Surah 47: Muhammad (1 – 3)

Balasan kepada Orang Kafir yang Mengikuti Kebatilan dan Orang Mukmin yang Mengikuti Kebenaran

Surah 47: Muhammad (1 – 3)


Ayat 1

ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَصَدُّوا۟ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ أَضَلَّ أَعْمَـٰلَهُمْ

Orang-orang yang kafir dan yang menghalang (manusia) daripada jalan Allah, Dia menghapuskan segala amalan mereka.

Allah Swt memulai surah ini dengan menjelaskan tentang balasan kepada orang-orang kafir yang mengingkari keesaan-Nya, ayat-ayat-Nya, menyembah selain-Nya dan menghalang orang lain mengikuti ajaran Rasulullah saw. Mereka tidak akan diberikan sedikit pun pahala daripada perbuatan baik yang mereka lakukan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan Kami akan perlihatkan segala amalan yang mereka lakukan, lalu Kami akan jadikan amalan itu (bagaikan) debu yang berterbangan.”

Al-Furqan 25:23

Ayat 2

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَءَامَنُوا۟ بِمَا نُزِّلَ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ وَهُوَ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۙ كَفَّرَ عَنْهُمْ سَيِّـَٔاتِهِمْ وَأَصْلَحَ بَالَهُمْ

Dan orang-orang yang beriman (kepada Allah) serta mengerjakan amalan soleh dan beriman (pula) kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad dan itulah yang hak (benar) daripada Rabb mereka, Allah menghapuskan segala kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka.

Kemudian Allah Swt menerangkan sifat orang-orang beriman iaitu orang-orang yang membenarkan-Nya dan mentaati-Nya dengan mengerjakan segala perintah-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya.

Selain itu, mereka beriman pula kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw. Mereka percaya bahawa itulah wahyu yang benar datangnya daripada Allah Swt.

Oleh itu, Allah Swt mengampunkan segala kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka dalam urusan kehidupan di dunia dan juga dalam urusan akhirat. Dia akan memelihara mereka daripada kemaksiatan dan membimbing mereka kepada melakukan amal soleh ketika di dunia. Kemudian di akhirat kelak, mereka akan diganjari dengan nikmat syurga.

Ayat 3

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱتَّبَعُوا۟ ٱلْبَـٰطِلَ وَأَنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّبَعُوا۟ ٱلْحَقَّ مِن رَّبِّهِمْ ۚ كَذَٰلِكَ يَضْرِبُ ٱللَّهُ لِلنَّاسِ أَمْثَـٰلَهُمْ

Yang demikian adalah kerana sesungguhnya orang-orang kafir mengikut yang batil (sesat), dan sesungguhnya orang-orang yang beriman mengikuti yang hak (benar) daripada Rabb mereka. Demikianlah Allah menjadikan bagi manusia beberapa contoh.

Allah Swt menjelaskan sebab digugurkan amal orang-orang kafir dan diberikan kebahagiaan kepada orang-orang beriman. Ini kerana orang-orang kafir mengikuti kebatilan berupa menyekutukan-Nya dan melakukan kemaksiatan terhadap-Nya serta memilih kebatilan daripada yang hak. Manakala orang-orang beriman pula mengikuti kebenaran yang diperintahkan Allah Swt berupa tauhid, keimanan dan amal ketaatan.

Orang-orang kafir dihapuskan segala kebaikan kerana mereka mengikuti jalan yang batil. Manakala orang-orang yang beriman diampunkan segala dosa dan diperbaiki segala urusan disebabkan mereka mengikuti jalan yang benar daripada Rabb mereka.

Begitulah Allah Swt membuat perbandingan atau contoh teladan kepada manusia bagi dua golongan ini supaya manusia mengambil pelajaran.