Perintah kepada Orang Beriman agar Bersabar terhadap Gangguan Orang Musyrik
Surah 45: Al-Jathiyah (14 – 15)
Ayat 14
قُل لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ يَغْفِرُوا۟ لِلَّذِينَ لَا يَرْجُونَ أَيَّامَ ٱللَّهِ لِيَجْزِىَ قَوْمًۢا بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
Katakanlah (Muhammad) kepada orang-orang yang beriman, hendaklah mereka memaafkan orang-orang yang tidak takut kepada Hari-Hari Allah kerana Dia akan membalas sesuatu kaum terhadap apa yang telah mereka lakukan.
Allah Swt memerintahkan orang-orang beriman bersabar dan memaafkan orang-orang musyrik dan ahli kitab yang mengganggu mereka. Ini supaya hati mereka akan tertarik kepada ajaran Islam. Dia juga memerintahkan kaum mukmin supaya meneruskan sahaja dakwah dan mengajak mereka kepada Allah Swt.
‘Hari-hari Allah’ (أَيَّامَ اللهِ ) itu boleh diterjemahkan sebagai Hari Akhirat, juga boleh merujuk kepada kejadian-kejadian azab yang dikenakan kepada umat-umat terdahulu yang ingkar sama ada semasa di dunia dalam bentuk bencana alam ataupun azab yang Allah Swt turunkan dari langit untuk mereka.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan semuanya akan dikembalikan kepada-Nya dan Dia akan memberikan balasan kepada mereka mengikut apa yang telah mereka usahakan.
Ayat 15
مَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًا فَلِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَنْ أَسَآءَ فَعَلَيْهَا ۖ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ
Sesiapa yang mengerjakan amal yang soleh, maka itu adalah untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan, maka itu akan menimpa dirinya sendiri, kemudian kepada Rabbmu-lah kamu dikembalikan.
Allah Swt menerangkan bahawa setiap amal perbuatan akan kembali kepada pelakunya sendiri, sama ada perbuatan itu baik atau perbuatan buruk.
Sesiapa yang melakukan amal soleh yang diperintahkan Allah Swt dan meninggalkan larangan-Nya maka itu adalah amal baik buat dirinya. Namun sesiapa yang melakukan amal yang buruk, maka perbuatan itu adalah untuk dirinya sendiri.
Kelak Allah Swt akan mengadili segala amalan itu dengan seadil-adilnya, tanpa sedikit pun kezaliman pada Hari Kiamat kelak.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“………………Dia mendapat (pahala) daripada (kebaikan) yang dilakukannya dan dia mendapat seksaan daripada (kejahatan) yang dilakukannya………………”
Al-Baqarah 2:286