Allah Swt Membiarkan Orang yang Menjadikan Hawa Nafsu Mereka sebagai Ilah Berada dalam Kesesatan
Surah 45: Al-Jathiyah (23)
Ayat 23
أَفَرَءَيْتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِۦ وَقَلْبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَـٰوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِنۢ بَعْدِ ٱللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
Tidakkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilahnya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya? Dan Allah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan penutup atas penglihatannya. Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat). Mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?
Allah Swt menerangkan keadaan orang-orang kafir. Mereka bersikap suka bertindak menurut hawa nafsu, meninggalkan petunjuk dan menjadikan agama sesuai dengan keinginan mereka sehingga menjadikan hawa nafsu ini sebagai ilah selain Allah Swt. Mereka menggunakan alasan menurut akal mereka semata-mata dalam menentukan apa yang mereka sangka baik atau pun tidak.
Lalu Allah Swt menyatakan bahawa berdasarkan ilmu-Nya, Dia membiarkan mereka berada dalam kesesatan. Ini bermaksud mereka memang berhak menerima kesesatan kerana walaupun telah sampai kepada mereka ilmu pengetahuan serta hujjah yang jelas, mereka tidak memilih petunjuk sebaliknya memilih untuk berpaling daripada kebenaran.
Oleh itu, mereka tidak dapat mendengar dan memahami nasihat yang bermanfaat kerana Allah Swt telah menutup pendengaran dan hati mereka. Dia juga mengadakan sekatan pada penglihatan mereka sehingga tidak dapat melihat hujjah-hujjah yang terang yang terdapat pada alam dan diri mereka sendiri. Ini sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya orang-orang kafir, sama sahaja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak juga akan beriman. Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.”
Al-Baqarah 2:6-7
Sekiranya seseorang itu tidak mahu menerima bimbingan daripada Allah Swt kerana masih mengikut hawa nafsunya, maka sesungguhnya tidak ada sesiapa pun yang dapat menyelamatkannya daripada kesesatan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“………Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tanpa mendapat petunjuk daripada Allah? Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.”
Al-Qasas 28:50
“Sesiapa dibiarkan sesat oleh Allah, maka tidak ada yang mampu memberi petunjuk. Allah membiarkannya terumbang-ambing dalam kesesatan.”
Al-A’raf 7:186