Surah 46: Al-Ahqaf (29 – 32)

Kisah Tersebarnya Al-Quran di Kalangan Golongan Jin

Surah 46: Al-Ahqaf (29 – 32)


Ayat 29

وَإِذْ صَرَفْنَآ إِلَيْكَ نَفَرًا مِّنَ ٱلْجِنِّ يَسْتَمِعُونَ ٱلْقُرْءَانَ فَلَمَّا حَضَرُوهُ قَالُوٓا۟ أَنصِتُوا۟ ۖ فَلَمَّا قُضِىَ وَلَّوْا۟ إِلَىٰ قَوْمِهِم مُّنذِرِينَ

Dan (ingatlah peristiwa) ketika Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan(nya), lalu mereka berkata, “Diamlah kamu (untuk mendengarkannya).” Maka ketika pembacaan telah selesai, mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan.

Ketika Rasulullah saw ke Taif untuk berdakwah mengajak kepada ajaran Allah Swt, penduduk Taif menghalau dan menghina baginda malah melemparnya dengan batu.

Dalam perjalanan Rasulullah saw meninggalkan Kota Taif, Allah Ta’ala telah menghantar satu kumpulan jin untuk mendengar Al-Quran yang dibaca oleh baginda. Kehadiran kumpulan jin itu tidak pun diketahui oleh baginda sekiranya tidak diberitahu oleh Allah Swt. Golongan jin ini betul-betul mendengar bacaan Al-Quran itu dengan penuh teliti dan kemudiannya telah beriman.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Az-Zubair tentang firman Allah, “Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu (Muhammad) yang memperdengarkan Al-Quran,” Az-Zubair mengatakan kejadian ini berlaku di Nakhlah yang terletak di antara Mekah dan Taif. Ketika itu Rasulullah saw sedang membaca Al-Quran dalam solat Isya’. Hampir sahaja jin-jin itu berasak-asak mengerumuninya – (Al-Jin 72:19).

Selepas mendengar dan memahami apa yang dibaca oleh Rasulullah saw, mereka pun beriman dan terus pulang serta memberitahu kaum mereka apa yang mereka telah dengar daripada Al-Quran itu. Ini menunjukkan bahawa mereka telah berdakwah kepada kaum mereka.

Malaikat dan jin adalah dua alam ghaib yang tidak dapat dilihat oleh manusia. Setiap muslim wajib beriman kepada adanya malaikat dan jin, sebagaimana mereka beriman kepada Nabi Muhammad saw yang menerima wahyu melalui perantaraan malaikat. Baginda diutuskan kepada sekalian alam, termasuklah jin dan manusia. Daripada kalangan jin tidak ada nabi dan rasul yang diutuskan kepada mereka. Mereka hanya memberi peringatan sesama mereka.

Dalil yang menunjukkan bahawa para rasul hanya daripada bangsa manusia adalah seperti dalam firman-firman Allah Swt:

“Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu (Muhammad), melainkan mereka pasti memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar……….”

Al-Furqan 25:20

“Dan Kami anugerahkan kenabian kepada Ibrahim, Ishak dan Yaakub, lalu kami jadikan kenabian itu serta kitab kepada keturunannya……….”

Al-‘Ankabut 29:27

Ayat 30

قَالُوا۟ يَـٰقَوْمَنَآ إِنَّا سَمِعْنَا كِتَـٰبًا أُنزِلَ مِنۢ بَعْدِ مُوسَىٰ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ يَهْدِىٓ إِلَى ٱلْحَقِّ وَإِلَىٰ طَرِيقٍۢ مُّسْتَقِيمٍ

Mereka berkata, “Wahai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan sesudah Musa yang membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya lagi memimpin kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus.

Ayat ini menerangkan kata-kata sekelompok jin kepada kaum mereka, bahawa mereka telah mendengar bacaan sebuah kitab yang diturunkan selepas kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa as iaitu Al-Quran. Kitab ini telah membenarkan kitab-kitab yang diturunkan kepada rasul-rasul terdahulu dan memimpin ke jalan yang benar dan lurus.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan telah sempurna firman Rabbmu (Al-Quran) dengan benar dan adil……….”

Al-An’am 6:115

“Dia-lah yang telah mengutus rasul-Nya dengan petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar………..”

At-Taubah 9:33

Ayat 31

يَـٰقَوْمَنَآ أَجِيبُوا۟ دَاعِىَ ٱللَّهِ وَءَامِنُوا۟ بِهِۦ يَغْفِرْ لَكُم مِّن ذُنُوبِكُمْ وَيُجِرْكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ

Wahai kaum kami, terimalah (seruan) orang yang menyeru kepada Allah dan berimanlah dengannya, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan melepaskan kamu daripada seksaan yang pedih.

Ayat ini pula menerangkan seruan sekelompok jin yang mendengar Al-Quran yang dibaca oleh Nabi Muhammad saw itu kepada kaumnya. Mereka mengajak kaumnya menerima seruan baginda agar beriman kepada baginda dan mentaati Allah Swt. Ini kerana baginda mengajak mereka kepada jalan yang benar.

Sekiranya mereka beriman kepada Nabi Muhammad saw dengan mengikuti syariat yang dibawanya, nescaya Allah Swt akan mengampuni dosa-dosa mereka dan melepaskan mereka daripada seksaan neraka yang pedih.

Ayat ini juga memberikan pengertian bahawa golongan jin juga akan menerima pembalasan Allah Swt berupa keampunan dan terselamat daripada seksaan serta mendapat pahala bagi sesiapa yang melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan.

Ayat 32

وَمَن لَّا يُجِبْ دَاعِىَ ٱللَّهِ فَلَيْسَ بِمُعْجِزٍ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَيْسَ لَهُۥ مِن دُونِهِۦٓ أَوْلِيَآءُ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ

Dan orang yang tidak menerima (seruan) orang yang menyeru kepada Allah maka dia tidak akan dapat melepaskan diri daripada azab Allah di muka bumi dan tidak ada baginya pelindung selain Allah. Mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata.”

Seterusnya sekelompok jin itu berkata sebagai amaran kepada kaumnya, sekiranya ada sesiapa yang ingkar iaitu tidak mahu menerima seruan Nabi Muhammad saw, maka dia sama sekali tidak akan mampu mengalahkan Allah Swt dengan melarikan diri di bumi dan tidak akan terlepas daripada seksaan-Nya. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian baginya tidak ada penolong dan mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang nyata daripada kebenaran.