Surah 47: Muhammad (32 – 35)

Gugurnya Pahala Amalan Orang Kafir yang Memusuhi Rasul

Surah 47: Muhammad (32 – 35)


Ayat 32

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَصَدُّوا۟ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَشَآقُّوا۟ ٱلرَّسُولَ مِنۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلْهُدَىٰ لَن يَضُرُّوا۟ ٱللَّهَ شَيْـًٔا وَسَيُحْبِطُ أَعْمَـٰلَهُمْ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan menghalang (orang lain) daripada jalan Allah serta memusuhi rasul setelah petunjuk itu jelas kepada mereka, mereka tidak memberi mudharat kepada Allah sedikit pun. Kelak Allah menghapuskan amalan-amalan mereka.

Allah Swt menyatakan orang-orang kafir yang menghalang-halang orang lain dari jalan-Nya serta menentang rasul setelah jelas kebenarannya, mereka tidak dapat memberi mudarat sedikit pun kepada-Nya. Mudharat itu hanya akan kembali kepada diri mereka sendiri dan menjadikan mereka rugi pada Hari Kiamat.

Allah Swt akan menghapuskan amalan mereka kerana Dia tidak akan memberikan balasan atas semua amal yang diakhiri dengan kemurtadan dan tidak pula dibalas kebaikannya meskipun seberat sayap nyamuk.

Ayat 33

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوٓا۟ أَعْمَـٰلَكُمْ

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasul, dan janganlah kamu merosakkan amalan-amalan kamu.

Allah Swt memerintahkan para hamba-Nya yang mukmin agar mentaati-Nya dan rasul-Nya dengan mengikuti segala arahan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Ini kerana ketaatan merupakan pembuka jalan kepada mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Manakala mengingkari atau murtad menyebabkan segala amalan menjadi sia-sia dan tidak bermanfaat. Imam Ahmad bin Nashr Al-Marwazi meriwayatkan dalam kitab Ash-Shalaah, daripada Abul ‘Aliyah, dia bercerita, “Para shahabat Rasulullah saw pernah berpendapat bahawa dosa tidak akan membahayakan orang yang mentauhidkan Allah, sebagaimana amal yang baik tidak bermanfaat jika disertai dengan kesyirikan. Lalu turunlah ayat ini, ‘Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasul dan janganlah kamu merosakkan segala amalanmu.’” Sejak itu mereka selalu bimbangkan setiap dosa kerana dosa-dosa itu akan menghapus amal kebaikan.

Ayat 34

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَصَدُّوا۟ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ مَاتُوا۟ وَهُمْ كُفَّارٌ فَلَن يَغْفِرَ ٱللَّهُ لَهُمْ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan menghalang (orang lain) daripada jalan Allah, kemudian mereka mati dalam keadaan kafir, maka Allah tidak akan mengampuni mereka.

Selanjutnya, Allah Swt menerangkan bahawa bukan sahaja amal-amal orang-orang kafir terhapus, bahkan mereka mendapat kemurkaan-Nya.

Sekiranya mereka meninggal dunia sebelum sempat bertaubat, maka tiada keampunan bagi mereka dan hukumannya adalah Neraka Jahannam.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Orang-orang kafir yang menghalang (manusia) dari jalan Allah, Kami tambahkan kepada mereka azab demi azab disebabkan mereka selalu berbuat kerosakan.”

An-Nahl 16:88

Ayat 35

فَلَا تَهِنُوا۟ وَتَدْعُوٓا۟ إِلَى ٱلسَّلْمِ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ وَٱللَّهُ مَعَكُمْ وَلَن يَتِرَكُمْ أَعْمَـٰلَكُمْ

Maka janganlah kamu lemah dan minta berdamai, kerana kamulah yang di atas dan Allah bersama kamu, dan Dia sekali-kali tidak akan mengurangi (pahala) amalan-amalan kamu.

Allah Swt menjelaskan bahawa tidak ada kehormatan bagi orang-orang kafir sama ada di dunia mahupun di akhirat. Oleh itu, Dia memerintahkan kaum mukmin memerangi mereka.

Selain itu, Allah Swt melarang hamba-hamba-Nya yang mukmin bersikap lemah dalam memerangi musuh-musuh sehingga mereka mengajak musuh-musuh mereka berdamai dan melakukan gencatan senjata sedangkan mereka lagi kuat dan mampu mengalahkan orang-orang kafir tersebut dan memperoleh kemenangan. Namun tidak ada larangan untuk menerima ajakan berdamai jika orang-orang musyrik condong kepadanya.

Allah Swt akan sentiasa bersama-sama dengan orang-orang beriman. Dia juga tidak akan mengurangi pahala amalan mereka bahkan Dia akan memberikan balasan dan menambahkan kurniaan-Nya.