Ganjaran kepada Orang Beriman dan Balasan terhadap Orang yang Mensyirikkan Allah Swt
Surah 47: Muhammad (12 – 13)
Ayat 12
إِنَّ ٱللَّهَ يُدْخِلُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يَتَمَتَّعُونَ وَيَأْكُلُونَ كَمَا تَأْكُلُ ٱلْأَنْعَـٰمُ وَٱلنَّارُ مَثْوًى لَّهُمْ
Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Dan orang-orang kafir itu bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti binatang makan dan neraka adalah tempat tinggal mereka.
Dalam ayat yang lepas, Allah Swt menerangkan keadaan orang-orang mukmin dan orang-orang kafir di dunia. Kemudian dalam ayat ini pula Dia menerangkan keadaan mereka di akhirat kelak.
Allah Swt akan memasukkan orang-orang yang beriman kepada-Nya dan rasul-Nya serta membuktikan keimanan mereka dengan melakukan amal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai sebagai penghormatan bagi keimanan mereka. Manakala orang-orang kafir pula akan dibiarkan bersenang-lenang mengecapi kenikmatan dan kesenangan dunia.
Maksud ayat, “Mereka makan seperti binatang makan,” ialah orang-orang kafir ketika berada di dunia sama sekali tidak memikirkan tentang akhirat. Mereka hanya memikirkan bagaimana untuk mengisi perut dan memenuhi nafsu makan mereka. Mereka langsung tidak memikirkan tentang kewujudan dan keesaan Allah Swt. Maka samalah keadaan mereka dengan binatang ternak yang hanya pandai makan sahaja tanpa memikirkan bahawa mereka bakal disembelih.
Daripada Ibnu ‘Umar ra, Rasulullah saw bersabda:
“Orang mukmin itu makan untuk satu usus sedangkan orang kafir itu makan untuk tujuh usus (kiasan kepada kerakusan dan ketamakan mereka terhadap kelazatan dunia).”
(HR. Al-Bukhari)
Oleh itu, tempat kembali mereka di akhirat nanti adalah neraka sebagai balasan atas kekafiran mereka.
Ayat 13
وَكَأَيِّن مِّن قَرْيَةٍ هِىَ أَشَدُّ قُوَّةً مِّن قَرْيَتِكَ ٱلَّتِىٓ أَخْرَجَتْكَ أَهْلَكْنَـٰهُمْ فَلَا نَاصِرَ لَهُمْ
Dan betapa banyaknya negeri yang (penduduknya) lebih kuat daripada (penduduk) negerimu (Muhammad) yang telah mengusirmu itu. Kami telah membinasakan mereka, maka tidak ada seorang penolong pun bagi mereka.
Ayat ini adalah peringatan dan ancaman keras oleh Allah Swt kepada penduduk Mekah kerana sikap mereka yang mendustakan Rasulullah saw. Dia menyatakan telah banyak negeri-negeri yang penduduknya lebih kuat daripada mereka yang cuba membunuh utusan-utusan-Nya telah dibinasakan-Nya sehingga tiada yang dapat menolong mereka pada saat itu.
Permusuhan dalam menentang Allah Swt yang paling besar adalah permusuhan yang dilakukan di Tanah Haram. Orang-orang musyrik yang membunuh orang yang tidak melakukan pembunuhan (tidak bersalah) dan mereka berperang adalah disebabkan taksub kepada jahiliyah. Oleh sebab itulah Allah Swt menurunkan ayat ini.
Ayat ini turun ketika Rasulullah saw keluar dari rumahnya ke Gua Thur dalam rangka berhijrah. Ayat ini juga merupakan ayat hiburan bagi menenangkan hati baginda saw atas penderitaan yang dilaluinya kerana telah diusir keluar dari Mekah dan ada percubaan untuk membunuhnya. Daripada Ibnu ‘Abbas ra, ketika Rasulullah saw keluar dari Mekah menuju Gua Thur, baginda menoleh ke arah Mekah seraya berkata:
“Engkau (wahai Mekah), adalah bumi Allah yang paling dicintai-Nya, dan engkau adalah bumi Allah yang paling aku cintai. Sekiranya orang-orang musyrik tidak mengusirku tentu aku tidak akan keluar (darimu).”
(HR. At-Tabari)