Allah Berkuasa Mengazab Sesuatu Kaum Bila-Bila Masa yang Dikehendaki-Nya
Surah 43: Az-Zukhruf (40 – 42)
Ayat 40
أَفَأَنتَ تُسْمِعُ ٱلصُّمَّ أَوْ تَهْدِى ٱلْعُمْىَ وَمَن كَانَ فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ
Maka apakah engkau (Muhammad) dapat menjadikan orang yang tuli dapat mendengar atau (dapatkah) engkau memberi petunjuk kepada orang yang buta (hatinya) dan kepada orang yang tetap dalam kesesatan yang nyata?
Allah Swt mententeramkan hati Nabi Muhammad saw atas kesedihan dan kebimbangan baginda terhadap kaumnya yang berpaling dan enggan menerima risalahnya.
Sesungguhnya Rasulullah saw tidak memiliki kuasa untuk memberikan hidayah kepada orang yang buta hatinya, tidak mahu mendengar pengajaran dan berada dalam kesesatan.
Ini kerana apa pun kebenaran yang disampaikan kepada mereka, mereka tidak akan menerimanya. Hati dan telinga mereka telah terhijab daripada melihat dan mendengar kebenaran disebabkan mereka sendiri tidak bersedia untuk kembali kepada jalan yang benar. Oleh itu, tugas baginda sebagai seorang Rasul hanyalah menyampaikan wahyu-Nya.
Ayat 41
فَإِمَّا نَذْهَبَنَّ بِكَ فَإِنَّا مِنْهُم مُّنتَقِمُونَ
Maka sesungguhnya, jika Kami mewafatkanmu (sebelum kamu mencapai kemenangan) maka sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa mereka (di akhirat).
Ayat 42
أَوْ نُرِيَنَّكَ ٱلَّذِى وَعَدْنَـٰهُمْ فَإِنَّا عَلَيْهِم مُّقْتَدِرُونَ
Atau Kami perlihatkan kepadamu (azab) yang telah Kami ancamkan kepada mereka. Maka sesungguhnya Kami berkuasa atas mereka.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang musyrik itu pasti akan dihukum pada saat yang dikehendaki-Nya dalam dua keadaan iaitu sama ada:
▪️ Allah Swt akan menghukum mereka ketika baginda masih hidup, atau
▪️ Allah Swt menghukum mereka setelah baginda wafat, dengan demikian hukuman tersebut tidak sempat disaksikan oleh baginda.
Sesungguhnya Allah Swt Maha Berkuasa mengazab mereka kerana mereka dalam genggaman-Nya, tidak dapat melepaskan diri.