Al-Quran Membenarkan Kitab-kitab Sebelumnya
Surah 46: Al-Ahqaf (10 – 14)
Ayat 10
قُلْ أَرَءَيْتُمْ إِن كَانَ مِنْ عِندِ ٱللَّهِ وَكَفَرْتُم بِهِۦ وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِّنۢ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ عَلَىٰ مِثْلِهِۦ فَـَٔامَنَ وَٱسْتَكْبَرْتُمْ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Katakanlah, “Terangkanlah kepadaku, bagaimanakah pendapatmu jika Al-Quran itu datang dari sisi Allah, padahal kamu mengingkarinya dan seorang saksi daripada Bani Israil mengakui (kebenaran) yang serupa dengan (yang tersebut dalam) Al-Quran lalu dia beriman, sedang kamu menyombongkan diri. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.”
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw meminta penjelasan daripada orang-orang musyrik bagaimana pendapat mereka jika Al-Quran yang diturunkan itu adalah sebenarnya daripada-Nya dan mereka mengingkarinya, padahal salah seorang daripada Bani Israil telah menjadi saksi akan kebenaran Al-Quran tersebut.
Sesungguhnya orang-orang yang mengkufuri Al-Quran itu telah menganiayai diri mereka sendiri. Ini kerana sekiranya Al-Quran itu benar-benar daripada-Nya dan disampaikan oleh Rasulullah saw, lalu mereka mendustakannya, maka Dia tidak akan memberikan taufik-Nya kepada mereka untuk melakukan kebaikan, lalu mereka termasuk orang-orang yang paling sesat dan paling zalim.
Para pentafsir berpendapat, seorang saksi daripada Bani Israil yang disebutkan dalam ayat ini ialah ‘Abdullah bin Salam. Dia menyatakan keimanannya kepada Nabi Muhammad saw setelah memerhatikan bahawa ada di antara isi kandungan Al-Quran sesuai dengan Taurat seperti ajaran tauhid, janji dan ancaman, kerasulan Nabi Muhammad saw, adanya kehidupan akhirat dan sebagainya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“…………..Sesungguhnya orang yang telah diberi pengetahuan sebelumnya, apabila (Al-Quran) dibacakan kepada mereka, mereka menundukkan wajah, lalu bersujud, dan mereka berkata, ‘Maha Suci Rabb kami, sesungguhnya janji Rabb kami pasti dipenuhi.’”
Al-Isra’ 17:107-108
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan An-Nasa’i, daripada Sa’ad, dia berkata, “Tidak pernah aku mendengar Rasulullah saw bersabda tentang calon penghuni syurga yang berjalan di muka bumi (yang masih hidup) kecuali ‘Abdullah bin Salam.” Ini adalah berkaitan dengan ayat, “dan seorang saksi daripada Bani Israil yang mengakui kebenaran yang serupa dengan Al-Quran.”
Ayat 11
وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَوْ كَانَ خَيْرًا مَّا سَبَقُونَآ إِلَيْهِ ۚ وَإِذْ لَمْ يَهْتَدُوا۟ بِهِۦ فَسَيَقُولُونَ هَـٰذَآ إِفْكٌ قَدِيمٌ
Dan orang-orang kafir berkata kepada orang-orang yang beriman, “Sekiranya ia (Al-Quran) adalah suatu yang baik, tentulah mereka tidak mendahului kami (beriman) kepadanya.” Dan kerana mereka tidak mendapat petunjuk dengannya maka mereka akan berkata, “Ini adalah dusta yang lama.”
Orang-orang kafir mengejek orang-orang Islam dengan mengatakan, sekiranya Al-Quran itu benar, tentu mereka lebih dahulu beriman dan beramal dengannya daripada orang-orang miskin dan lemah, seperti Bilal, ‘Ammar, Suhaib, Khabbab dan lain-lain lagi.
Ucapan mereka itu adalah disebabkan mereka yakin bahawa mereka mempunyai kemuliaan dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah Swt disebabkan mereka memiliki kekayaan dan menyangka bahawa mereka selalu berada di bawah pemeliharaan-Nya. Namun perkataan mereka itu hanyalah sangkaan mereka sahaja. Sesungguhnya mereka berada dalam kesesatan yang nyata.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa setelah mereka tidak mendapat petunjuk Al-Quran, mereka membangkang dengan mengatakan bahawa Al-Quran itu adalah suatu pembohongan yang diceritakan oleh orang-orang terdahulu. Ucapan mereka itu adalah suatu kesombongan untuk meremehkan dan menghina Al-Quran dan orang-orang beriman.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Demikianlah Kami telah menguji sebahagian daripada mereka (orang-orang kaya) dengan sebahagian yang lain (orang-orang miskin), agar mereka (orang-orang yang kaya itu) berkata, ‘Orang-orang seperti inikah di antara kita yang diberi anugerah oleh Allah?’………..”
Al-An’am 6:53
Daripada Abdullah ibnu Mas’ud ra, Rasulullah saw bersabda:
“Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia.”
(HR. Muslim)
Ayat 12
وَمِن قَبْلِهِۦ كِتَـٰبُ مُوسَىٰٓ إِمَامًا وَرَحْمَةً ۚ وَهَـٰذَا كِتَـٰبٌ مُّصَدِّقٌ لِّسَانًا عَرَبِيًّا لِّيُنذِرَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ وَبُشْرَىٰ لِلْمُحْسِنِينَ
Dan sebelum Al-Quran itu telah ada kitab Musa sebagai petunjuk dan rahmat. Dan ini (Al-Quran) adalah kitab yang membenarkannya dalam bahasa Arab untuk memberi peringatan kepada orang-orang yang zalim dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.
Kemudian Allah Swt menyatakan bukti kebenaran dan kesahihan Al-Quran iaitu sebelum Al-Quran ini diturunkan, telah pun terlebih dahulu diturunkan-Nya kitab Taurat kepada Nabi Musa as sebagai petunjuk. Kitab Taurat itu juga menjadi rahmat kepada sesiapa sahaja yang mahu mengamalkan pengajaran di dalamnya.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab yang fasih dan jelas ini membenarkan semua kitab-kitab sebelumnya. Selain itu, ia juga mengandungi ancaman kepada orang-orang kafir yang menzalimi diri sendiri dan khabar gembira kepada orang-orang beriman.
Ayat 13
إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسْتَقَـٰمُوا۟ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, “Rabb kami ialah Allah,” kemudian mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka tidak (juga) berdukacita.
Ayat 14
أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَنَّةِ خَـٰلِدِينَ فِيهَا جَزَآءًۢ بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Mereka itulah penghuni-penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan.
Allah Swt menjelaskan keadaan orang-orang beriman dan balasan kepada orang-orang yang istiqamah iaitu berpendirian teguh dalam tauhid dan tetap beramal soleh.
Orang-orang yang bersifat seperti itu, tidak berasa takut terhadap apa yang akan terjadi kepada mereka di alam barzakh dan di akhirat kelak, kerana mereka akan mendapat balasan yang baik iaitu memperoleh nikmat syurga dan mereka kekal di dalamnya. Mereka tidak akan berdukacita pada saat meninggalkan segala harta dan anak pinak kerana mereka akan pergi ke tempat yang lebih baik.
Antara penyebab datangnya rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya ialah dengan beramal baik dan istiqamah.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya orang-orang yang berkata, ‘Rabb kami (adalah) Allah,’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), ‘Janganlah kamu takut dan janganlah bersedih hati, bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu.’”
Fussilat 41:30