Syaitan Merupakan Teman bagi Orang yang Berpaling daripada Allah Yang Maha Pemurah
Surah 43: Az-Zukhruf (36 – 39)
Ayat 36
وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ ٱلرَّحْمَـٰنِ نُقَيِّضْ لَهُۥ شَيْطَـٰنًا فَهُوَ لَهُۥ قَرِينٌ
Dan sesiapa yang berpaling daripada pengajaran Yang Maha Pemurah (Al-Quran), Kami biarkan syaitan menyesatkannya dan menjadi teman karibnya.
Ayat 37
وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ ٱلسَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُم مُّهْتَدُونَ
Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalang mereka daripada jalan yang benar, sementara mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk.
Allah Swt menyatakan sesiapa yang berpaling daripada mengingati-Nya dengan meninggalkan Al-Quran sehingga tidak takut terhadap hukuman-Nya dan tidak mengambil petunjuk-Nya, maka Dia akan menjadikan syaitan sebagai teman akrabnya. Syaitan inilah yang akan menghalangnya melakukan perintah-Nya dan mendorongnya melakukan perkara-perkara yang diharamkan-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan Kami tetapkan bagi mereka teman-teman yang menjadikan mereka memandang baik apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka…………..”
Fussilat 41:25
Ayat 38
حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَنَا قَالَ يَـٰلَيْتَ بَيْنِى وَبَيْنَكَ بُعْدَ ٱلْمَشْرِقَيْنِ فَبِئْسَ ٱلْقَرِينُ
Sehingga apabila orang yang berpaling itu datang kepada Kami (pada Hari Kiamat) dia berkata, “Aduhai, semoga (jarak) antaraku dan kamu seperti jarak antara timur dan barat, memang syaitan itu adalah teman yang paling jahat (bagi manusia).”
Kemudian Allah Swt menyatakan keadaan manusia yang bertemankan syaitan pada Hari Akhirat kelak. Ketika itu mereka menyesali apa yang pernah mereka lakukan di dunia. Ini kerana mereka baru menyedari bahawa mereka telah disesatkan oleh syaitan.
Ketika itu mereka berharap terdapat jarak pemisah sejauh timur dan barat antara dirinya dan syaitan. Sesungguhnya seburuk-buruk teman yang selalu menyertai manusia adalah syaitan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu wahai anak cucu Adam agar kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”
Yasin 36:60
Ayat 39
وَلَن يَنفَعَكُمُ ٱلْيَوْمَ إِذ ظَّلَمْتُمْ أَنَّكُمْ فِى ٱلْعَذَابِ مُشْتَرِكُونَ
Dan (harapanmu itu) sekali-kali tidak akan memberi manfaat kepadamu pada hari itu kerana kamu telah menzalimi (dirimu sendiri). Sesungguhnya kamu layak bersama-sama di dalam azab.
Seterusnya, Allah Swt menegaskan bahawa penyesalan dan alasan mereka sudah tidak lagi dapat memberi manfaat. Ini kerana mereka telah pun melakukan kezaliman terhadap diri sendiri dengan mengingkari-Nya dan mendustakan Rasul-Nya.