Surah 46: Al-Ahqaf (3 – 6)

Sembahan Orang Kafir Akan Menjadi Musuh Mereka pada Hari Akhirat

Surah 46: Al-Ahqaf (3 – 6)


Ayat 3

مَا خَلَقْنَا ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَآ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ عَمَّآ أُنذِرُوا۟ مُعْرِضُونَ

Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan dalam waktu yang ditentukan. Dan orang-orang kafir berpaling daripada apa yang diperingatkan kepada mereka.

Allah Swt menegaskan keesaan-Nya dengan mengatakan bahawa Dia menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya bukanlah sia-sia atau main-main tetapi mempunyai tujuan-tujuan tertentu. Dia juga menjelaskan bahawa segala ciptaan-Nya itu mempunyai tempoh tertentu iaitu apabila sampai ajal yang ditentukan, tidak dicepatkan atau dilambatkan sedikit pun. Kemudian pada Hari Kiamat kelak, semuanya akan dihidupkan dan dikumpulkan untuk diberikan balasan.

Setelah itu, Allah Swt menyebutkan pula keadaan orang-orang kafir. Walaupun mereka diberikan peringatan dalam Al-Quran yang disampaikan oleh Rasulullah saw untuk menakutkan mereka dengan seksaan pada hari akhirat, mereka tetap tidak bersedia menerima peringatan.

Ayat 4

قُلْ أَرَءَيْتُم مَّا تَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَرُونِى مَاذَا خَلَقُوا۟ مِنَ ٱلْأَرْضِ أَمْ لَهُمْ شِرْكٌ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ ۖ ٱئْتُونِى بِكِتَـٰبٍ مِّن قَبْلِ هَـٰذَآ أَوْ أَثَـٰرَةٍۢ مِّنْ عِلْمٍ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Katakanlah, “Terangkanlah kepadaku tentang apa yang kamu sembah selain Allah, perlihatkan kepadaku apakah yang telah mereka ciptakan dari bumi ini atau adakah mereka bersekutu (dengan Allah) dalam (penciptaan) langit? Bawalah kepadaku kitab yang sebelum (Al-Quran) ini atau peninggalan daripada pengetahuan (orang-orang dahulu), jika kamu adalah orang-orang yang benar.”

Allah Swt menyanggah dakwaan orang-orang musyrik dengan memerintahkan Rasulullah saw meminta penjelasan daripada mereka, bumi manakah yang telah diciptakan oleh berhala-berhala mereka atau adakah berhala-berhala yang mereka sembah itu telah turut bersama dengan-Nya menciptakan langit?

Selain itu, Allah Swt juga menyuruh Rasulullah saw meminta orang-orang musyrik itu membawakan kepada baginda kitab sebelum Al-Quran yang dapat menjadi saksi akan kebenaran bahawa mereka diperintahkan supaya menyembah berhala atau apa juga bukti daripada pengetahuan orang-orang terdahulu yang menunjukkan berhala itu layak disembah.

Pertanyaan-pertanyaan ini adalah untuk mencela perbuatan syirik mereka. Ini kerana mereka tidak mempunyai satu dalil pun yang membenarkan mereka mempertuhankan patung-patung atau berhala-berhala tersebut.

Ayat 5

وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّن يَدْعُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَن لَّا يَسْتَجِيبُ لَهُۥٓ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ وَهُمْ عَن دُعَآئِهِمْ غَـٰفِلُونَ

Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang-orang yang menyembah selain Allah, (sembahan) yang tidak mampu memperkenankan sebarang doa hingga ke Hari Kiamat, dan mereka lalai dalam (memerhatikan) doa mereka?

Allah Swt menyatakan betapa sesatnya orang-orang musyrik kerana tidak ada yang lebih sesat dan lebih jahil daripada orang-orang yang menyeru kepada berhala-berhala yang tidak dapat mendengar dan tidak dapat memahami permohonan lebih-lebih lagi untuk memperkenankan doa. Ini kerana berhala-berhala itu adalah benda mati yang tidak berakal. Oleh itu, biarpun diseru sampai Hari Kiamat, nescaya sekali-kali tidak bermanfaat kepada penyeru atau pemujanya.

Ayat 6

وَإِذَا حُشِرَ ٱلنَّاسُ كَانُوا۟ لَهُمْ أَعْدَآءً وَكَانُوا۟ بِعِبَادَتِهِمْ كَـٰفِرِينَ

Dan apabila manusia dikumpulkan (pada Hari Kiamat) nescaya sembahan-sembahan itu menjadi musuh  mereka dan mengingkari pemujaan-pemujaan yang mereka telah lakukan.

Allah Swt menyatakan bahawa segala sembahan manusia selain-Nya itu sedikit pun tidak mengetahui penyembahan manusia kepada mereka. Kelak pada Hari Kiamat segala sembahan-sembahan mereka seperti para malaikat, Al-Masih (Nabi ‘Isa as), ‘Uzair, syaitan-syaitan dan lain-lain yang mereka sembah ketika di dunia akan mengingkari penyembahan mereka dan menjadi musuh mereka serta berlepas diri daripada mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan mereka telah mengambil sembahan-sembahan selain Allah, agar sembahan-sembahan itu menjadi pelindung bagi mereka, sekali-kali tidak. Kelak mereka (sembahan-sembahan) itu akan mengingkari penyembahan (pengikut-pengikutnya) terhadapnya, dan mereka (sembahan-sembahan) itu akan menjadi musuh bagi mereka.”

Maryam 19:81-82