Anjuran untuk Berinfak
Surah 47: Muhammad (36 – 38)
Ayat 36
إِنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ ۚ وَإِن تُؤْمِنُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ يُؤْتِكُمْ أُجُورَكُمْ وَلَا يَسْـَٔلْكُمْ أَمْوَٰلَكُمْ
Sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau. Jika kamu beriman serta bertakwa (kepada Allah), Dia akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu.
Allah Swt mengingatkan hamba-hamba-Nya bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu bagi orang yang lengah hanyalah permainan iaitu kegiatan tanpa tujuan yang benar dan senda gurau yang membawa kepada kelalaian.
Namun sekiranya hamba-hamba-Nya benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah, iaitu dengan menjauhi segala perbuatan yang dilarang-Nya seperti syirik dan maksiat, maka akan Dia berikan pahala sebagai hasil daripada keimanan dan ketakwaan mereka
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan tidaklah kehidupan dunia melainkan permainan (yang sia-sia) dan senda gurau (yang melalaikan) dan sedangkan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mengerti?”
Al-An’am 6:32
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa Dia tidak akan meminta harta hamba-hamba-Nya seluruhnya melainkan hanya sebahagian daripada harta itu untuk diberikan kepada yang memerlukannya. Dia juga tidak memerlukan sesuatu pun daripada mereka. Adapun galakan menginfakkan harta di jalan-Nya, pahalanya akan kembali kepada penginfak tersebut.
Ayat 37
إِن يَسْـَٔلْكُمُوهَا فَيُحْفِكُمْ تَبْخَلُوا۟ وَيُخْرِجْ أَضْغَـٰنَكُمْ
Jika Dia meminta harta daripadamu, lalu mendesakmu (agar memberikan kesemuanya), nescaya kamu akan menjadi kedekut dan Dia akan menampakkan kedengkianmu.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Dia mengetahui sekiranya Dia meminta harta kepada hamba-hamba-Nya, mereka pasti berasa kikir untuk berinfak, apatah lagi jika Dia mendesak agar memberikan kesemuanya untuk berjihad. Sudah pasti mereka akan kikir sehingga tidak akan memberikannya kerana memang tabiat mereka cinta kepada harta. Dia akan menampakkan kedengkian mereka disebabkan kecintaan mereka yang berlebihan itu kepada harta.
Jika Allah Swt meminta mereka memberikan kesemua harta yang ada pada mereka tentulah akan memberatkan sehingga menyebabkan mereka menjadi kedekut. Juga akan timbul kebencian dan kemarahan mereka kepada agama Islam. Mereka mengatakan bahawa agama ini hanya menghabiskan harta mereka sahaja, sedangkan mereka telah bersusah payah untuk mendapatkan harta itu dengan segala penat lelah.
Ayat 38
هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدْعَوْنَ لِتُنفِقُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبْخَلُ ۖ وَمَن يَبْخَلْ فَإِنَّمَا يَبْخَلُ عَن نَّفْسِهِۦ ۚ وَٱللَّهُ ٱلْغَنِىُّ وَأَنتُمُ ٱلْفُقَرَآءُ ۚ وَإِن تَتَوَلَّوْا۟ يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓا۟ أَمْثَـٰلَكُم
Ingatlah, kamu ini adalah orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) ke jalan Allah. Lalu di antara kamu ada orang yang kedekut dan siapa yang kedekut, sesungguhnya dia kedekut terhadap dirinya sendiri. Dan Allah-lah yang Maha Kaya, dan kamulah orang-orang yang berhajat kepada-Nya. Dan jika kamu berpaling (dari jalan yang benar), nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan (derhaka) seperti kamu.
Allah Swt memerintahkan manusia menginfakkan harta pada jalan-Nya. Jika ada di kalangan mereka yang kikir tidak memenuhi seruan tersebut, Dia mengingatkan bahawa sesungguhnya mereka hanyalah kikir terhadap diri sendiri. Ini bermaksud pahala akan berkurang dan akibatnya sudah pasti akan menimpa mereka sendiri.
Allah-lah Yang Maha Kaya kerana segala sesuatu selain-Nya, sentiasa memerlukan-Nya. Jika manusia tidak mengikuti syariat-Nya, nescaya Dia akan menggantikan mereka dengan kaum lain yang akan mendengar lagi taat kepada perintah-Nya.