Surah 45: Al-Jathiyah (30 – 37)

Keputusan Allah Swt kepada Semua Makhluk-Nya pada Hari Kiamat Kelak

Surah 45: Al-Jathiyah (30 – 37)


Ayat 30

فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَيُدْخِلُهُمْ رَبُّهُمْ فِى رَحْمَتِهِۦ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْمُبِينُ

Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, maka Rabb mereka memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya (syurga). Demikian itulah kemenangan yang nyata.

Allah Swt menjelaskan bahawa orang-orang yang beriman kepada-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, Hari Kiamat dan mengerjakan amal-amal soleh dengan ikhlas dan sesuai dengan syariat-Nya akan dimasukkan ke dalam syurga. Sesungguhnya ini adalah kebahagiaan dan keuntungan yang besar.

Allah Swt menjanjikan rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman dan yang melakukan amal soleh dengan ikhlas dan sesuai dengan tuntutan syariat.

Ini juga merupakan dalil bahawa seseorang itu dimasukkan ke syurga dengan rahmat Allah Swt bukan semata-mata kerana amalannya.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Allah Swt berfirman kepada syurga, ‘Engkau adalah rahmat-Ku, Aku merahmati sesiapa sahaja yang Aku kehendaki.’”

(HR. Al-Bukhari)

Ayat 31

وَأَمَّا ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَفَلَمْ تَكُنْ ءَايَـٰتِى تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ فَٱسْتَكْبَرْتُمْ وَكُنتُمْ قَوْمًا مُّجْرِمِينَ

Dan adapun orang-orang yang kafir (dikatakan kepada mereka), “Adakah belum ada ayat-ayat-Ku telah dibacakan kepadamu, tetapi kamu menyombongkan diri dan adalah kamu menjadi orang-orang yang berbuat dosa?”

Manakala dalam ayat ini pula, Allah Swt menyebutkan bahawa orang-orang kafir pada Hari Kiamat kelak akan dicela dan diejek dengan pertanyaan bukankah telah datang ayat-ayat-Nya kepada mereka ketika di dunia dahulu namun mereka begitu angkuh untuk mengimaninya, malah mereka melakukan kejahatan dan kekufuran.

Ayat 32

وَإِذَا قِيلَ إِنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّ وَٱلسَّاعَةُ لَا رَيْبَ فِيهَا قُلْتُم مَّا نَدْرِى مَا ٱلسَّاعَةُ إِن نَّظُنُّ إِلَّا ظَنًّا وَمَا نَحْنُ بِمُسْتَيْقِنِينَ

Dan apabila dikatakan (kepadamu), “Sesungguhnya janji Allah itu benar dan Hari Kiamat itu tidak ada keraguan padanya,” nescaya kamu menjawab, “Kami tidak tahu apakah Hari Kiamat itu, kami tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja, dan kami sekali-kali tidak meyakininya.”

Allah Swt menyebutkan sikap orang-orang kafir, apabila mereka diingatkan tentang Hari Kiamat yang dijanjikan-Nya, mereka memberikan alasan dengan mengatakan mereka tidak mengetahuinya. Mereka juga mengatakan bahawa Hari Kiamat itu hanyalah perkara yang diduga-duga sahaja dan mereka sekali-kali tidak meyakininya.

Ayat 33

وَبَدَا لَهُمْ سَيِّـَٔاتُ مَا عَمِلُوا۟ وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ

Dan nyatalah bagi mereka keburukan-keburukan daripada apa yang mereka kerjakan dan mereka diliputi (azab) yang selalu mereka perolok-olokkan.

Maka dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan pada hari itu mereka dapat melihat dengan jelas akibat daripada segala perbuatan buruk mereka semasa di dunia dahulu. Lalu mereka dikepung oleh azab dan seksaan.

Ayat ini juga merupakan bentuk celaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah walaupun telah jelas datang kepada mereka hujjah-hujjah yang nyata.

Ayat 34

وَقِيلَ ٱلْيَوْمَ نَنسَىٰكُمْ كَمَا نَسِيتُمْ لِقَآءَ يَوْمِكُمْ هَـٰذَا وَمَأْوَىٰكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن نَّـٰصِرِينَ

Dan dikatakan kepada mereka, “Pada hari ini Kami melupakan kamu sebagaimana kamu melupakan pertemuan (dengan) harimu ini, dan tempat kembalimu ialah neraka dan kamu sekali-kali tidak memperoleh penolong.

Kemudian Allah Swt menjadikan orang-orang kafir itu berputus asa dengan mengatakan bahawa Dia tidak akan mempedulikan mereka sebagaimana mereka ketika di dunia dahulu melupakan tentang adanya pertemuan dengan-Nya.

Dalam hadis sahih, Rasulullah saw bersabda:

“Pada Hari Kiamat, Allah Swt akan berfirman kepada sebahagian hamba-hamba-Nya, “Bukankah Aku telah menikahkanmu? Bukankah Aku telah memuliakanmu? Bukankah Aku telah menundukkan kuda dan unta untukmu? Dan membiarkanmu memimpin dan memiliki harta lalu ditaati?” Orang itu menjawab, “Benar wahai Rabbku.” Kemudian Allah Swt bertanya, “Dulu apakah kamu menyangka akan bertemu dengan-Ku?” Orang itu menjawab, “Tidak.” Kemudian Allah Swt berfirman, “Maka hari ini Aku melupakanmu sebagaimana dahulu engkau melupakan-Ku.”

(HR. Muslim)

Ayat 35

ذَٰلِكُم بِأَنَّكُمُ ٱتَّخَذْتُمْ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ هُزُوًا وَغَرَّتْكُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا ۚ فَٱلْيَوْمَ لَا يُخْرَجُونَ مِنْهَا وَلَا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ

Yang demikian itu kerana kamu telah menjadikan ayat-ayat Allah sebagai ejekan, dan kamu telah ditipu oleh kehidupan dunia. Maka pada hari ini mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka dan tidak pula diberi kesempatan untuk bertaubat.

Allah Swt menyatakan bahawa azab yang ditimpakan ke atas orang-orang kafir itu adalah disebabkan mereka menjadikan Al-Quran sebagai bahan cemuhan dan gurauan. Mereka terpedaya dengan perhiasan dan keindahan dunia sehingga tidak mempercayai adanya Hari Kiamat dan Hari Pembalasan selain alam dunia.

Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka dan tidak diberi kesempatan untuk kembali taat kepada Allah Swt dan meminta redha-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka), ‘Wahai Malik, biarlah Rabbmu membunuh kami sahaja.’ Ia (Malik) menjawab, ‘Sesungguhnya kamu akan tetap tinggal (di neraka ini).’”

Az-Zukhruf 43:77

Ayat 36

فَلِلَّهِ ٱلْحَمْدُ رَبِّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَرَبِّ ٱلْأَرْضِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Segala puji hanya bagi Allah, Rabb (pemilik) langit dan Rabb (pemilik) bumi, Rabb seluruh alam.

Ayat 37

وَلَهُ ٱلْكِبْرِيَآءُ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

Dan bagi-Nya-lah keagungan di langit dan di bumi, dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Maka segala puji hanya bagi Allah Swt sebagai Pencipta, Pemilik, dan Pemelihara langit dan bumi. Rabb Yang Maha Berkuasa atas seluruh alam.

Sesungguhnya hanya bagi Allah Swt segala kebesaran dan keagungan di langit dan di bumi. Dia-lah Yang Maha Perkasa dalam kekuasaan-Nya dan Maha Bijaksana dalam pengaturan-Nya.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabada:

“Allah Swt berfirman, ‘Keagungan itu adalah pakaian-Ku dan kesombongan (kebesaran) itu selendang-Ku. Barang siapa yang melepaskan salah satunya daripada-Ku, maka Aku akan menempatkannya di neraka-Ku.'”

(HR. Muslim dan Abu Daud)