Orang Musyrik Mengingkari Ayat-ayat Allah Ta’ala dan Menuduh Rasulullah saw Mereka-rekanya
Surah 46: Al-Ahqaf (7 – 9)
Ayat 7
وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُنَا بَيِّنَـٰتٍ قَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِلْحَقِّ لَمَّا جَآءَهُمْ هَـٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas, berkatalah orang-orang yang mengingkari kebenaran ketika kebenaran itu datang kepada mereka, “Ini adalah sihir yang nyata.”
Allah Swt menyatakan apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran yang jelas, nyata dan terang, orang-orang musyrik mengatakan semua itu adalah sihir, lalu mereka mendustakan dan membuat pembohongan terhadapnya.
Ini adalah salah satu daripada tuduhan mereka selepas mereka mengatakan Nabi Muhammad saw adalah seorang yang gila dan penyair. Sesungguhnya hati mereka tidak terbuka untuk menerima kebenaran.
Mereka tetap menentang dengan menuduh bahawa ayat-ayat Al-Quran itu adalah sihir semata-mata. Itulah hujjah mereka, tidak ada yang lain lagi kerana pada mereka, sihir adalah sesuatu yang luar biasa yang tidak dapat dijelaskan. Tambahan pula, apabila masyarakat Arab mendengar ayat-ayat Al-Quran dibacakan oleh baginda dan para sahabat, ramai yang terpesona dan masuk Islam.
Ayat 8
أَمْ يَقُولُونَ ٱفْتَرَىٰهُ ۖ قُلْ إِنِ ٱفْتَرَيْتُهُۥ فَلَا تَمْلِكُونَ لِى مِنَ ٱللَّهِ شَيْـًٔا ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَا تُفِيضُونَ فِيهِ ۖ كَفَىٰ بِهِۦ شَهِيدًۢا بَيْنِى وَبَيْنَكُمْ ۖ وَهُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ
Bahkan mereka mengatakan, “Dia (Muhammad) telah mengada-adakannya (Al-Quran).” Katakanlah, “Jika aku mengada-adakannya, maka kamu tidak mempunyai kuasa sedikit pun mempertahankan aku daripada (azab) Allah itu. Dia lebih mengetahui apa-apa yang kamu perkatakan tentang Al-Quran itu. Cukuplah Dia menjadi saksi antara aku dan antara kamu dan Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Kemudian Allah Swt menyatakan perkara yang paling buruk yang dilakukan oleh orang-orang musyrik ini ialah mereka menuduh bahawa Rasulullah saw mereka-reka Al-Quran.
Oleh itu, Allah Swt memerintahkan supaya baginda membantah kaumnya dengan mengatakan sekiranya benar tuduhan mereka itu, Dia pasti akan menimpakan seksaan yang keras kepadanya. Sekiranya ini berlaku, tiada siapa pun yang ada di bumi ini yang dapat menghalang seksaan itu atau memberikan pertolongan kepadanya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sekiranya dia (Muhammad) ada-adakan perkataan atas (nama) Kami. Kami pasti pegang tangan kanannya. Kemudian potong urat jantungnya. Maka tidak seorang pun daripada kamu yang dapat menghalang (Kami untuk menghukumnya).”
Al-Haqqah 69:44-47
Kemudian Rasulullah saw diperintahkan mengatakan sesungguhnya Allah Swt lebih mengetahui tuduhan mereka terhadap Al-Quran. Cukuplah hanya Dia menjadi saksi bahawa Al-Quran itu adalah dari sisi-Nya dan baginda telah menyampaikannya kepada mereka.
Dalam ayat ini terdapat janji dan ancaman Allah Swt. Dia yang bersifat Maha Pengampun akan mengampuni orang-orang yang bertaubat. Dia juga Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Seandainya mereka tidak bertaubat daripada melakukan syirik nescaya mereka akan diberikan azab.
Ayat 9
قُلْ مَا كُنتُ بِدْعًا مِّنَ ٱلرُّسُلِ وَمَآ أَدْرِى مَا يُفْعَلُ بِى وَلَا بِكُمْ ۖ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰٓ إِلَىَّ وَمَآ أَنَا۠ إِلَّا نَذِيرٌ مُّبِينٌ
Katakanlah (Muhammad), “Aku bukanlah Rasul yang pertama di antara Rasul-rasul dan aku tidak mengetahui apa yang akan dilakukan terhadapku dan tidak (juga) terhadapmu. Aku tidak lain hanyalah mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku dan aku tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan yang menjelaskan.”
Seterusnya, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menyanggah tuduhan orang-orang musyrik dengan menjelaskan kepada mereka bahawa baginda bukanlah Rasul pertama yang diutus-Nya ke dunia ini, tetapi sebelum baginda telah pun ramai Rasul diutuskan kepada kaum masing-masing.
Akidah dan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw bukanlah suatu yang baru tetapi ada persamaan dengan akidah dan syariat para Rasul sebelumnya.
Sesungguhnya baginda tidak mengetahui apa yang akan dilakukan oleh Allah Swt terhadap dirinya dan apa yang akan dilakukan oleh-Nya terhadap mereka di dunia ini. Oleh itu, baginda tidaklah berbicara dan melakukan sesuatu kecuali yang sesuai dengan apa yang telah diwahyukan oleh Allah Swt.
Baginda tidak lain hanyalah seorang Rasul yang memberi peringatan kepada kaumnya tentang adanya seksaan-Nya dengan menerangkan syariat kepada mereka sejelas-jelasnya tentang syariat-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Akan tetapi (aku hanya) menyampaikan (peringatan) daripada Allah dan risalah-Nya. Dan sesiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, sesungguhnya dia akan mendapat (azab) Neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya.”
Al-Jin 72:23