Kesengsaraan yang Dialami oleh Penghuni Neraka
Surah 43: Az-Zukhruf (74 – 80)
Ayat 74
إِنَّ ٱلْمُجْرِمِينَ فِى عَذَابِ جَهَنَّمَ خَـٰلِدُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang berdosa kekal di dalam azab Neraka Jahannam.
Allah Swt menyatakan balasan kepada orang-orang musyrik. Mereka akan diseksa di akhirat kelak dalam neraka dan mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
Ayat 75
لَا يُفَتَّرُ عَنْهُمْ وَهُمْ فِيهِ مُبْلِسُونَ
Tidak diringankan (azab) itu ke atas mereka, dan mereka berputus asa di dalamnya.
Seksaan yang ditimpakan kepada mereka itu tidak akan diringankan walaupun sekejap. Oleh itu, mereka berputus asa kerana mereka tahu bahawa mereka tidak akan dapat menyelamatkan diri daripada seksaan. Mereka juga tidak dapat bergerak ke mana-mana. Permintaan mereka untuk keluar dari neraka atau dikurangkan azab pun tidak diendahkan. Oleh itu, mereka akan terus menerus diazab di dalam neraka.
Ayat 76
وَمَا ظَلَمْنَـٰهُمْ وَلَـٰكِن كَانُوا۟ هُمُ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan tidaklah Kami menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Dia sekali-kali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya, sebaliknya merekalah yang menzalimi diri sendiri. Ini adalah disebabkan mereka tetap dalam kekufuran, walaupun telah diutuskan para Rasul yang memberikan peringatan demi peringatan, hujjah dan keterangan kepada mereka.
Ayat 77
وَنَادَوْا۟ يَـٰمَـٰلِكُ لِيَقْضِ عَلَيْنَا رَبُّكَ ۖ قَالَ إِنَّكُم مَّـٰكِثُونَ
Dan mereka berseru (ketua malaikat penjaga neraka), “Wahai Malik, biarlah Rabbmu membunuh kami sahaja.” Ia menjawab, “Sesungguhnya kamu akan tetap tinggal (di neraka ini).”
Ayat 78
لَقَدْ جِئْنَـٰكُم بِٱلْحَقِّ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَكُمْ لِلْحَقِّ كَـٰرِهُونَ
Sesungguhnya kami benar-benar telah datang membawa kebenaran itu kepada kamu, tetapi kebanyakan kamu bencikan kepada kebenaran itu.
Allah Swt menyatakan sikap orang-orang kafir yang berada dalam neraka. Mereka memanggil-manggil dan merayu-rayu kepada malaikat yang menjaga neraka agar mereka dimatikan sahaja supaya mereka terlepas daripada seksaan yang tersangat pedih itu.
Rayuan mereka itu ditolak oleh malaikat bahawa mereka tetap akan berada dalam seksaan tersebut. Ini kerana ketika di dunia dahulu mereka menolak, membenci, membangkang dan mendustakan kebenaran yang telah dibawa oleh para Rasul kepada mereka yang mengajak ke jalan yang lurus.
Ayat 79
أَمْ أَبْرَمُوٓا۟ أَمْرًا فَإِنَّا مُبْرِمُونَ
Bahkan mereka telah menetapkan suatu tipu daya (jahat), maka sesungguhnya Kami sudah merancang (mengatasi tipu daya mereka).
Seterusnya,Allah Swt menyatakan kaum musyrikin Mekah bukan sahaja membenci kebenaran, bahkan sikap mereka jauh lebih buruk daripada itu. Mereka mengadakan perancangan jahat untuk menghalang penyebaran agama Islam, menganiaya golongan mukmin, bahkan merancang untuk membunuh Nabi Muhammad saw. Namun perancangan mereka gagal kerana Dia juga mempunyai perancangan untuk menyelamatkan baginda.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan mereka membuat tipu daya, namun Kami juga menyusun tipu daya, sedang mereka tidak menyedarinya.”
An-Naml 27:50
Ayat 80
أَمْ يَحْسَبُونَ أَنَّا لَا نَسْمَعُ سِرَّهُمْ وَنَجْوَىٰهُم ۚ بَلَىٰ وَرُسُلُنَا لَدَيْهِمْ يَكْتُبُونَ
Apakah mereka menganggap bahawa Kami tidak mendengar rahsia dan bisikan-bisikan mereka? Sebenarnya (Kami mendengar), dan utusan-utusan Kami (malaikat) mencatat di sisi mereka.
Kemudian Allah Swt mengajukan pertanyaan dalam bentuk kecaman terhadap rancangan orang-orang musyrik yang menyangka Dia tidak mendengar perbicaraan mereka sama ada secara rahsia atau secara terbuka.
Sesungguhnya, Allah Swt Maha Mendengar lagi Maha Melihat segala sesuatu dan para pencatat yang terdiri daripada para malaikat tidak pernah lengah atau lalai daripada mencatat semua amalan yang mereka lakukan dan ucapkan. Pada Hari Kiamat kelak, semua catatan itu akan menjadi hujjah dan bukti terhadap segala kemungkaran mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah mengetahui rahsia dan bisikan dan bahawa Allah Maha Mengetahui segala yang ghaib?”
At-Taubah 9:78
“(Ingatlah) ketika dua malaikat mencatat (perbuatannya), yang satu duduk di sebelah kanan dan satu lagi duduk di sebelah kiri. Tidak ada suatu perkataan pun yang diucapkan yang diucapkannya kecuali ada di sisinya malaikat pengawas yang mencatat.”
Qaf 50:17-18