Surah 43: Az-Zukhruf (46 – 56)

Nabi Musa as Diutus kepada Firaun dan Kaumnya dengan Membawa Ajaran Tauhid

Surah 43: Az-Zukhruf (46 – 56)


Ayat 46

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِـَٔايَـٰتِنَآ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإِي۟هِۦ فَقَالَ إِنِّى رَسُولُ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Dan sesunguhnya Kami telah mengutus Musa dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami kepada Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya. Maka dia (Musa) berkata, “Sesungguhnya aku adalah utusan daripada Rabb seluruh alam.”

Allah Swt menyatakan sesungguhnya Dia telah mengutuskan Nabi Musa as yang dikuatkan dengan pelbagai bentuk mukjizat untuk menunjukkan kebenaran baginda kepada Firaun, pembesar-pembesarnya dan pengikut-pengikutnya agar mereka menyembah-Nya tanpa menyekutukan-Nya.

Ayat 47

فَلَمَّا جَآءَهُم بِـَٔايَـٰتِنَآ إِذَا هُم مِّنْهَا يَضْحَكُونَ

Maka ketika dia (Musa) datang kepada mereka dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami maka dengan serta merta mereka mentertawakannya.

Namun Firaun dan pengikutnya mempermainkan dan mempersendakan Nabi Musa as. Ini kerana mereka memandang rendah dan remeh terhadap semua dakwah dan mukjizat yang dibawa oleh baginda.

Ayat 48

وَمَا نُرِيهِم مِّنْ ءَايَةٍ إِلَّا هِىَ أَكْبَرُ مِنْ أُخْتِهَا ۖ وَأَخَذْنَـٰهُم بِٱلْعَذَابِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Dan tidaklah Kami memperlihatkan kepada mereka sesuatu mukjizat kecuali (mukjizat itu) lebih besar daripada mukjizat-mukjizat (yang sebelumnya). Dan Kami timpakan kepada mereka azab agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

Allah Swt menyatakan bahawa mukjizat yang diperlihatkan-Nya kepada Firaun dan para pembesar-pembesarnya itu adalah sebagai hujjah kepada kebenaran Nabi Musa as dalam menyeru mereka kepada agama-Nya.

Setiap kali sesuatu mukjizat itu ditunjukkan kepada mereka, mukjizat itu adalah lebih besar daripada mukjizat yang telah ditunjukkan sebelumnya. Sebagai contoh, Dia memperlihatkan azab berupa angin taufan, kemarau yang berpanjangan, belalang, kutu, katak dan darah yang melanda negeri Mesir, setiap satu mukjizat itu merupakan azab yang sangat dahsyat.

Allah Swt menimpakan azab tersebut adalah sebagai ujian kepada mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar dan tidak lagi mendustakan para Rasul.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan sesungguhnya Kami telah menghukum Firaun dan kaumnya dengan (mendatangkan musim kemarau) bertahun-tahun dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pengajaran.”

Al-A’raf 7:130

“Maka, Kami kirimkan kepada mereka taufan, belalang, kutu, katak dan darah (air minuman berubah menjadi darah) sebagai bukti-bukti yang jelas, tetapi mereka tetap menyombongkan diri dan mereka adalah kaum yang berdosa.”

Al-A’raf 7:133

Ayat 49

وَقَالُوا۟ يَـٰٓأَيُّهَ ٱلسَّاحِرُ ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ بِمَا عَهِدَ عِندَكَ إِنَّنَا لَمُهْتَدُونَ

Dan mereka berkata, “Wahai ahli sihir, berdoalah kepada Rabbmu untuk (melepaskan) kami seperti apa yang telah dijanjikan-Nya kepadamu, sesungguhnya jika doamu dikabulkan, kami benar-benar akan menjadi orang yang mendapat petunjuk.”

Ahli sihir yang mereka maksudkan ialah Nabi Musa as.

Setiap kali setiap azab ditimpakan kepada mereka yang merupakan salah satu daripada mukjizat-mukjizat yang disebutkan sebelum ini, mereka memohon kepada Nabi Musa as agar berdoa kepada Allah Swt dengan harapan diangkat bencana itu dan mereka terselamat sesuai dengan apa yang telah dijanjikan-Nya kepada baginda. Seterusnya mereka berjanji mereka akan menjadi orang yang mendapat petunjuk sekiranya doa baginda dikabulkan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan ketika mereka ditimpa azab (yang telah diterangkan itu) mereka pun berkata, ‘Wahai Musa, mohonkanlah untuk kami kepada Rabbmu sesuai dengan janji-Nya kepadamu. Jika engkau dapat menghilangkan azab itu daripada kami, nescaya kami akan beriman kepadamu dan pasti akan kami biarkan Bani Israil pergi bersamamu.’”

Al-A’raf 7:134

Ayat 50

فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُمُ ٱلْعَذَابَ إِذَا هُمْ يَنكُثُونَ

Maka ketika Kami hilangkan azab itu daripada mereka, seketika itu (juga) mereka mungkir janji.

Seterusnya, Allah Swt menyatakan, setiap kali Firaun dan pengikutnya ditimpa musibah, mereka berjanji kepada Nabi Musa as bahawa mereka akan beriman kepadanya dan melepaskan Bani Israil pergi bersama-samanya. Namun apabila permintaan mereka dipenuhi, mereka selalu memungkiri janji.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Tetapi setelah Kami hilangkan azab itu daripada mereka sehingga batas waktu yang harus mereka penuhi ternyata mereka mungkir pada janji.”

Al-A’raf 7:135

Ayat 51

وَنَادَىٰ فِرْعَوْنُ فِى قَوْمِهِۦ قَالَ يَـٰقَوْمِ أَلَيْسَ لِى مُلْكُ مِصْرَ وَهَـٰذِهِ ٱلْأَنْهَـٰرُ تَجْرِى مِن تَحْتِىٓ ۖ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata, “Wahai kaumku, bukankah kerajaan Mesir itu milikku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku, apakah kamu tidak melihat?

Ayat 52

أَمْ أَنَا۠ خَيْرٌ مِّنْ هَـٰذَا ٱلَّذِى هُوَ مَهِينٌ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ

Bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina ini (Musa) dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)?

Allah Swt menceritakan tentang kesombongan, keingkaran dan kekafiran Firaun. Ketika dia berasa bimbang terhadap kecenderungan kaumnya kepada Nabi Musa as, dia pun mengumpulkan kaumnya lalu mengungkapkan kata-kata yang menunjukkan dia tersangat bangga dengan dirinya sebagai raja negeri Mesir yang agung, semua berada dalam kekuasaannya dan tiada siapa pun yang berani menentangnya.

Seterusnya Firaun dengan sombongnya berkata kepada kaumnya, tidakkah mereka melihat keadaan Nabi Musa as dan para pengikutnya yang miskin lagi lemah dan tidak mampu untuk melawannya.

Dalam sirah telah dijelaskan bahawa Nabi Musa as mengalami masalah pertuturan yang tidak lancar ketika masih kecil. Hal ini telahpun dihuraikan dalam Surah Taha ayat 27. Firaun tidak melepaskan peluang itu untuk menghina baginda as di hadapan pengikut-pengikutnya. Namun begitu Nabi Musa as telah memohon kepada Allah Swt untuk melepaskan kekakuan pada lidahnya agar umatnya memahami perkataannya.

Firman Allah Swt dalam ayat tersebut:

“(Musa berdoa), ‘Dan lepaskanlah kekakuan daripada lidahku.’”

Taha 20:27

Ayat 53

فَلَوْلَآ أُلْقِىَ عَلَيْهِ أَسْوِرَةٌ مِّن ذَهَبٍ أَوْ جَآءَ مَعَهُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ مُقْتَرِنِينَ

Maka mengapa tidak dipakaikan kepadanya (Musa) gelang daripada emas, atau adakah malaikat datang bersama-samanya untuk membelanya?”

Firaun mengejek Nabi Musa as kerana baginda kelihatan biasa sahaja, tidak seperti keadaan orang-orang kaya. Jika benar baginda seorang rasul tentulah dipakaikan gelang-gelang daripada emas mengikut kebiasaan orang-orang kaya dan berkedudukan tinggi.

Firaun juga mempersoalkan jika benarlah baginda seorang Rasul mengapa tidak ada malaikat yang sentiasa datang bersama-samanya untuk memberikan persaksian terhadap risalahnya sebagaimana yang baginda dakwakan.

Ayat 54

فَٱسْتَخَفَّ قَوْمَهُۥ فَأَطَاعُوهُ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمًا فَـٰسِقِينَ

Maka Firaun dengan perkataan itu telah mempengaruhi kaumnya, lalu mereka patuh kepadanya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.

Firaun mempengaruhi akal kaumnya agar mengikut jalan kesesatan. Kaumnya yang mempunyai akal yang dangkal telah mempercayai dan menurutinya. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang terkeluar daripada ketaatan kepada Allah Swt.

Ayat 55

فَلَمَّآ ءَاسَفُونَا ٱنتَقَمْنَا مِنْهُمْ فَأَغْرَقْنَـٰهُمْ أَجْمَعِينَ

Maka ketika mereka membuat Kami murka, Kami hukum mereka, lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya (di laut).

Allah Swt menyatakan ketika Firaun dan pengikut-pengikutnya semakin melampaui batas dan menyebabkan kemurkaan-Nya, Dia pun menyegerakan hukuman yang berat kepada mereka dengan menenggelamkan semuanya ke dalam laut.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Kemudian Firaun dengan bala tenteranya mengejar mereka, lalu mereka digulung ombak laut yang menenggelamkan mereka. Dan Firaun telah menyesatkan kaumnya dan tidak memberi petunjuk.”

Taha 20:78-79

“Maka Allah menghukumnya (Firaun) dengan azab di akhirat serta seksaan di dunia.”

An-Nazi’at 79:25

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir ra bahawa, Rasulullah saw bersabda:

“Jika engkau melihat Allah Tabaraka wa Ta’ala memberikan apa sahaja yang seseorang hamba itu kehendaki, sedangkan orang itu berada dalam keadaan bermaksiat kepada-Nya, maka hal itu merupakan istidraj daripada-Nya untuk hamba itu. Kemudian baginda membaca ayat, ‘Maka ketika mereka membuat Kami murka, Kami hukum mereka, lalu kami tenggelamkan mereka semuanya (di laut).’”

(HR. Ahmad)

Ayat 56

فَجَعَلْنَـٰهُمْ سَلَفًا وَمَثَلًا لِّلْـَٔاخِرِينَ

Maka Kami jadikan mereka sebagai pengajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian.

Sesungguhnya apa yang berlaku kepada Firaun dan kaumnya itu merupakan pengajaran dan teladan bagi orang-orang kafir ketika itu yang berperilaku seperti mereka dan juga kepada orang-orang kafir yang datang setelah mereka.