangkaan itu telah menyebabkan mereka dibinasakan.
Ayat 13
وَمَن لَّمْ يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ فَإِنَّآ أَعْتَدْنَا لِلْكَـٰفِرِينَ سَعِيرًا
Dan sesiapa yang tidak beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka sesungguhnya Kami telah menyediakan untuk orang-orang kafir itu neraka yang menyala-nyala.
Kemudian Allah Swt menyatakan hukuman kepada orang-orang kafir yang tidak ikut dalam perjanjian ini adalah api neraka yang berkobar dengan dahsyat yang disediakan buat mereka sebagai balasan atas kekafiran mereka.
Ini adalah satu peringatan bagi menakut-nakutkan mereka supaya mereka meninggalkan keyakinan terhadap perkara-perkara yang batil dan kembali kepada kebenaran dalam setiap perkataan dan amalan mereka.
Ayat 14
وَلِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ يَغْفِرُ لِمَن يَشَآءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَآءُ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Dan hanya kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi. Dia memberi ampun kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan akan mengazab sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Allah Swt menjelaskan bahawa kekuasaan-Nya meliputi segala sesuatu. Kepunyaan-Nya-lah pengaturan yang mutlak terhadap segala hal yang ada di langit dan bumi, tidak ada seorang pun yang dapat menghalang ketetapan-Nya dan mengubah keputusan-Nya.
Oleh itu, sepatutnya mereka kembali kepada Allah Swt dan bukannya terus menerus berada dalam kekufuran dan kemunafikan. Ini kerana semua keyakinan mereka itu tidaklah memberikan manfaat sama sekali. Dia Maha Pengampun dan menyayangi setiap orang yang bertaubat.
Ayat 15
سَيَقُولُ ٱلْمُخَلَّفُونَ إِذَا ٱنطَلَقْتُمْ إِلَىٰ مَغَانِمَ لِتَأْخُذُوهَا ذَرُونَا نَتَّبِعْكُمْ ۖ يُرِيدُونَ أَن يُبَدِّلُوا۟ كَلَـٰمَ ٱللَّهِ ۚ قُل لَّن تَتَّبِعُونَا كَذَٰلِكُمْ قَالَ ٱللَّهُ مِن قَبْلُ ۖ فَسَيَقُولُونَ بَلْ تَحْسُدُونَنَا ۚ بَلْ كَانُوا۟ لَا يَفْقَهُونَ إِلَّا قَلِيلًا
Orang-orang Badwi yang tertinggal itu akan berkata apabila kamu berangkat untuk mengambil barang rampasan.” Biarkanlah kami, nescaya kami mengikuti kamu. Mereka hendak mengubah janji Allah. Katakanlah, “Kamu sekali-kali tidak (boleh) mengikuti kami, demikian Allah telah menetapkan sebelumnya.” Mereka akan mengatakan, “Sebenarnya kamu dengki kepada kami.” Bahkan mereka tidak mengerti melainkan sedikit sekali.
Ketika Nabi Muhammad saw dan para sahabat yang ikut bersama dalam perjanjian Hudaibiyah berangkat menuju ke Khaibar untuk mengambil barang-barang rampasan, orang-orang Badwi yang tidak ikut serta dalam perjanjian Hudaibiyah itu memohon kepada baginda agar mereka juga dapat ikut serta kerana hendak mendapatkan harta rampasan itu.
Mereka sebenarnya hendak mengubah janji Allah Swt. Ini kerana Allah Swt telah menjanjikan kepada Rasulullah saw dan orang-orang yang menyertai perjanjian Hudaibiyah akan memperoleh harta rampasan perang di Khaibar. Oleh itu, orang-orang Badwi tersebut sekali-kali tidak boleh mengikuti mereka untuk menyertai perang dan mengambil harta rampasan di Khaibar.
Demikianlah ketentuan yang telah ditetapkan-Nya iaitu Dia telah menjanjikan penaklukan Khaibar kepada orang-orang mukmin dan mengkhususkan harta rampasan perang bagi mereka yang ikut dalam perjanjian Hudaibiyah dahulu.
Mendengar keputusan itu, orang-orang Badwi mengatakan bahawa sebenarnya baginda berasa dengki terhadap mereka sekiranya mereka memperoleh harta rampasan tersebut.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang Badwi itu sesungguhnya tidak mengerti perkara agama atau latar belakang keputusan itu melainkan sedikit sekali. Kalau mereka mengetahuinya nescaya mereka akan menerimanya dengan sepenuh hati.
Ayat 16
قُل لِّلْمُخَلَّفِينَ مِنَ ٱلْأَعْرَابِ سَتُدْعَوْنَ إِلَىٰ قَوْمٍ أُو۟لِى بَأْسٍ شَدِيدٍ تُقَـٰتِلُونَهُمْ أَوْ يُسْلِمُونَ ۖ فَإِن تُطِيعُوا۟ يُؤْتِكُمُ ٱللَّهُ أَجْرًا حَسَنًا ۖ وَإِن تَتَوَلَّوْا۟ كَمَا تَوَلَّيْتُم مِّن قَبْلُ يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا
Katakanlah kepada orang-orang Badwi yang tertinggal, “Kamu akan diajak untuk (memerangi) kaum yang mempunyai kekuatan yang besar, kamu akan memerangi mereka atau mereka menyerah (masuk Islam). Maka jika kamu patuhi (ajakan itu), nescaya Allah akan memberikan kepadamu pahala yang baik, dan jika kamu berpaling sebagaimana kamu berpaling sebelum ini, nescaya Dia akan mengazab kamu dengan azab yang pedih.”
Dalam ayat sebelum ini, Allah Swt menyebutkan tentang orang-orang Badwi yang ingin mengikut orang-orang mukmin mengambil harta rampasan perang di Khaibar sedangkan mereka tidak layak untuk berbuat demikian.
Lalu dalam ayat ini pula, Allah Swt menyatakan sekiranya mereka bersungguh-sungguh ingin menyertai pasukan mukminin, mereka akan diajak untuk ikut berperang melawan musuh yang mempunyai kekuatan yang besar dan keberanian yang luar biasa. Ketika itu mereka hendaklah memerangi musuh dengan bersungguh-sungguh melainkan pihak musuh menyerah dan masuk Islam.
Kemudian Allah Swt menjanjikan pahala kepada mereka sekiranya mereka taat dengan mematuhi perintah berperang tersebut. Selain itu, Dia juga akan memberikan kemuliaan dan harta rampasan kepada mereka semasa berada di dunia. Manakala di akhirat pula mereka akan beroleh balasan syurga.
Namun sekiranya mereka berpaling seperti yang mereka pernah lakukan sebelum ini iaitu ketika Nabi Muhammad saw mengajak mereka ke Hudaibiyah, Dia akan mengazab mereka dengan azab yang pedih sebagai penghinaan buat mereka dan akan dimasukkan dalam neraka di akhirat kelak.