Surah 45: Al-Jathiyah (12 – 13)

Allah Swt Menjadikan Segala yang Ada di Langit dan di Bumi Tunduk kepada Manusia

Surah 45: Al-Jathiyah (12 – 13)


Ayat 12

ٱللَّهُ ٱلَّذِى سَخَّرَ لَكُمُ ٱلْبَحْرَ لِتَجْرِىَ ٱلْفُلْكُ فِيهِ بِأَمْرِهِۦ وَلِتَبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِهِۦ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Allah-lah yang menundukkan lautan untukmu supaya kapal-kapal dapat berlayar padanya dengan izin-Nya dan supaya kamu dapat mencari kurniaan-Nya dan mudah-mudahan kamu bersyukur.

Ini adalah suatu peringatan bahawa apa sahaja nikmat yang diperoleh itu adalah berasal daripada Allah Swt. Dia memudahkan laut untuk manusia adalah supaya mereka bersyukur kepada-Nya yang telah menenangkan laut itu dan menjadikan manusia boleh mengambil manfaat daripadanya. Mudah-mudahan manusia dapat bersyukur kepada-Nya kerana menyelamatkan mereka dalam pengembaraan di lautan yang luas dan bergelora. Maka kesyukuran mesti ditunjukkan dengan beribadah hanya kepada-Nya dan mentaati-Nya.

Ayat 13

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan Dia telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.

Kesemua yang ada di langit seperti matahari, bulan, bintang, awan, hujan dan angin yang diciptakan oleh Allah Swt adalah untuk kepentingan manusia. Begitu juga apa yang ada di daratan seperti gunung-ganang, pepohonan dan pelbagai binatang. Dia tundukkan semuanya untuk kegunaan manusia dan ini menjadi dalil kekuasaan-Nya dan hanya Dia-lah satu-satunya Pencipta alam semesta ini.

Namun tidak semua manusia boleh mengambil pengajaran terhadap dalil-dalil tersebut kecuali orang-orang yang menggunakan akal untuk berfikir. Mereka ini dapat melihat alam dan mengingatkan diri mereka kepada Allah Swt yang telah menjadikan semuanya untuk kepentingan mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) daripada Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesengsaraan, maka kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan.”

An-Nahl 16:53