Surah 47: Muhammad (29 – 31)

Kemunafikan Seseorang Pasti Akan Dapat Diketahui

Surah 47: Muhammad (29 – 31)


Ayat 29

أَمْ حَسِبَ ٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ أَن لَّن يُخْرِجَ ٱللَّهُ أَضْغَـٰنَهُمْ

Atau apakah orang-orang yang ada penyakit dalam hati mereka menyangka bahawa Allah tidak akan menampakkan kedengkian mereka?

Kemudian Allah Swt mencela dan mengecam orang-orang munafik kerana sempitnya pandangan dan sikap mereka dengan pertanyaan adakah mereka meyakini bahawa Dia tidak akan memperlihatkan kedengkian dan kebencian mereka terhadap orang-orang mukmin.

Ini kerana orang-orang munafik itu menyangka bahawa Allah Swt tidak akan mendedahkan apa yang ada dalam hati mereka berupa kedengkian dan permusuhan terhadap Islam dan kaum muslimin kepada orang lain.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu hendak menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Apabila mereka berdiri untuk solat mereka lakukan dengan malas. Mereka riya’ (ingin dipuji) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka mengingati Allah kecuali sedikit sekali. Mereka dalam keadaan ragu-ragu antara yang demikian (iman atau kafir). Tidak masuk kepada golongan ini (orang-orang beriman) dan tidak (pula) kepada golongan itu (orang-orang kafir). Sesiapa dibiarkan sesat oleh Allah maka kamu sekali-kali tidak akan mendapat jalan (untuk memberi petunjuk) baginya.”

An-Nisa’ 4:142-143

Ayat 30

وَلَوْ نَشَآءُ لَأَرَيْنَـٰكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُم بِسِيمَـٰهُمْ ۚ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِى لَحْنِ ٱلْقَوْلِ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَـٰلَكُمْ

Dan jikalau Kami kehendaki, nescaya Kami perlihatkan mereka kepadamu (Muhammad) sehingga engkau benar-benar dapat mengenali mereka dengan tanda-tandanya. Dan engkau benar-benar akan mengenali mereka daripada nada bicara mereka, dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu.

Allah Swt menyatakan sekiranya Dia kehendaki tentulah Dia memperlihatkan kepada Nabi Muhammad saw semua yang tergolong daripada orang-orang munafik.

Namun Allah Swt tidak melakukan hal tersebut terhadap semua orang munafik. Ini merupakan kebijaksanaan-Nya dan agar semua urusan pada zahirnya antara orang-orang mukmin dan orang-orang munafik kelihatan berjalan dengan lancar. Manakala rahsia mereka hanya Allah Swt sahaja yang mengetahuinya.

Dalam surah At-Taubah, Allah Swt menyatakan ciri-ciri orang-orang munafik yang dapat dikenali melalui tingkah laku dan pembicaraan mereka.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga: (1) Jika berbicara dia berdusta, (2) jika berjanji dia mengingkari, dan (3) jika diberi amanah dia berkhianat.”

(HR. Al-Bukhari)

Ayat 31

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ ٱلْمُجَـٰهِدِينَ مِنكُمْ وَٱلصَّـٰبِرِينَ وَنَبْلُوَا۟ أَخْبَارَكُمْ

Sesungguhnya, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu, dan akan Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwal kamu.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui siapakah di kalangan mereka adalah orang-orang munafik. Ujian ini adalah kerana Dia hendak menzahirkan kepada orang-orang mukmin siapakah orang-orang munafik itu.