Tidaklah Sama Penghuni Syurga dengan Penghuni Neraka
Surah 47: Muhammad (14 -15)
Ayat 14
أَفَمَن كَانَ عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّهِۦ كَمَن زُيِّنَ لَهُۥ سُوٓءُ عَمَلِهِۦ وَٱتَّبَعُوٓا۟ أَهْوَآءَهُم
Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang daripada Rabbnya sama dengan orang yang (syaitan) menjadikan dia memandang baik perbuatannya yang buruk itu dan mengikuti hawa nafsunya?
Allah Swt menyebutkan perbezaan antara orang mukmin dan orang kafir dalam bentuk pertanyaan iaitu adakah sama orang yang berpegang kepada petunjuk-Nya melalui kitab-Nya dengan orang yang mengikut ajakan syaitan yang menjadikan segala perbuatan buruknya kelihatan indah dan juga orang yang menuruti hawa nafsu.
Jawapannya tentulah tidak sama dan perbezaan antara kedua-duanya sangatlah jauh seperti perbezaan antara hidup dan mati atau antara syurga dan neraka.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu daripada Rabbmu itu benar sama dengan orang yang buta?……………”
Ar-Ra’d 13:19
“Tidaklah sama bagi ahli neraka dan ahli syurga, kerana ahli syurga adalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).”
Al-Hasyr 59:20
Ayat 15
مَّثَلُ ٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى وُعِدَ ٱلْمُتَّقُونَ ۖ فِيهَآ أَنْهَـٰرٌ مِّن مَّآءٍ غَيْرِ ءَاسِنٍ وَأَنْهَـٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّمْ يَتَغَيَّرْ طَعْمُهُۥ وَأَنْهَـٰرٌ مِّنْ خَمْرٍ لَّذَّةٍ لِّلشَّـٰرِبِينَ وَأَنْهَـٰرٌ مِّنْ عَسَلٍ مُّصَفًّى ۖ وَلَهُمْ فِيهَا مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ وَمَغْفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِمْ ۖ كَمَنْ هُوَ خَـٰلِدٌ فِى ٱلنَّارِ وَسُقُوا۟ مَآءً حَمِيمًا فَقَطَّعَ أَمْعَآءَهُمْ
(Apakah) perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai daripada air yang tidak berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamar (arak) yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring, dan mereka di dalamnya memperoleh pelbagai jenis buah-buahan dan keampunan daripada Rabb mereka, sama dengan orang yang kekal di dalam neraka dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga terputus-putus ususnya?
Allah Swt memberikan gambaran yang menakjubkan yang dijanjikan-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa dengan melakukan segala perintah dan menjauhi larangan-Nya.
Lalu Allah Swt menyebutkan empat jenis sungai yang terdapat dalam syurga, antaranya:
▪️ Sungai-sungai daripada air yang tawar, segar dan bersih.
▪️ Sungai-sungai daripada susu yang putih dan lazat.
▪️ Sungai-sungai daripada arak (khamar) yang lazat rasa dan bau yang menyenangkan. Arak ini sama sekali tidak sama sifatnya dengan arak di dunia yang mengandungi kemudharatan, jijik dan memabukkan.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Tidak ada di dalamnya (unsur) yang memabukkan dan mereka tidak mabuk kerananya.”
As-Saffat 37:47
“(Warna arak) putih bersih, sedap rasanya bagi orang-orang yang minum.”
As-Saffat 37:46
▪️ Sungai-sungai daripada madu yang sangat jernih dan bersih, elok warna dan rasanya serta aroma dan rasanya sangat lazat.
Kemudian Allah Swt menyebutkan pula kenikmatan pelbagai jenis buah-buahan yang segar, warna yang indah, bau yang harum dan lazat.
“Di dalamnya mereka meminta pelbagai jenis buah-buahan dengan aman (daripada segala kebimbangan).”
Ad-Dukhan 44:55
“Di dalam kedua-dua syurga itu terdapat pelbagai jenis buah-buahan yang berpasang-pasangan.”
Ar-Rahman 55:52
Allah Swt menyatakan selain penghuni syurga tersebut mendapat segala kenikmatan-kenikmatan yang disebutkan di atas, mereka juga mendapat kemaafan, rahmat dan redha-Nya.
Kemudian Allah Swt membandingkan pelbagai kenikmatan yang dijanjikan-Nya kepada orang-orang bertakwa dengan ancaman-Nya kepada orang-orang kafir berupa kesengsaraan dalam azab yang menyakitkan dengan diberikan minuman yang tersangat panas sehingga terpotong isi perut.