Bantahan tentang Kepercayaan Orang Musyrik bahawa Allah Swt Mempunyai Anak dan Penjelasan tentang Keesaan-Nya
Surah 43: Az-Zukhruf (81 – 89)
Ayat 81
قُلْ إِن كَانَ لِلرَّحْمَـٰنِ وَلَدٌ فَأَنَا۠ أَوَّلُ ٱلْعَـٰبِدِينَ
Katakanlah (Muhammad), “Jika benar (Rabb) Yang Maha Pemurah mempunyai anak, maka akulah orang yang mula-mula yang akan menyembah (anak itu).”
Ayat 82
سُبْحَـٰنَ رَبِّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ رَبِّ ٱلْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ
Maha Suci (Allah) Rabb Pemilik langit dan bumi, Rabb Pemilik ‘Arasy daripada apa yang mereka sifatkan itu.
Allah Swt menyuruh Nabi Muhammad saw mengatakan kepada orang-orang musyrik Mekah bahawa seandainya Dia mempunyai anak, bagindalah yang akan menyembahnya terlebih dahulu kerana baginda adalah seorang yang sangat taat kepada semua perintah-Nya. Namun perkara ini mustahil dan tidak mungkin sama sekali Dia memiliki anak.
Maha Suci Allah Swt daripada apa yang mereka ucapkan. Sesungguhnya Dia adalah Pemelihara langit dan bumi, Rabb Pemilik ‘Arasy yang jauh daripada segala kekurangan. Dia-lah Yang Maha Esa, tempat bergantung segala sesuatu, tidak ada yang menyerupai-Nya dan Dia tidak mempunyai anak.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sekiranya Allah hendak mengambil anak, tentu Dia akan memilih apa yang Dia kehendaki daripada apa yang telah diciptakan-Nya. Maha Suci Dia, Dia-lah Allah Yang Maha Esa, lagi Maha Perkasa.”
Az-Zumar 39:4
Ayat 83
فَذَرْهُمْ يَخُوضُوا۟ وَيَلْعَبُوا۟ حَتَّىٰ يُلَـٰقُوا۟ يَوْمَهُمُ ٱلَّذِى يُوعَدُونَ
Maka biarkanlah mereka tenggelam (dalam kesesatan) dan bermain-main sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka.
Selanjutnya, Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw berpaling daripada orang-orang musyrik yang membangkang, kemudian membiarkan mereka dalam kebodohan, kebatilan dan kesesatan sehingga mereka menemui Hari Kiamat yang dijanjikan kepada mereka.
Mereka akan mengetahui bagaimana keadaan diri dan tempat tinggal mereka di akhirat nanti.
Ayat 84
وَهُوَ ٱلَّذِى فِى ٱلسَّمَآءِ إِلَـٰهٌ وَفِى ٱلْأَرْضِ إِلَـٰهٌ ۚ وَهُوَ ٱلْحَكِيمُ ٱلْعَلِيمُ
Dan Dia-lah Ilah (yang disembah) di langit dan Ilah (yang disembah) di bumi, dan Dia-lah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
Ayat 85
وَتَبَارَكَ ٱلَّذِى لَهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَعِندَهُۥ عِلْمُ ٱلسَّاعَةِ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Dan Maha Suci (Allah) yang memiliki kerajaan langit dan bumi, dan apa yang ada di antara kedua-duanya, dan di sisi-Nya-lah ilmu tentang Hari Kiamat, dan hanya kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.
Allah Swt menegaskan penyucian terhadap Zat-Nya. Dia-lah Rabb Yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan yang layak untuk disembah di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia Maha Bijaksana terhadap semua yang diciptakan-Nya, Maha Mengetahui segala sesuatu yang nyata mahupun yang tersembunyi.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan Dia-lah Allah (yang disembah), di langit ataupun di bumi, Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan, dan apa yang kamu nyatakan, dan mengetahui (pula) apa yang kamu lakukan.”
Al-An’am 6:3
Ayat 86
وَلَا يَمْلِكُ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِهِ ٱلشَّفَـٰعَةَ إِلَّا مَن شَهِدَ بِٱلْحَقِّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Dan sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah tidak dapat memberi syafaat (pertolongan di akhirat), tetapi orang yang dapat memberi syafaat ialah orang yang mengakui kebenaran (tauhid) dan mereka meyakininya.
Sesungguhnya patung dan berhala serta sesiapa pun juga tidak boleh memberikan syafaat. Allah Swt sahajalah yang memiliki syafaat dan memberikannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia menentukan siapa yang boleh memberikan syafaat serta siapa pula yang boleh mendapat syafaat.
Syarat-syarat yang membolehkan seseorang itu memberi dan menerima syafaat ialah seseorang yang menerima kebenaran dan mentauhidkan Allah Swt. Mereka hanya menyembah-Nya dan mengikut amalan yang diajar oleh Rasulullah saw.
Ayat 87
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ ۖ فَأَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ
Dan sungguh jika engkau bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan mereka, maka mereka menjawab, “Allah,” maka bagaimana mereka dapat dipalingkan (daripada menyembah Allah).
Seterusnya, Allah Swt menyatakan sifat yang bercanggah yang ada pada orang-orang musyrik. Mereka mengakui bahawa Allah-lah Pencipta segala sesuatu dan tidak ada sekutu dalam penciptaan-Nya.
Meskipun demikian, mereka tetap menyembah selain Allah Swt yang sama sekali tidak memiliki apa-apa dan tidak dapat berbuat apa-apa. Inilah puncak kebodohan mereka. Oleh itu, bagaimana mereka dapat dipalingkan daripada menyembah-Nya.
Ayat 88
وَقِيلِهِۦ يَـٰرَبِّ إِنَّ هَـٰٓؤُلَآءِ قَوْمٌ لَّا يُؤْمِنُونَ
Dan (Allah mengetahui) ucapannya (Muhammad), “Wahai Rabbku, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman.”
Ayat 89
فَٱصْفَحْ عَنْهُمْ وَقُلْ سَلَـٰمٌ ۚ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ
Maka berpalinglah daripada mereka (wahai Muhammad) dan katakanlah, “Salam (Selamat tinggal).” Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yang buruk).
Allah Swt menegaskan bahawa Dia mengetahui keluhan Nabi Muhammad as disebabkan berpalingnya kaum baginda terhadap ajarannya. Ini sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dan Rasul (Muhammad) berkata, ‘Wahai Rabbku, sesungguhnya kaumku telah mengabaikan Al-Quran ini.’”
Al-Furqan 25:30
Seterusnya Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw berpaling daripada kaumnya dan tidak mempedulikan kemusyirikan mereka.
Ucapan salam dalam ayat ini bukanlah bermaksud salam penghormatan seperti yang selalu diucapkan tetapi adalah salam selamat tinggal. Inilah yang diajar oleh Allah Swt untuk menghentikan sesuatu perdebatan dengan baik. Ayat ini sekaligus merupakan ancaman kepada kaum musyrikin bahawa Dia akan menimpakan kepada mereka seksaan yang tidak boleh ditolak lagi.