Surah 43: Az-Zukhruf (15 – 20)

Kecaman Allah Swt kepada Orang Musyrik yang Mendakwa Dia Memiliki Anak

Surah 43: Az-Zukhruf (15 – 20)


Ayat 15

وَجَعَلُوا۟ لَهُۥ مِنْ عِبَادِهِۦ جُزْءًا ۚ إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَكَفُورٌ مُّبِينٌ

Mereka menjadikan sebahagian daripada hamba-hamba-Nya sebagai sebahagian daripada-Nya. Sesungguhnya manusia itu benar-benar pengingkar yang nyata (terhadap rahmat Allah).

Allah Swt menyatakan bahawa walaupun orang-orang musyrik mengakui bahawa Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi, namun mereka juga menetapkan bahawa Dia memiliki anak.

Mereka mengatakan bahawa Allah Swt memiliki anak perempuan daripada kalangan hamba-hamba-Nya iaitu malaikat. Ucapan mereka ini adalah satu pendustaan dan kekufuran yang paling besar. Mereka menyatakannya tanpa dalil. Wal’iyazubillahi min zalik.

Ayat 16

أَمِ ٱتَّخَذَ مِمَّا يَخْلُقُ بَنَاتٍ وَأَصْفَىٰكُم بِٱلْبَنِينَ

Patutkah Dia mengambil anak-anak perempuan daripada yang diciptakan-Nya dan Dia memberikan kamu anak-anak lelaki?

Lalu Allah Swt mengecam orang-orang musyrik yang mengatakan Dia telah menjadikan ciptaan-Nya sendiri iaitu malaikat sebagai anak-anak perempuan-Nya dan memberikan mereka anak-anak lelaki, sedangkan mereka sendiri tidak menyukai anak-anak perempuan. Sungguh sesat lagi batil ucapan mereka ini. Amatlah tidak patut mereka mengatakan Allah Swt memiliki sesuatu untuk diri-Nya yang lebih buruk sedangkan mereka memiliki yang lebih baik.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Maka patutkah Rabb kamu memilihkan untuk kamu anak-anak lelaki dan Dia mengambil anak-anak perempuan daripada kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu mengucapkan dusta yang sangat besar (dosanya).”

Al-Isra’ 17:40

“Apakah (patut) untukmu (anak) laki-laki dan untuk Allah (anak) perempuan? Yang demikian itu tentulah suatu pembahagian yang tidak adil.”

An-Najm 53:21-22

“Dan mereka mengadakan bagi Allah apa yang mereka sendiri tidak menyukainya, dan lidah mereka mengucapkan pembohongan bahawa sesungguhnya (segala) yang baik-baik untuk mereka. Tidak diragukan lagi, bahawa nerakalah bagi mereka, dan sesungguhnya mereka segera akan dimasukkan (ke dalamnya).”

An-Nahl 16:62

Ayat 17

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِمَا ضَرَبَ لِلرَّحْمَـٰنِ مَثَلًا ظَلَّ وَجْهُهُۥ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ

Padahal apabila diberitahu kepada salah seorang daripada mereka dengan (berita bahawa dia beroleh anak perempuan seperti) yang dijadikannya sekutu dengan (Allah) Yang Maha Pemurah, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana berdukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati.

Allah Swt menegaskan apa yang dikecam-Nya dalam ayat sebelumnya dengan mengatakan bahawa apabila salah seorang di antara kaum musyrik Mekah diberitahu tentang kelahiran anak perempuan seperti yang disekutukan dengan-Nya, maka menjadi hitamlah wajah mereka kerana berasa malu dan marah dengan kehadiran anak perempuan itu.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan mereka mengatakan Allah mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Dia, sedangkan mereka menetapkan sendiri apa yang mereka sukai (anak-anak lelaki). Dan apabila seseorang daripada mereka dikhabarkan dengan (kelahiran) anak perempuan, wajahnya menjadi hitam (merah padam) dan amat marah. Dia bersembunyi daripada orang ramai disebabkan berita buruk yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan (menanggung) kehinaan, atau akan menanamnya hidup-hidup? Ketahuilah, alangkah buruknya (keputusan) yang mereka tetapkan itu.”

An-Nahl 16:57-59

Ayat 18

أَوَمَن يُنَشَّؤُا۟ فِى ٱلْحِلْيَةِ وَهُوَ فِى ٱلْخِصَامِ غَيْرُ مُبِينٍ

Dan apakah patut (menjadi anak Allah) orang yang dibesarkan menyenangi perhiasan sedangkan dia tidak mampu memberi alasan yang tegas dan jelas dalam perdebatan.

Ayat ini menceritakan tentang sifat orang-orang perempuan. Adalah menjadi kebiasaan mereka diberikan barang-barang perhiasan sejak kecil lagi. Mereka lemah dari segi fizikal yang perlu dilindungi oleh orang-orang yang lebih kuat. Mereka juga tidak mampu bersikap tegas, garang dan jelas dalam menyampaikan kehendak untuk memperoleh kemenangan dalam membela diri.

Oleh itu, Allah Swt mengingkari perkataan musyrikin Mekah, bagaimana mereka boleh mengaitkan-Nya dengan perempuan yang bersifat lemah dan adakah mereka juga ingin mengatakan bahawa malaikat-malaikat itu bersifat lemah seperti orang-orang perempuan.

Ayat 19

وَجَعَلُوا۟ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةَ ٱلَّذِينَ هُمْ عِبَـٰدُ ٱلرَّحْمَـٰنِ إِنَـٰثًا ۚ أَشَهِدُوا۟ خَلْقَهُمْ ۚ سَتُكْتَبُ شَهَـٰدَتُهُمْ وَيُسْـَٔلُونَ

Dan mereka menjadikan malaikat-malaikat yang juga adalah hamba-hamba (Allah) Yang Maha Pemurah sebagai perempuan. Apakah mereka menyaksikan penciptaan malaikat-malaikat itu? Kelak akan dituliskan persaksian mereka dan kelak mereka akan diminta bertanggungjawab.

Hakikatnya para malaikat adalah hamba Allah Swt. Mereka bukanlah anak-anak perempuan-Nya seperti yang diyakini oleh orang-orang musyrik. Sekiranya mereka mengatakan para malaikat itu anak-anak-Nya, mereka perlu memberikan dalil.

Adakah mereka melihat sendiri bahawa Dia menciptakan mereka sebagai anak-anak perempuan-Nya? Atau adakah mereka sendiri melihat malaikat-malaikat itu berjantina perempuan? Sebenarnya mereka yang mengatakan bahawa Allah Swt memiliki anak-anak perempuan itu, langsung tidak mempunyai ilmu tentangnya. Mereka hanya memandai-mandai dan berdusta.

Ayat 20

وَقَالُوا۟ لَوْ شَآءَ ٱلرَّحْمَـٰنُ مَا عَبَدْنَـٰهُم ۗ مَّا لَهُم بِذَٰلِكَ مِنْ عِلْمٍ ۖ إِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

Dan mereka berkata, “Jikalau (Allah) Yang Maha Pemurah menghendaki tentulah kami tidak menyembah mereka (malaikat).” Mereka tidak mempunyai pengetahuan sedikitpun tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga belaka.

Orang-orang musyrik memberikan hujjah mereka, bahawa sekiranya Allah Swt menghendaki, pasti Dia menghalang mereka daripada memuja malaikat. Mereka berkata-kata dan berhujjah tanpa mengetahui kebenaran tentang apa yang mereka katakan. Mereka hanya menduga-duga di samping berkata dusta dan mereka-reka alasan sahaja.

Dengan demikian, dalam perkataan orang-orang musyrik terdapat pelbagai kesalahan dan kekeliruan, yang dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama: Mereka telah menganggap Allah Swt memiliki anak, padahal Maha Suci lagi Maha Tinggi Allah daripada hal tersebut dengan ketinggian yang setinggi-tingginya.

Kedua: Mereka menuduh Allah Swt lebih memilih anak perempuan daripada anak lelaki, lalu mereka menganggap para malaikat yang merupakan hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah sebagai anak perempuan.

Ketiga: Selain tuduhan dan sangkaan mereka yang tidak mempunyai dalil, keterangan serta tanpa izin daripada Allah Swt itu, mereka menyembah para malaikat. Mereka melakukan peribadahan tersebut semata-mata berdasarkan pendapat sendiri dan mengikut keinginan hawa nafsu serta mengikuti jejak nenek moyang mereka yang tersesat di samping kebodohan mereka.

Keempat: Mereka beralasan bahawa mereka telah ditakdirkan oleh Allah Swt untuk melakukan penyembahan kepada malaikat. Padahal kenyataan mereka itu menunjukkan mereka terjerumus ke dalam kebodohan yang parah.

Sesungguhnya Allah Swt sangat keras mengingkari perbuatan tersebut kerana sejak Dia mengutus para Rasul dan menurunkan kitab-kitab­Nya, Dia sentiasa memerintahkan manusia untuk menyembah-Nya semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya. Dia melarang penyembahan kepada selain-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), ‘Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah taghut itu.’ Maka di antara umat itu ada orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan.”

An-Nahl 16:36

“Dan tanyakanlah kepada Rasul-rasul Kami yang telah Kami utus sebelum kamu, ‘Adakah Kami menentukan ilah-ilah untuk disembah selain Allah Yang Maha Pemurah?’”

Az-Zukhruf 43:45