Teman-teman Karib daripada Kaum Musyrik Akan Saling Bermusuhan pada Hari Kiamat
Surah 43: Az-Zukhruf (66 – 67)
Ayat 66
هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا ٱلسَّاعَةَ أَن تَأْتِيَهُم بَغْتَةً وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
Mereka tidak menunggu kecuali kedatangan Hari Kiamat kepada mereka dengan tiba-tiba, sedang mereka tidak menyedarinya.
Orang-orang musyrik yang tidak mahu beriman itu tidaklah mereka menunggu melainkan kematian sahaja. Ini kerana Hari Kiamat pasti terjadi, tetapi mereka lalai daripadanya dan tidak mempersiapkan diri sehingga apabila kiamat terjadi, ia terjadi secara mengejut tanpa mereka menyedarinya. Pada hari itu mereka akan menyesal dengan sebesar-besar penyesalan. Namun penyesalan itu tidak lagi bermanfaat kepada mereka.
Ayat 67
ٱلْأَخِلَّآءُ يَوْمَئِذٍۭ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا ٱلْمُتَّقِينَ
Teman-teman karib pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.
Ayat ini menjelaskan bahawa orang-orang yang bersahabat dalam kekufuran dan kesesatan semasa berada di dunia, kelak pada Hari Kiamat, mereka akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa. Mereka tidak akan saling bermusuhan sekiranya persahabatan mereka di dunia dahulu terjalin atas dasar ketakwaan kepada Allah Swt.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan dia (Ibrahim) berkata, ‘Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah hanya untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini kemudian pada Hari Kiamat sebahagian kamu akan saling mengingkari dan saling mengutuk dan tempat kembalimu ialah neraka, sama sekali tidak ada penolong bagimu.’”
Al-‘Ankabut 29:25