Surah 45: Al-Jathiyah (1 – 5)

Bimbingan Allah Swt kepada Makhluk-Nya agar Berfikir tentang Nikmat dan Kekuasaan-Nya

Surah 45: Al-Jathiyah (1 – 5)


Ayat 1

حمٓ

Ha Mim.

Ayat 2

تَنزِيلُ ٱلْكِتَـٰبِ مِنَ ٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَكِيمِ

Kitab (ini) diturunkan daripada Allah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

Perkataan تَنْزِيلُ yang digunakan dalam ayat ini menunjukkan bahawa Al-Quran itu diturunkan kepada Nabi Muhammad saw secara beransur-ansur bukan sekaligus iaitu mengambil masa hampir 23 tahun. Antara tujuan diturunkan secara beransur-ansur itu adalah supaya manusia dapat mengambil pengajaran secara mendalam kerana untuk memahami Al-Quran seseorang itu tidak boleh mempelajarinya secara tergopoh-gopoh.

Al-Quran diturunkan daripada Allah Yang Maha Perkasa dalam kerajaan-Nya lagi Maha Bijaksana dalam mencipta dan mengatur ciptaan-Nya sehingga tidak ada sesuatu perkara yang dilakukan-Nya melainkan terdapat hikmah yang mendatangkan maslahat kepada makhluk-Nya.

Oleh itu, di dalam Al-Quran terdapat panduan bagaimana menjalani kehidupan dengan bijaksana. Sekiranya manusia mengikuti panduan tersebut, perjalanan kehidupan mereka akan menjadi sempurna. Semua ini menjadi bukti kebesaran dan kekuasaan Allah Swt yang perlu difikirkan oleh setiap hamba-Nya.

Ayat 3

إِنَّ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ لَـَٔايَـٰتٍ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk orang-orang yang beriman.

Allah Swt memerintahkan agar merenungkan tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan-Nya yang telah menciptakan langit dan bumi serta pelbagai makhluk yang ada pada kedua-duanya.

Allah Swt menekankan bahawa tanda-tanda kekuasaan-Nya itu benar-benar berfaedah kepada orang-orang yang beriman. Ini kerana orang-orang beriman percaya tentang kewujudan-Nya, kekuasaan dan keagungan-Nya.

Ayat 4

وَفِى خَلْقِكُمْ وَمَا يَبُثُّ مِن دَآبَّةٍ ءَايَـٰتٌ لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

Dan pada penciptaan diri kamu dan pada binatang-binatang yang melata yang bertebaran (di muka bumi) terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk kaum yang meyakini.

Allah Swt memerintahkan manusia merenungkan tanda-tanda kebesaran-Nya yang terdapat pada penciptaan diri mereka sendiri. Mereka diciptakan dalam sebaik-baik kejadian yang bermula daripada sperma dan melalui beberapa fasa kejadian, akhirnya menjadi seorang manusia yang mempunyai rupa paras yang baik dan susunan tubuh yang sempurna. Ini dapat dilihat kepada kehebatan kulit dan anggota tubuh badan serta organ-organ dalaman yang lainnya.

Allah Swt juga menyuruh manusia memerhatikan dan merenungkan pelbagai penciptaan-Nya berupa haiwan yang tersebar luas di muka bumi dan juga di dalam lautan. Ini membuktikan kekuasaan-Nya dan sesungguhnya hanya orang-orang yang berfikir tentang tanda-tanda yang menunjukkan adanya Pencipta sahaja dapat meyakini kebenaran tersebut.

Ayat 5

وَٱخْتِلَـٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن رِّزْقٍ فَأَحْيَا بِهِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَتَصْرِيفِ ٱلرِّيَـٰحِ ءَايَـٰتٌ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

Dan pada pergantian malam dan siang dan rezeki yang diturunkan Allah dari langit lalu dihidupkan-Nya dengan air hujan itu bumi sesudah matinya, dan pada peredaran angin terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berakal.

Allah Swt jugalah yang menciptakan peredaran malam dan siang yang silih berganti tanpa berhenti dan tanpa berselisih. Dia jugalah yang menurunkan hujan dari langit. Dia menyebutkan hujan sebagai rezeki kerana air hujan itulah sumber kehidupan manusia dan kehidupan makhluk-Nya yang lain.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, kapal yang berlayar di lautan dengan membawa (barangan) yang bermanfaat bagi manusia, apa yang diturunkan oleh Allah daripada langit (air), lalu dengan itu dihidupkan bumi setelah mati (kering), dan Dia tebarkan pelbagai binatang di dalamnya, dan peredaran angin dan awan yang di antara langit dan bumi, sesungguhnya, menunjukkan tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang memikirkan.”

Al-Baqarah 2:164

Allah Swt menyebutkan pada semua perkara yang disebutkan-Nya seperti dalam ayat-ayat 3 hingga ayat 5 itu terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya bagi orang-orang yang beriman yang ada pada ayat 3, dikuti dengan orang-orang yang meyakini pada ayat 4 dan akhir sekali dengan orang-orang yang berakal. Ini menunjukkan peningkatan kualiti-kualiti yang ada pada diri manusia bermula dari berkeadaan beriman menuju kepada yang lebih mulia iaitu yakin dan berakal.