Surah 44: Ad-Dukhan (9 – 16)

Allah Swt Mendatangkan Bencana kepada Orang Kafir Disebabkan Kekufuran Mereka

Surah 44: Ad-Dukhan (9 – 16)


Ayat 9

بَلْ هُمْ فِى شَكٍّ يَلْعَبُونَ

Tetapi mereka bermain-main dalam keragu-raguan.

Allah Swt menyebutkan hakikat orang-orang musyrik yang tetap meragui kebesaran-Nya, kebenaran Al-Quran dan Hari Pembalasan. Oleh itu, mereka tidak memikirkan tentang akhirat dan keesaan-Nya kerana pada mereka, perkara itu bukanlah sesuatu yang pasti. Mereka juga mempermain-mainkan dan mengejek-ngejek orang-orang yang berdakwah mengajak mereka mengamalkan agama yang benar.

Ayat 10

فَٱرْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِى ٱلسَّمَآءُ بِدُخَانٍ مُّبِينٍ

Maka tunggulah hari ketika langit membawa asap tebal yang nyata.

Ayat 11

يَغْشَى ٱلنَّاسَ ۖ هَـٰذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ

Yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih.

Ini adalah ancaman daripada Allah Swt kepada orang-orang musyrik yang mempermain-mainkan ajaran Rasulullah saw dan tidak berusaha untuk menganut agama yang benar.

Allah Swt meminta Nabi Muhammad saw membiarkan sahaja mereka dan menunggu suatu hari ketika itu, langit akan datang membawa asap yang tebal yang tersebar di udara.

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Masyruq, beliau berkata sesungguhnya disebabkan orang-orang kafir Mekah telah tersangat melampaui batas dalam menghalang agama Islam, menyakiti dan menderhakai Nabi Muhammad saw, maka baginda berdoa agar Allah Swt menimpakan kemarau yang panjang, bertahun-tahun lamanya sebagaimana musim kemarau yang melanda negeri Mesir pada zaman Nabi Yusuf as. Doa Nabi saw itu dikabulkan oleh Allah Swt, maka orang-orang kafir itu mengalami kesusahan dan kelaparan sehingga mereka terpaksa memakan tulang dan bangkai. Mereka selalu menengadah ke langit mengharapkan pertolongan Allah, namun yang dapat mereka lihat hanyalah asap tebal semata-mata.

Asap itu menyeliputi seluruh penjuru lalu mereka menyatakan bahawa ia adalah azab yang sangat menyakitkan.

Akhirnya mereka datang kepada Nabi saw agar baginda memohon kepada Allah Swt supaya hujan diturunkan. Setelah Allah Swt mengabulkan doa baginda dan hujan diturunkan, mereka kembali kafir seperti sedia kala.

Adapun hubungannya pada masa akan datang, asap tersebut menjadi salah satu daripada tanda-tanda Hari Kiamat. Asap ini akan menyeliputi bumi selama 40 hari. Pada saat itu, tersebar debu atom atau yang lainnya seperti asap di udara yang menyebabkan cuaca menjadi mendung dan gelap serta keadaannya jauh lebih dahsyat.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda:

Hari Kiamat tidak akan terjadi sebelum kalian melihat sepuluh tanda (yang mendahuluinya), iaitu terbitnya matahari dari arah barat, Dukhan (asap), Dabbah (binatang melata), keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, munculnya ‘Isa putera Maryam dan Dajjal, terjadinya tiga kali gempa hebat, sekali gempa di timur, sekali gempa di barat, dan sekali lagi gempa di Jazirah Arab, dan munculnya api dari daerah pedalaman ‘Adn (kota yang terkenal di Yaman) yang mengiringi manusia (menghimpunkan manusia). Api itu ikut berada bersama-sama mereka pada setiap saat baik ketika mereka tidur pada malam hari mahupun saat mereka istirahat pada siang hari.”

(HR. Muslim)

Ayat 12

رَّبَّنَا ٱكْشِفْ عَنَّا ٱلْعَذَابَ إِنَّا مُؤْمِنُونَ

(Mereka berdoa), “Wahai Rabb kami, lenyapkanlah azab itu daripada kami. Sesungguhnya kami akan beriman.

Dalam keadaan mereka ditimpa kesengsaraan kerana perbuatan buruk mereka, mereka memohon agar azab itu diangkat daripada mereka dan berjanji akan beriman kepada-Nya.

Ayat 13

أَنَّىٰ لَهُمُ ٱلذِّكْرَىٰ وَقَدْ جَآءَهُمْ رَسُولٌ مُّبِينٌ

Bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan, padahal telah datang kepada mereka seorang Rasul yang memberi penjelasan.

Kemudian Allah Swt menafikan kejujuran mereka untuk beriman.

Kalimah أَنَّىٰ bermaksud sesuatu yang tidak akan berlaku. Maksudnya bagaimana mereka dapat beriman apabila mereka meletakkan syarat iaitu sekiranya Allah Swt menghilangkan bala, barulah mereka hendak beriman.

Oleh itu, mereka tidaklah akan mendapat peringatan daripada Al-Quran itu, padahal Nabi Muhammad saw memang tinggal bersama dengan mereka dan berdakwah kepada mereka selama ini, tetapi mereka tetap tidak mahu beriman.

Ayat 14

ثُمَّ تَوَلَّوْا۟ عَنْهُ وَقَالُوا۟ مُعَلَّمٌ مَّجْنُونٌ

Kemudian mereka berpaling daripadanya dan berkata, “Dia adalah seorang yang menerima ajaran (daripada orang lain) lagi pula seorang yang gila.”

Mereka bukan sahaja berpaling daripada ajaran Rasulullah saw, malah mereka menuduh dan mencela baginda dengan mengatakan baginda diajarkan oleh seseorang. Selain itu, baginda juga dituduh sebagai orang gila. Oleh itu, mustahil bagi mereka untuk kembali dan bertaubat kepada Allah Swt.

Ayat 15

إِنَّا كَاشِفُوا۟ ٱلْعَذَابِ قَلِيلًا ۚ إِنَّكُمْ عَآئِدُونَ

Sesungguhnya jika Kami melenyapkan azab itu sedikit sahaja, tentu kamu akan kembali (ingkar).

Meskipun Allah Swt Maha Mengetahui apa yang terjadi, Dia tetap menjanjikan untuk menghilangkan azab itu dalam masa yang sekejap supaya benar-benar diketahui sikap mereka yang tidak menepati janji terhadap pernyataan yang mereka ucapkan. Bahkan mereka kembali kepada kekufuran setelah azab itu dihilangkan daripada mereka sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Mas’ud ra ketika azab itu dihilangkan daripada mereka dengan doa istisqa’ Rasulullah saw, mereka kembali mendustakan baginda.

Ayat 16

يَوْمَ نَبْطِشُ ٱلْبَطْشَةَ ٱلْكُبْرَىٰٓ إِنَّا مُنتَقِمُونَ

(Ingatlah) hari (ketika) Kami menghentam mereka dengan hentaman yang keras. Sesungguhnya Kami adalah pemberi balasan.”

Ada dua tafsiran yang dibuat oleh ulama tafsir untuk menerangkan maksud ‘hari’ dalam ayat ini:

▪️   Memberi isyarat tentang Perang Badar yang akan berlaku dan musyrikin Mekah akan dikalahkan. Ayat ini adalah ayat Makkiyyah, tetapi kejadian itu akan berlaku di Madinah nanti. Walaupun belum berlaku lagi, Allah Swt telah memberi isyarat bahawa kaum muslimin akan mendapat kemenangan.

▪️   Merujuk kepada Hari Akhirat iaitu kelak mereka akan menerima hukuman yang amat keras.