Surah 42: Asy-Syura (7 – 9)

Al-Quran Merupakan Peringatan bagi Seluruh Umat Manusia

Surah 42: Asy-Syura (7 – 9)


Ayat 7

وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ قُرْءَانًا عَرَبِيًّا لِّتُنذِرَ أُمَّ ٱلْقُرَىٰ وَمَنْ حَوْلَهَا وَتُنذِرَ يَوْمَ ٱلْجَمْعِ لَا رَيْبَ فِيهِ ۚ فَرِيقٌ فِى ٱلْجَنَّةِ وَفَرِيقٌ فِى ٱلسَّعِيرِ

Dan demikianlah Kami wahyukan Al-Quran kepadamu dalam bahasa Arab, agar engkau memberi peringatan kepada penduduk Ummul Qura (Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang hari berkumpul (kiamat) yang tidak diragukan kehadirannya. Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka.

Ummul Qura adalah salah satu nama jolokan bagi kota suci Mekah yang bermaksud ibu kota. Kota Mekah adalah kota atau negeri yang tertua di seluruh dunia dan merupakan tempat yang paling dihormati atau termulia lagi diberkati dibandingkan dengan tempat-tempat lain.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya rumah (ibadah) yang pertama dibina untuk manusia, ialah (Baitullah) yang di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk kepada seluruh alam.”

Ali ‘Imran 3:96

Daripada Al-Zuhri, dia berkata dia mendengar pada saat Rasulullah saw berada di Al-Hazurah (sebuah pasar) di Mekah, baginda bersabda:

“Demi Allah, sesungguhnya engkau (Mekah) adalah bumi Allah yang terbaik dan paling dicintai-Nya. Sekiranya aku tidak diperintahkan untuk keluar darimu, nescaya aku tidak akan keluar.”

(HR. At-Tirmidzi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Allah Swt menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dalam bahasa Arab iaitu bahasa kaumnya agar baginda memberi peringatan kepada penduduk kota Mekah, dan penduduk negeri-negeri di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang adanya hari berkumpul iaitu Hari Kiamat yang tidak diragukan oleh orang-orang beriman.

Pada Hari Kiamat nanti segolongan manusia akan masuk syurga kerana keimanan dan amal soleh yang mereka lakukan. Ada pula segolongan yang lain masuk neraka kerana kekafiran dan kederhakaan mereka terhadap Allah Swt.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya Hari Kiamat pasti akan datang, tidak ada keraguan tentangnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.”

Ghafir 40:59

Ayat 8

وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَهُمْ أُمَّةً وَٰحِدَةً وَلَـٰكِن يُدْخِلُ مَن يَشَآءُ فِى رَحْمَتِهِۦ ۚ وَٱلظَّـٰلِمُونَ مَا لَهُم مِّن وَلِىٍّ وَلَا نَصِيرٍ

Dan sekiranya Allah kehendaki, nescaya Dia menjadikan mereka satu umat, tetapi Dia memasukkan orang-orang yang Dia kehendaki ke dalam rahmat-Nya. Dan orang-orang yang zalim tidak ada bagi mereka pelindung dan penolong.

Kemudian Allah Swt menjelaskan prinsip kebebasan beriman untuk menghiburkan hati Rasulullah saw dalam menghadapi kekufuran kaum baginda.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia Berkuasa menjadikan umat manusia beragama dengan satu agama atau satu jalan iaitu sama ada menjadikan makhluk-Nya beriman semuanya atau kafir semuanya. Ini kerana Dia mampu melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki.

Namun Allah Swt menjelaskan Dia tidak berbuat demikian, sebaliknya Dia memberikan manusia keupayaan untuk membuat pilihan sama ada untuk beriman atau tidak. Sekiranya mereka beriman, ganjaran dan nikmat yang besar akan diberikan manakala jika mereka tidak taat kepada-Nya, balasan azab yang berat akan dikenakan kepada mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“(Ingatlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), itulah hari masing-masing nampak kerugiannya………….”

At-Taghabun 64:9

“Sesungguhnya, yang demikian itu pasti terdapat pengajaran bagi orang-orang yang takut kepada azab akhirat. Itulah hari ketika semua manusia dikumpulkan (untuk dihisab), dan itulah hari yang disaksikan (oleh semua makhluk). Dan Kami tidak akan menangguhkannya, kecuali ketika telah sampai waktu yang sudah ditentukan. Apabila tiba hari itu, tiada seorang pun yang berbicara, kecuali dengan izin-Nya, maka di antara mereka ada yang tercela dan ada yang berbahagia.”

Hud 11:103-105

Ayat 9

أَمِ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ أَوْلِيَآءَ ۖ فَٱللَّهُ هُوَ ٱلْوَلِىُّ وَهُوَ يُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Atau patutkah mereka mengambil pelindung-pelindung selain Dia? Padahal Allah, Dia-lah Pelindung (yang sebenarnya) dan Dia menghidupkan orang-orang yang mati, Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Orang-orang musyrik ini menyangka bahawa sembahan-sembahan mereka selain Allah Swt itu adalah pelindung dan penolong mereka sedangkan Allah-lah pelindung yang sebenarnya kerana Dia Maha Memberi perlindungan dan Maha Berkuasa menghidupkan orang yang telah mati. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Adapun berhala dan segala sesuatu selain Allah Swt tidak memiliki kekuasaan sedikit pun dalam mendatangkan manfaat atau mudharat.