Keutamaan dan Kemuliaan Al-Quran
Surah 43: Az-Zukhruf (1 – 5)
Ayat 1
حمٓ
Ha Mim.
Ayat 2
وَٱلْكِتَـٰبِ ٱلْمُبِينِ
Demi kitab (Al Quran) yang menerangkan.
Allah Swt bersumpah dengan Al-Quran, kitab yang terang serta jelas makna-makna dan Iafaz-lafaznya yang menerangkan jalan petunjuk serta segala hal yang diperlukan oleh manusia di dunia dan di akhirat.
Ayat 3
إِنَّا جَعَلْنَـٰهُ قُرْءَٰنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
Sesungguhnya Kami menjadikan Al-Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memahami(nya).
Allah Swt menyatakan Dia menurunkan Al-Quran dalam bahasa Arab di kalangan bangsa Arab agar mereka dapat memahami, memikirkan dan merenungkan nasihat-nasihat yang terkandung di dalamnya. Oleh itu, tidak ada lagi alasan bagi mereka untuk mengatakan mereka tidak memahami maksud Al-Quran.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan sekiranya Kami jadikan Al-Quran itu sebagai bacaan dalam bahasa selain bahasa Arab, nescaya mereka mengatakan, ‘Mengapakah tidak dijelaskan ayat-ayatnya?’ Apakah patut (Al-Quran) dalam bahasa selain bahasa Arab sedangkan (rasul) adalah orang Arab? Katakanlah, ‘Al-Quran adalah petunjuk dan penyembuh bagi orang-orang yang beriman. Bagi orang-orang yang tidak beriman, pada telinga mereka itu ada sumbatan, dan Al-Quran itu merupakan kegelapan buat mereka. Mereka itu (seperti) orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh.’”
Fussilat 41: 44
Bahasa Arab adalah bahasa yang indah dan juga bahasa yang paling tepat bagi memperjelaskan sesuatu perkara dengan menggunakan perkataan yang ringkas. Walaupun kelihatan ringkas tetapi apabila dibahaskan dan disyarahkan, jelas bahawa perkataan-perkataan tersebut mempunyai banyak maksud yang hendak disampaikan. Kelebihan ini tidak terdapat dalam bahasa-bahasa yang lain. Oleh itu, Allah menggunakan bahasa Arab agar mereka merenung dan memikirkannya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Ia dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan, dengan bahasa Arab yang jelas.”
Asy-Syu’ara’ 26:193-195
Ayat 4
وَإِنَّهُۥ فِىٓ أُمِّ ٱلْكِتَـٰبِ لَدَيْنَا لَعَلِىٌّ حَكِيمٌ
Dan sesungguhnya Al-Quran itu dalam ibu kitab (Lauh Mahfuzh) di sisi Kami, adalah benar-benar tinggi (nilainya) dan mengandungi banyak hikmah.
Allah Swt menyatakan Al-Quran yang diturunkan-Nya itu adalah dalam ilmu-Nya iaitu dalam ibu kitab (Lauh Mahfuzh) yang sangat tinggi martabatnya di sisi-Nya berbanding kitab-kitab yang sebelumnya kerana Al-Quran mengandungi mukjizat. Tambahan pula, ia mempunyai hikmah yang dapat mendatangkan kebahagiaan hidup bagi manusia dengan memberikan petunjuk ke jalan yang benar sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya Al-Quran ini adalah bacaan yang sangat mulia, pada kitab yang terpelihara (Lauh Mahfuzh), tidak menyentuhnya kecuali makhluk-makhluk yang disucikan. Diturunkan daripada Rabb seluruh alam.”
Al-Waqi’ah 56:77-80
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sekali-sekali jangan (demikian)! Sesungguhnya ajaran-ajaran Rabb itu adalah suatu peringatan, maka sesiapa yang menghendaki, tentulah dia memerhatikannya di dalam kitab-kitab yang dimuliakan, yang ditinggikan lagi disucikan di tangan para penulis (malaikat) yang mulia lagi berbakti.”
‘Abasa 80:11-16
Ayat 5
أَفَنَضْرِبُ عَنكُمُ ٱلذِّكْرَ صَفْحًا أَن كُنتُمْ قَوْمًا مُّسْرِفِينَ
Maka apakah Kami akan berhenti menurunkan ayat-ayat Al-Quran (sebagai peringatan) kepadamu, kerana kamu kaum yang melampaui batas?
Pertanyaan Allah Ta’ala dalam ayat ini merupakan penegasan-Nya bahawa Dia tidak akan berhenti menurunkan Al-Quran kepada orang-orang musyrik walaupun mereka melampaui batas dan berpaling daripadanya. Dia tidak akan membiarkan mereka dengan mengenepikan dan menjauhkan mereka daripada peringatan Al-Quran. Bahkan Dia tetap akan mengingatkan mereka, sama ada mereka mahu menerimanya ataupun sebaliknya atas sebab kedegilan mereka.
Hal ini merupakan rahmat dan kasih sayang Allah Ta’ala yang bersifat lemah lembut kepada hamba-hamba-Nya. Dia sentiasa menyeru mereka kepada melakukan kebaikan dan mengikuti Al-Quran yang penuh dengan hikmah walaupun mereka sepatutnya dibinasakan atau dibiarkan sesat buat selama-lamanya kerana perbuatan mereka yang sudah melampaui batas.