Surah 46: Al-Ahqaf (19 – 20)

Balasan Setimpal dengan Amal Perbuatan Manusia Semasa di Dunia

Surah 46: Al-Ahqaf (19 – 20)


Ayat 19

وَلِكُلٍّ دَرَجَـٰتٌ مِّمَّا عَمِلُوا۟ ۖ وَلِيُوَفِّيَهُمْ أَعْمَـٰلَهُمْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Dan setiap orang ditunjukkan balasan yang sesuai mengikut apa yang telah mereka lakukan, dan Allah mencukupkan balasan perbuatan mereka, dan mereka tidak dirugikan.

Allah Swt menjelaskan tentang keadilan-Nya dalam memberikan balasan kepada mereka. Setiap orang daripada kedua golongan manusia sebagaimana yang disebutkan itu memperoleh tingkatan yang berbeza-beza baik di syurga mahupun di neraka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan di dunia dahulu.

Peringkat itu disediakan agar Allah Swt mencukupkan balasan amal perbuatan mereka dan mereka tidak dirugikan dengan mengurangi ganjaran atau menambah seksaan.

Mereka diberi balasan setimpal dengan amal perbuatan mereka semasa di dunia dan tidak dizalimi walau seberat zarah pun atau yang lebih kecil daripadanya.

Ayat 20

وَيَوْمَ يُعْرَضُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ عَلَى ٱلنَّارِ أَذْهَبْتُمْ طَيِّبَـٰتِكُمْ فِى حَيَاتِكُمُ ٱلدُّنْيَا وَٱسْتَمْتَعْتُم بِهَا فَٱلْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ ٱلْهُونِ بِمَا كُنتُمْ تَسْتَكْبِرُونَ فِى ٱلْأَرْضِ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ وَبِمَا كُنتُمْ تَفْسُقُونَ

Dan (ingatlah) pada hari orang-orang kafir dihadapkan ke neraka (seraya dikatakan), “Kamu telah menghabiskan (rezeki) yang baik untuk kehidupan duniamu, dan kamu telah bersenang-lenang menikmatinya, maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang hina, kerana kamu sombong di muka bumi tanpa mengendahkan kebenaran, dan kamu derhaka (tidak taat kepada Allah).”

Allah Ta’ala menjelaskan keadaan hukuman dan kengerian Hari Kiamat yang ditempuhi oleh orang-orang kafir.

Ayat ini dikatakan kepada orang-orang kafir sebagai bentuk celaan dan ejekan. Ini kerana dahulu mereka bersenang-senang dengan kenikmatan yang diberikan kepada mereka dan bersikap sombong untuk mengikuti kebenaran serta mereka gemar melakukan perbuatan-perbuatan yang fasik dan derhaka, maka Allah Swt membalas mereka dengan azab yang menghinakan.

Itulah penghinaan, azab yang menyakitkan lagi sangat pedih dan penyesalan yang tidak berakhir serta tinggal di dasar neraka yang mengerikan. Semoga Allah melindungi kita daripada semua seksaan itu. Allahumma aamin!