Surah 48: Al-Fath (1 – 3)

Allah Swt Memberikan Kemenangan kepada Rasul-Nya

Surah 48: Al-Fath (1 – 3)


Ayat 1

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا

Sesungguhnya Kami memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah menggembirakan Nabi Muhammad saw dan kaum mukmin dengan kemenangan yang agung dan nyata.

Kemenangan tersebut menurut jumhur ulama tafsir adalah Perjanjian Damai Hudaibiyah dan seterusnya membawa kepada penaklukan Kota Mekah.

Perjanjian ini menjamin keamanan manusia, yang menjadikan dakwah Islam semakin tersebar ke seluruh Semanjung Arab dan manusia masuk ke dalam agama Allah dalam jumlah besar. Oleh itu, Allah Swt menamakannya dengan kemenangan yang nyata, iaitu boleh dilihat dengan jelas. Rasulullah saw menyatakan bahawa telah turun kepada baginda satu surah yang lebih baginda cintai daripada dunia dan semua yang ada di dalamnya, lalu baginda membaca ayat di atas.

Daripada ‘Umar bin Al-Khattab ra, dia berkata, “Kami pernah berada dalam satu perjalanan bersama-sama Rasulullah saw. Aku menanyakan tentang sesuatu sebanyak tiga kali kepada baginda tetapi tidak dijawab. Aku pun berkata dalam hatiku, ‘Celakalah engkau wahai putera Al-Khattab, patutkan engkau mendesak Rasulullah saw dengan pertanyaan dan engkau ulang sebanyak tiga kali tetapi tidak dijawab?’ Aku (‘Umar bin Al-Khattab) lalu naik dan menggerakkan untaku, berjalan ke hadapan kerana aku khuatir ayat Al-Quran akan turun berkenaan denganku. Tiba-tiba ada yang memanggilku, “Wahai ‘Umar!” Aku pun kembali dan menyangka pasti ada ayat yang turun berkaitan dengan aku. Kemudian Rasulullah saw bersabda kepadaku:

“Malam tadi ada satu surah turun kepadaku lebih aku sukai daripada dunia dan semua yang ada di dalamnya.” Dan baginda pun membacakannya kepada kami,

”إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا, لِّيَغْفِرَ لَكَ ٱللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنۢبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُۥ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَٰطًا مُّسْتَقِيمًا, وَيَنصُرَكَ ٱللَّهُ نَصْرًا عَزِيزًا.“

(HR. Ahmad, Al-Bukhari, At-Tirmizi dan An-Nasa’i)

Ayat ini menyatakan bahawa Allah Swt telah tetapkan kepada baginda penaklukan Kota Mekah dan Khaibar serta yang lainnya sebagai salah satu hasil daripada jihad dan kesabaran baginda. Hal ini pasti terjadi dan perjanjian ini adalah permulaan daripada kemenangan itu.

Ini berlaku setelah perjanjian Hudaibiyah pada tahun 6 Hijrah iaitu semasa baginda dan para sahabat kembali ke Madinah dalam keadaan kecewa dan sedih kerana dilarang memasuki Masjidil Haram. Mereka terpaksa kembali ke Madinah sebelum sempat menunaikan umrah yang pertama.

Ayat 2

لِّيَغْفِرَ لَكَ ٱللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنۢبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُۥ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَٰطًا مُّسْتَقِيمًا

Supaya Allah memberi keampunan kepadamu (Muhammad) terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu dan memimpin kamu ke jalan yang lurus.

Inilah salah satu keistimewaan khusus daripada Allah Swt kepada Rasulullah saw yang tidak diberikan kepada orang lain. Ini kerana tidak ada satu hadis pun yang menyebutkan tentang diampunkan dosa yang telah berlalu dan akan datang yang ditujukan kepada selain baginda.

Ini merupakan penghormatan kepada Rasulullah saw yang sentiasa istiqamah dalam ketaatan dan kebaikan yang tidak ada pada selain baginda. Baginda juga merupakan manusia paling sempurna dan pemimpin manusia baik di dunia mahupun di akhirat.

Sebelum itu umat Islam tidak mengetahui cara bagaimana mereka dapat menawan Kota Mekah dan membersihkan Kaabah daripada berhala tetapi Allah Swt akan memandu mereka untuk mencapai hasrat tersebut.

Daripada Al-Mughirah bin Syu’bah ra, Rasulullah saw solat sehingga bengkak kedua-dua kaki baginda, lalu dikatakan kepada baginda, “Bukankah Allah Swt telah mengampuni dosa engkau yang telah berlalu dan yang akan datang?” Baginda menjawab:

“Apakah aku tidak patut menjadi hamba yang bersyukur?”

(HR. Ahmad)

Ayat 3

وَيَنصُرَكَ ٱللَّهُ نَصْرًا عَزِيزًا

Dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak).

Allah Swt memberikan pertolongan-Nya pada saat baginda menghadapi pihak lawan yang memusuhi dakwahnya iaitu pertolongan yang tidak ada satu pun dapat mengalahkannya.

Ketaatan Rasulullah saw menyebabkan Allah Swt mengangkat darjat baginda dan memberikan pertolongan kepada baginda menghadapi para musuh. Ini dinyatakan dalam hadis sahih berikut:

“Allah tidak menambah bagi seorang hamba yang memaafkan (orang lain) kecuali kemuliaan. Dan tidaklah seseorang bersikap tawadhuk kerana Allah melainkan pasti akan mengangkat darjatnya.”

(HR. Muslim)

Nikmat daripada kemenangan tersebut boleh dikategorikan kepada empat, iaitu:

▪️    Bebasnya Rasulullah saw daripada dosa yang telah lalu dan akan datang dengan adanya keampunan daripada Allah Ta’ala.

▪️    Disempurnakan nikmat kepada baginda dengan menghimpun antara kenabian dan kekuasaan serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

▪️    Mendapat bimbingan dan petunjuk ke jalan yang lurus dengan menyampaikan risalah dan teguh di atas kebenaran.

▪️    Kemenangan yang kukuh, kuat dan yang tidak ada lagi kehinaan setelah itu.