Perintah untuk Bertauhid dan Beristighfar
Surah 47: Muhammad (19)
Ayat 19
فَٱعْلَمْ أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَٱسْتَغْفِرْ لِذَنۢبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَىٰكُمْ
Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi dengan benar) melainkan Allah dan mohonlah keampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat kamu tinggal.
Allah Swt menyuruh rasul-Nya agar tetap teguh atas pendiriannya dan agar memohonkan keampunan untuk para pengikutnya.
Ini merupakan pemberitahuan daripada Allah Swt bahawa tiada Ilah yang berhak disembah melainkan Dia. Namun tidak dinafikan bahawa ini juga merupakan suatu perintah supaya tidak menyekutukan-Nya. Allah Swt juga memerintahkan orang-orang beriman supaya sentiasa memohon keampunan untuk diri sendiri dan juga untuk orang-orang beriman yang lain.
Dalam hadis sahih disebutkan bahawa Rasulullah saw di akhir solat baginda berdoa:
“Ya Allah, ampunilah dosaku yang telah aku lakukan dan yang belum aku lakukan. (Ampunilah) apa yang aku rahsiakan dan yang aku zahirkan. (Ampunilah) apa yang aku lakukan secara berlebih-lebihan serta semua perbuatan yang Engkau lebih mengetahuinya daripadaku. Engkaulah Ilahku, tiada Ilah yang berhak diibadahi selain Engkau.”
(HR. Al-Bukhari)
Dalam hadis sahih juga disebutkan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:
“Wahai sekalian manusia! Bertaubatlah kamu kepada Rabb kamu, kerana sesungguhnya aku memohon keampunan dan bertaubat kepada-Nya dalam satu hari lebih dari tujuh puluh kali.”
(HR. Al-Bukhari)
Allah Swt mengetahui semua tindak tanduk makhluk-Nya walau di mana sahaja mereka berada, baik pada waktu siang mahupun pada waktu malam.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan Dia-lah yang menidurkan kamu pada waktu malam dan Dia mengetahui apa yang kamu lakukan pada waktu siang……….”
Al-An’am 6:60
“Dan tidak ada sesuatu pun makhluk yang bergerak (bernyawa) di muka bumi melainkan semuanya dijamin rezeki oleh Allah. Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semua (tertulis) dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh).”
Hud 11:6